Jangan Korbankan Masa Depan Rakyat Malaysia kepada Industri Vape

Presiden CAP pada sidang akhbar “Jangan Korbankan Masa Depan Rakyat Malaysia kepada Industri Vape”.

Menghisap vape akan menjadi kesengsaraan pada masa depan dan sukar untuk dihapuskan sama seperti merokok melainkan ia diharamkan sekarang. Justeru, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk mengharamkannya sama sekali.

Peniaga vape mengeksploitasi pelajar sekolah dengan menjual produk vape kepada mereka secara haram. CAP mendapati ramai kanak-kanak sekolah mengakui bahawa mereka menghisap vape dan ini membawa kita kembali kepada persoalan bagaimana mereka boleh mempunyai akses kepada peranti vape.

Walaupun penjualan produk vape secara haram kepada kanak-kanak di bawah umur juga berlaku di Malaysia, laporan juga turut mendedahkan bahawa ia juga berlaku di Kanada, United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Singapura, India dan Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 yang terkini, remaja Malaysia berumur 13-17 tahun menggunakan e-rokok dan vape meningkat daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022.

Walaupun terdapat penurunan dalam bilangan penghisap rokok, namun berita buruknya ialah statistik menunjukkan trend remaja beralih kepada e-rokok dan vape. Kementerian Kesihatan (KKM) dengan tepatnya menyifatkan kemunculan produk ini sebagai “ancaman kesihatan awam”.

Kerajaan perlu menangkap mereka yang melanggar undang-undang dan mengenakan hukuman paling keras yang dibenarkan.

Keracunan nikotin secara tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Malaysia. Pusat Racun Negara (NPC) yang berpangkalan di Universiti Sains Malaysia (USM) melaporkan 66 panggilan keracunan berkaitan vape antara Januari 2015 dan Ogos 2022. Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun, yang paling muda adalah bayi berusia 4 bulan. Pengambilan e-cecair boleh membunuh dan beribu-ribu perisa yang dijual itu memikat kanak-kanak.

Kes keracunan sebegini telah berubah sejak kebelakangan ini kerana terdapat peningkatan bilangan penghisap vape muda yang mengalami keracunan nikotin melalui penyedutan. Bahan yang terkandung dalam e-rokok atau peranti vape, apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang boleh memberi kesan keradangan pada lapisan paru-paru dan menyebabkan kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan e-rokok atau produk vape (EVALI).

Sampel vape yang dipamerkan pada sidang akhbar “Jangan Korbankan Masa Depan Rakyat Malaysia kepada Industri Vape”.

Dengan beribu-ribu jenis e-cecair membanjiri pasaran yang dijual oleh 3,300 peruncit terkenal, adalah mustahil untuk memantau kepekatan nikotin bagi setiap botol atau jenama. Menurut Dewan Perniagaan Vape Malaysia terdapat lebih 97 peratus e-cecair dengan nikotin dalam pasaran tempatan.

Kos untuk menentukan kandungan nikotin amat mahal kerana setiap sampel mestilah diuji dengan mesin makmal yang canggih.

Kajian mendapati bahawa pelabelan tidak selalu menjadi penunjuk kandungan nikotin yang boleh dipercayai dan ini nampaknya merupakan isu biasa. Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal profesional menunjukkan bahawa daripada 20 artikel yang dinilai, sembilan mempunyai lebih separuh daripada sampel dengan kandungan nikotin di luar 10 peratus daripada kepekatan nikotin berlabel.

Pelbagai jenis e-cecair, vape dan shisha adalah platform dalam talian yang boleh didapati dengan mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Seseorang itu hanya perlu mengisytiharkan bahawa orang itu berumur 18 tahun ke atas dengan hanya menekan butang untuk mengakses laman sesawang masing-masing untuk menyemak dan mengimbas atau membeli produk itu. Ada juga yang tidak memerlukan pengesahan umur.

Laporan dalam talian luar negara mendedahkan “bagaimana kejamnya firma yang menyasarkan anak muda dengan watak kartun dan perisa gula-gula getah”.

Strategi pemasaran mereka menyasarkan kanak-kanak, belia dan wanita dengan perisa buah-buahan dan gula-gula getah.

Segmen pasaran wanita perokok rokok biasanya jauh lebih kecil daripada lelaki seperti yang ditunjukkan oleh statistik di negara Asean dan pembungkusan dan perisa vape yang ‘menyenangkan’ boleh menarik mereka ke dalam tabiat ketagihan yang tidak dapat dilakukan oleh rokok.

Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2023 diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan (JKPK) di Parlimen sebelum ini tetapi sebelum ia dibahaskan dan diluluskan  Parlimen dibubarkan.

Taktik menangguhkan ini jelas di bawah tekanan daripada lobi tembakau dan ia tidak wajar sama sekali. Bagi mereka yang mempertikaikan hak individu untuk membuat keputusan bagi menghisap vape, dengan mudah tidak mempedulikan bahaya produk itu.

Pada asasnya tidak ada prinsip moral di sebalik hujah tersebut dan kerajaan mempunyai kewajipan untuk mengehadkan kebebasan individu.

Justeru itu, kami menggesa pengharaman sepenuhnya terhadap e-rokok dan vape kerana Parlimen tidak seharusnya menggadaikan masa depan rakyat Malaysia kepada industri.

Parlimen mesti meluluskan RUU GEG secepat mungkin memandangkan terdapat banyak bukti saintifik bahawa e-rokok dan vape mempunyai kesan kesihatan yang amat serius.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Kenyataan Akhbar,  30 Ogos 2023