Jangan ambil mudah perlindungan kawasan berhutan

Sempena Hari Hutan Antarabangsa pada 21 Mac, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru agar semua pihak berkuasa negeri di Malaysia meningkatkan komitmen melindungi dan memulih hutan untuk memastikan kemandirian kesemua hidupan, memulihara biodiversiti dan menangani perubahan iklim.
Kawasan berhutan di Malaysia boleh dikelaskan kepada beberapa buah kategori dan sub-kategori, berdasarkan perlindungan perundangan yang mereka miliki.
Kawasan berhutan yang terwarta perlu dibezakan dari hutan kerajaan yang tidak terwarta dan jauh lebih terdedah kepada ancaman pengubahan guna tanah. Analisa kami menunjukkan Malaysia sebenarnya masih memiliki 3.9 juta hektar hutan kerajaan yang masih lagi belum diwartakan.
Sementara itu, kelas hutan terbesar di negara ini adalah hutan simpanan yang telah diwartakan di bawah undang-undang perhutanan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pada tahun 2018, ia meliputi kawasan seluas 12.7 juta hektar. Namun begitu, sebahagian besar hutan-hutan ini adalah hutan pengeluaran di mana operasi pembalakan dan perladangan monokultur boleh dijalankan.
Oleh itu, berapakah keluasan kawasan darat yang dilindungi sepenuhnya di negara ini? Ini termasuk hutan-hutan perlindungan yang telah diwartakan di bawah pelbagai undang-undang pemuliharaan alam dan hidupan liar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang seringkali dikenali dengan istilah taman negara, taman negeri, rizab hidupan liar dan sebagainya. A Master List of Protected Areas in Malaysia, penerbitan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) pada tahun 2016, menganggarkan keluasan kawasan darat yang dilindungi sepenuhnya di negara ini adalah sekadar 4.4 juta hektar sahaja.
Setiap tahun, data dari kesemua jenis hutan ini akan disatukan agar perangkaan kawasan berhutan negara dapat dilakukan. Pada tahun 1990, Malaysia dilaporkan memiliki kawasan berhutan seluas 19.4 juta hektar. Pada tahun 2018, keluasan ini telah berkurangan kepada 18.3 juta hektar. Oleh itu, dalam tempoh masa kurang dari 30 tahun, Malaysia sebenarnya telah kehilangan sekitar 1.1 juta hektar kawasan berhutan. Seiringan dengan itu, litupan kawasan berhutan negara berbanding dengan keluasan tanah negara pun telah turut berkurangan daripada 59 peratus pada tahun 1990 kepada 55 peratus sahaja pada tahun 2018.
Walaupun tren kehilangan kawasan berhutan ini amat membimbangkan, kerajaan Malaysia tetap bangga mengulangi bahawa ianya telah berjaya mengekalkan 50 peratus dari keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan. Inilah takat yang telah diwar-warkan, selaras dengan komitmen negara yang dibuat semasa Sidang Kemuncak Bumi Rio di Brazil pada tahun 1992; Persidangan mengenai Perubahan Iklim ke-15, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009; dan proses memenuhi keperluan pengurusan biodiversiti dan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD).
Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah perlindungan hutan dengan sedemikian rupa, yakni dengan menjadikan takat ‘kawasan berhutan’ di paras melebihi 50 peratus sebagai petanda sebuah kejayaan yang besar. Ada sekurang-kurangnya dua perkara yang perlu kita teliti dengan lebih mendalam lagi di sini.
Pertama, jika tren kehilangan hutan ini tidak dibendung segera, satu ketika nanti, Malaysia mungkin tidak akan dapat lagi mendakwa tentang kejayaannya dalam menunaikan janji ‘50 peratus hutan’ ini di peringkat antarabangsa. Di Semenanjung Malaysia, kawasan berhutannya menurun dari 6.3 juta hektar pada tahun 1990 kepada 5.8 juta hektar. Di Sarawak, kawasan berhutannya pula telah menyusut dari 8.1 juta hektar pada tahun 2005 kepada 7.8 juta hektar pada tahun 2018. Cuma di Sabah sahaja, tren keluasan kawasan berhutan menunjukkan peningkatan iaitu dari 4.4 juta hektar pada tahun 2005 ke 4.8 juta hektar pada tahun 2018.
Salah satu ancaman terhadap hutan di negara ini adalah tindakan pemansuhan hutan terwarta bagi tujutan pengubahan guna tanah. Di Semenanjung Malaysia, pemansuhan mana-mana bahagian Hutan Simpanan Kekal (HSK) lazimnya dilakukan tanpa diganti kembali oleh pihak kerajaan negeri, walaupun ini sebenarnya dituntut di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan masih terdapat banyak kawasan hutan kerajaan yang boleh dipilih untuk tujuan ini.
Berdasarkan kajian SAM, pemansuhan HSK di Semenanjung Malaysia ini turut melibatkan kawasan hutan yang bernilai tinggi. Ini termasuklah Hutan Simpanan Dara; kawasan HSK yang mempunyai spesies-spesies flora dan fauna endemik dan spesies-spesies terancam yang berada di bawah senarai International Union for Conservation of Nature (IUCN); dan kawasan HSK dengan kepentingan ekosistem yang unik. Sepatutnya kesemua HSK seperti ini perlu dikekalkan dan dipelihara.
Pemansuhan kawasan berhutan ini turut menjejaskan kawasan perlindungan penuh. Contohnya, Rizab Hidupan Liar Chior di Kuala Kangsar yang merupakan rizab hidupan liar yang tertua di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1903 dengan keluasan 4,330 hektar. Rizab Hidupan Liar Chior ini merupakan koridor hidupan liar terutama habitat dan kawasan keliaran mamalia besar khususnya gajah dan harimau belang. Hari ini rizab ini hanya bersaiz 689 hektar.
Memburukkan lagi keadaan, semenjak tahun 1990an, pembangunan perladangan monokultur turut dibenarkan di dalam kawasan berhutan negara, termasuklah di dalam kawasan hutan pengeluaran terwarta. Kami percaya sekurang-kurangnya 3.3 juta hektar kawasan berhutan, yakni hampir seluas negeri Pahang, yang merangkumi hutan pengeluaran terwarta dan hutan kerajaan, telah dikhususkan bagi tujuan ini, walaupun bukanlah kesemua kawasan ini telah dibangunkan. Ini merupakan sebuah anggaran yang konservatif kerana kami tidak berjaya mencapai maklumat tertentu tentang hutan kerajaan di Sarawak.
Di Semenanjung Malaysia, terdapat kawasan cadangan pembangunan ladang monokultur di dalam HSK yang melibatkan kawasan koridor hidupan liar terutama habitat dan kawasan keliaran mamalia besar seperti gajah dan harimau belang, dan kawasan rangkaian ekologi Central Forest Spine (CFS) yang telah dikenalpasti di bawah Rancangan Fizikal Negara. Di seluruh negara, pembangunan perladangan monokultur ini juga telah dan akan menjejaskan wilayah tanah adat orang asal.
Malah di Semenanjung Malaysia, terdapat juga lain-lain kegiatan dan pengubahan guna-tanah dalam HSK seperti kegiatan pengkuarian, perlombongan termasuk yang terkini ialah perlombongan nadir bumi serta pertanian. Kegiatan pengkuarian, perlombongan, pertanian dan lain-lain pengubahan guna-tanah dalam HSK juga menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.
Kedua, kita juga perlu membezakan data tentang kawasan berhutan dan kawasan perlindungan sepenuhnya. Walaupun pada tahun 2018, Malaysia boleh mendakwa bahawa 55 peratus keluasan tanah negara masih dilitupi kawasan berhutan, dua tahun sebelumnya, penerbitan KETSA menganggarkan hanya 4.4 juta hektar atau sekadar 13 peratus sahaja kawasan keluasan tanah negara yang telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya.
Melihatkan keadaan sebenar hutan-hutan di negara kita melebihi hujahan ‘50 peratus kawasan berhutan’, SAM menggesa agar cadangan-cadangan berikut perlu dilaksanakan dengan segera.
Pertama, kerajaan-kerajaan negeri wajib mengganti semula setiap kawasan berhutan terwarta yang telah dimansuhkan.
Kedua, undang-undang perhutanan serta pemuliharaan alam dan hidupan liar di seluruh negara perlu dipinda untuk mewajibkan proses konsultasi awam setiap kali terdapatnya cadangan pemansuhan kawasan berhutan terwarta. Ini telah pun dilakukan di bawah enakmen perhutanan di Selangor dan perlu dicontohi semua.
Ketiga, dasar perhutanan yang menggalakkan pembangunan ladang monokultur perlu dibatalkan. Sebahagian kawasan berhutan yang disasarkan untuk perladangan monokultur di negara ini masih belum lagi dibangunkan. Oleh itu, kita masih ada masa untuk memperbetulkan keadaan.
Keempat, kerajaan negeri perlulah menghormati ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Tanah Negara pada tahun 2014, yakni kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian di dalam HSK perlulah dikawal dan sebolehnya dielakkan.
Kelima, di Semenanjung Malaysia dan Sabah, kesemua kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar di bawah perancangan fizikal negara dan negeri mestilah diwartakan untuk memastikan perlindungan mereka. Antara lain, ini akan memastikan bahawa kelulusan tidak akan diberi untuk sebarang cadangan pembangunan dan pengubahan guna tanah di kawasan tanah tinggi bermula dari 1,000 meter, bagi mengelak lebih banyak berlakunya bencana alam dan kemusnahan ekologi. Di Semenanjung Malaysia, ini juga akan melibatkan pewartaan hutan di kawasan CFS.
Keenam, tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram di kawasan berhutan, termasuklah di kawasan CFS di Semenanjung Malaysia, perlulah dipertingkatkan lagi.
Ketujuh, SAM juga menggesa kerajaan persekutuan agar segera mempercepatkan usaha untuk mendapatkan dana antarabangsa bagi membantu negeri-negeri melindungi dan memulihara hutan mereka yang amat penting bagi menangani perubahan iklim dan melindungi biodiversiti.
Hutan adalah ekosistem yang amat berharga, membekalkan air, menstabilkan iklim dan mengekalkan biodiversiti yang sangat penting untuk kelestarian alam. Pandemik Covid-19 juga telah mengajar kita bahawa jika kita terus menerus memusnahkan hutan dan menyalahguna hidupan liar untuk kepentingan diri, makanya manusia di seluruh dunia akan terus diancam pelbagai penyakit zoonotik di masa hadapan.
Surat kepada Pengarang, 21 Mac 2021