JANGAN BENARKAN CADANGAN PERLOMBONGAN LANTANID DI MUKIM KENERING, HULU PERAK

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya tidak membenarkan cadangan perlombongan lantanid di Mukim Kenering di Hulu Perak.

Projek ini melibatkan pelarutlesapan setempat (in-situ leaching) dan penceriaan (beneficiation) nadir bumi lantanid, yang akan membawa kepada kemerosotan dan kemusnahan alam sekitar yang serius. Ini adalah bertentangan dengan dakwaan penggerak projek perlombongan.

Pelarutlesapan setempat mula digunakan di Amerika Syarikat pada tahun 1950-an, di mana kebanyakan projek telah menyebabkan banyak tumpahan dan pencemaran sumber air bawah tanah. Pelarutlesapan setempat memerlukan teknik suntikan bahan kimia perlombongan yang akan disalur ke dalam tanah, seterusnya mengekstrak mineral yang diperlukan untuk pemprosesan selanjutnya. Kaedah ini memerlukan kajian dan pemerhatian teliti kerana teknik ini tidak biasa digunakan dan agak baru untuk Malaysia.

SAM mengetahui tentang cadangan projek perlombongan di Kenering daripada laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) yang dipaparkan dalam talian di halaman web JAS untuk mendapatkan ulasan orang awam mulai 7 Julai 2021. Projek perlombongan akan dilaksanakan oleh MCRE Resources Sdn. Bhd.

SAM telah pun menyampaikan kepada JAS kebimbangan kami berkenaan kesan buruk cadangan aktiviti perlombongan ini terhadap alam sekitar.

Keluasan tapak yang dicadangkan adalah 2,162 hektar, dan terletak di banjaran yang melibatkan Central Forest Spine (CFS). Kawasan ini telah diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1. Untuk mengelakkan gangguan dan kerosakan yang ketara terhadap persekitaran hanya aktiviti yang berimpak rendah seperti perlancongan alam semula jadi, penyelidikan dan pendidikan boleh dibenarkan dalam kawasan KSAS Tahap 1. Perlombongan tidak boleh dianggap sebagai aktiviti berimpak rendah.

Kawasan CFS ini haruslah dilindungi dan dengan itu ianya mengejutkan bahawa aktiviti perlombongan sedemikian dicadangkan dalam kawasan yang amat sensitif alam sekitar

Projek ini akan memburukkan lagi keadaan dengan kesan negatif kepada pelbagai jenis hidupan liar yang menghuni di tapak yang dicadangkan. Berdasarkan laporan EIA, spesies haiwan liar yang terancam, rentan,  dan hampir terancam seperti harimau Malaya, harimau kumbang, gajah, tapir, beruang matahari, dan babi hutan ditemui di kawasan tapak cadangan. Selain itu, sebanyak 194 jenis spesies burung yang telah disenaraikan sebagai dilindungi sepenuhnya dan 11 spesies burung lain yang disenaraikan sebagai dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) juga akan terjejas sekiranya projek ini diteruskan.

Satu isu kritikal yang akan timbul daripada operasi perlombongan adalah pencemaran sungai yang terletak berhampiran Kampung Pong dan Kampung Orang Asli Bukit Asu. Sungai ini merupakan merupakan punca air utama kepada masyarakat setempat yang mendiami kawasan berkenaan.  Air sungai juga digunakan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seperti memancing dan rekreasi.

Projek ini terletak di hulu Sungai Rui, anak sungai Sungai Perak. Oleh itu, segala kemerosotan air permukaan atau air bawah tanah yang terhasil daripada aktiviti perlombongan yang dicadangkan boleh menjejaskan keseluruhan atau sebahagian besar kawasan tadahan air dan ekosistemnya. Sebarang pelepasan bahan reaktif yang tidak terkawal (contohnya, asid sulfurik) semasa proses pembangunan dan operasi perlombongan akan membawa malapetaka kepada komuniti yang berada di kawasan hilir.

Aktiviti yang dicadangkan mempunyai risiko tinggi untuk meningkatkan kepekatan ammonium dan radionuklida seperti thorium di sini. Ini secara langsung akan memberi kesan kepada masyarakat setempat dan mencemari sumber air minuman komuniti.

Projek ini akan menggunakan ammonium sulfat sebagai bahan kimia utama, dan pemodelan air bawah tanah dalam EIA sudah menunjukkan risiko tinggi untuk berlakunya pencemaran ammonium dan sulfat di Telaga 2 dan 3 yang digunakan oleh ladang-ladang dalam kawasan perlombongan yang dicadangkan.

Cadangan perlombongan ini akan membawa kesan buruk yang signifikan kepada alam sekitar dan masyarakat. Dengan itu, SAM mengulangi gesaan agar cadangan projek itu dibatalkan dan sebarang aktiviti perlombongan tidak dibenarkan di kawasan ini.

 

Kenyataan Media, 12 Ogos 2021