JANGAN TUNDA LAGI: HAPUS PUKAT TUNDA UNTUK SELAMATKAN SUMBER PERIKANAN

1. Sumber perikanan di Malaysia kini­­ di ambang kemusnahan yang teruk. Kebimbangan terhadap kemerosotan sumber perikanan tersebut berlaku apabila kita dapat melihat kemusnahan besar terhadap ekosistem marin dan juga kekurangan spesies-spesies ikan yang tertentu yang semakin sukar didapati seperti bawal, kerapu, jenahak dan lain-lain. Hasil kajian menunjukkan penurunan populasi dan spesies yang terancam adalah spesies ikan yang mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran.

2. Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) mensasarkan 50% daripada sumber perikanan negara adalah dari akuakultur dan hanya 50% adalah dari tangkap liar. Dasar ini perlu dikaji semula kerana SAM dan JARING percaya industri akuakultur merupakan salah satu faktor yang merosakkan sumber perikanan. Dasar ini akan menggalakkan kawasan hutan paya bakau, pinggir pantai dan kawasan sungai dimusnahkan untuk pembangunan akuakultur. SAM dan JARING percaya dengan penuh yakin dan kajian menunjukkan 70% daripada sumber marin menggunakan hutan paya bakau sebagai nurseri dan tempat pembiakan. Oleh itu, kawasan ini seharusnya dilindungi sepenuhnya.

3. Pengembangan industri akuakultur menggalakkan permintaan yang tinggi terhadap ikan baja. Industri ini telah menggalakkan nelayan pukat tunda untuk menangkap ikan baja bagi dijadikan sebagai sumber pemakanan ikan ternak/akuakultur. Ikan baja merupakan ikan yang tidak atau kurang mempunyai nilai komersial yang ditangkap dan diproses sebagai bahan makanan untuk industri akuakultur.

4. Statistik perikanan menunjukkan 267,892 tan metrik atau 267,892,000 kilogram (kg) ikan baja didaratkan di Malaysia pada 2017 dan sepanjang tempoh 5 tahun dari tahun 2013 hingga 2017 sebanyak 1,317,828 tan metrik ikan baja telah didaratkan. Berdasarkan statistik perikanan tahun 2017, sebanyak 30% daripada tangkapan pukat tunda ialah ikan baja, iaitu 216,623 tan metrik dari jumlah pendaratan pukat tunda sebanyak 711,525 tan metrik.
5. Dari pemantauan SAM dan JARING, 1kg ikan baja bersamaan sekurang-kurangnya 92 ekor anak-anak ikan. Sekiranya ikan ini dibiarkan dewasa dan mencapai saiz matang dianggarkan 1kg anak-anak ikan ini akan menjadi sekurang-kurangnya 12kg ikan saiz dewasa. Berdasarkan kiraan ini, dianggarkan tangkapan ikan baja bagi tahun 2017 akan memusnahkan 3,214,704,000 kg (3,214,704 metrik tan) ikan saiz dewasa dengan nilai RM 25,717,632,000 (RM25.72 billion) (rujuk lampiran 1). Jumlah ini adalah lebih dari mencukupi untuk memenuhi permintaan protein negara. Berdasarkan data ini adalah tidak mustahil sumber perikanan akan pupus menjelang 2048 seperti kajian yang dijalankan oleh Organisasi Pertanian dan Makanan (FAO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB).

6. SAM dan JARING berpendapat pukat tunda dan pukat yang memusnahkan sumber seperti pukat Apollo (kenka 2 bot), pukat harimau, rawa sorong serta pukat-pukat yang memusnahkan sumber perikanan yang lain tidak harus diberikan subsidi atau insentif oleh kerajaan sama ada dalam bentuk minyak atau berat ikan didaratkan (RM0.10/kg). Pukat-pukat ini telah merosakkan sumber perikanan dan perlu dikenakan denda yang berat kerana merosakkan sumber makanan negara.
7. Sistem zon (rujuk lampiran 2) yang telah diguna pakai sejak lama bertujuan melindungi sumber perikanan dilihat gagal apabila penguatkuasaan gagal memainkan peranan melindungi sumber. Konflik antara nelayan zon A dengan nelayan pukat tunda bagaikan tiada kesudahan. Nelayan tunda sering memasuki zon A (bawah 5/8 b.n) dan kami percaya mereka mensasarkan anak-anak ikan untuk dijadikan ikan baja.
8. Contohnya Pukat Kenka 2 bot yang diubah suai menjadi pukat Apollo (rujuk lampiran 3) yang secara terang-terangan menyalahi Akta Perikanan 1985. Pukat rawa sorong yang memenuhi kuala-kuala sungai juga dilihat begitu kebal dan bebas memusnahkan habitat anak ikan. Ini jelas menunjukkan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan perikanan tidak memainkan peranan bersungguh-sungguh dalam melindungi sumber perikanan. Bahkan alat-alat tangkapan yang merosakkan sumber perikanan kian banyak dan tiada kawalan.
9. Kami percaya jika pukat tunda dan alat tangkapan yang merosakkan sumber perikanan dihapuskan berserta dengan tindakan penguatkuasan tegas dan berkesan, sumber perikanan akan kembali pulih. Sumber marin akan membiak dengan lebih baik dan lebih banyak.

10. Sehubungan itu, SAM dan JARING menggesa agar pengurusan perikanan yang bersepadu yang mengambil kira hubung kait yang erat antara ekosistem dan sumber marin perlu diberi penekanan yang serius. Kemampanan sumber dan kemerosotan serius terhadap biomas perlu ditangani dengan bijak. Selain itu, semua pembangunan pesisiran pantai dan persekitaran marin harus mengambil kira impak kepada ekosistem marin serta penggunaan peralatan-peralatan perikanan yang memusnahkan dasar lautan tidak dibenarkan sama sekali dan perlu dibatalkan segera.

11. SAM dan JARING juga menggesa pihak kerajaan tidak tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak dalam usaha menghapuskan pukat tunda menjelang 2020. SAM dan JARING mendapat maklumat terdapat usaha yang dilakukan bagi melanjutkan pengharaman pukat tunda ini. Kerajaan seharusnya tidak melayani pengusaha pukat tunda ini kerana masa yang lama telah diberikan untuk fasa keluar iaitu sejak 2016 lagi.

 

Lampiran 1

Anggaran pendapatan negara jika nelayan pukat tunda dan pukat yang merosakkan sumber tidak mengambil ikan baja dan anak-anak ikan sehingga tempoh matang

 

  Tan metrik Kilogram (kg) Nilai (RM)
Jumlah pendaratan ikan baja bagi tahun 2017 267 892 267 892 000
Anggaran dalam 1kg ikan baja mempunyai 92 ekor ikan, maka apabila ikan tersebut menjadi saiz matang ianya dianggarkan menjadi 12 kg   267 892 000 x 12 kg

=

3,214,704,000

 

Anggaran nilai dengan mengambil purata harga ikan adalah RM8.00 3,214,704,000kg

X RM8.00

= RM25,717,632,000

 

 

Lampiran 2

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Lampiran 3

Perbezaan Pukat Kenka dan Pukat Apollo adalah seperti berikut :

Perkara

 

Pukat Kenka Pukat Apollo
Pemberat 8 kati Sehingga 80 kg
Rantai Tali ladung Rantai
Jaring Nylon Tali jepun
Masa operasi 6 pg- 6ptg 24 Jam
Kawasan Kerian 5 batu nautika ke atas Masuk ke zon A,  Pulau Pinang, Perak dan Kedah
Pelampung 20 biji 7 biji

1 NOVEMBER 2018

KENYATAAN MEDIA BERSAMA

SAHABAT ALAM MALAYSIA (SAM)

PERSATUAN PENDIDIKAN DAN KEBAJIKAN JARINGAN NELAYAN PANTAI MALAYSIA (JARING)