Merujuk kenyataan YB Tuan Haji Razman bin Zakaria, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) ingin mempertahankan kenyataan kami sebelum ini bahawa aktiviti akuakultur (kolam udang) di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) atau pun SADC tersebut adalah bercanggah dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035.
Pertama, Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 menyatakan dengan jelas bahawa cadangan aktiviti akuakultur yang akan dibenarkan di Daerah Kerian adalah melibatkan penternakan ikan sangkar, ikan hiasan dan juga kerang. Untuk makluman YB, tanah milik SADC tersebut tidak termasuk di dalam mana-mana kawasan yang dicadangkan untuk pelaksanaan ketiga-tiga aktiviti akuakultur tersebut.
Kedua, di dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 juga turut dinyatakan bahawa cadangan guna tanah bagi tanah milik SADC tersebut adalah sebagai ‘Hutan’. Kawasan tersebut dilabelkan dengan warna hijau tua mewakili ‘Hutan’ seperti mana yang terdapat pada peta-peta lain di dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035.
Untuk makluman YB, Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 hanya akan terpakai setelah ianya diwartakan. Sekiranya Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 belum diwartakan, Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2020 masih lagi terpakai bagi tujuan pembangunan tanah milik SADC tersebut. Berdasarkan semakan kami terhadap guna tanah semasa daerah Kerian 2017 (Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2020), jelas dinyatakan bahawa guna tanah semasa bagi tanah milik SADC tersebut juga adalah sebagai kawasan ‘Hutan’.
Untuk makluman YB juga, keputusan kerajaan negeri untuk memberikan tanah tersebut kepada SADC tidak akan boleh menyebabkan status tanah tersebut ditukar dengan sewenangnya. Rancangan Tempatan adalah dokumen berkanun ‘statutory document’ yang telah melalui proses undang-undang dan terikat dengan Akta Perancangan Bandar & Desa, 1976 [Akta 172]. Sekiranya pihak SADC mendakwa status tanah tersebut adalah berbeza daripada yang tercatat di dalam Rancangan Tempatan semasa yang diguna pakai maka pihak SADC perlu mengemukakan bukti bahawa perubahan status pembangunan tanah tersebut telah berlaku mengikut proses undang-undang yang sewajarnya berdasarkan Akta Perancangan Bandar & Desa, 1976 [Akta 172]. Sehubungan itu, JARING menggesa YB agar merujuk perkara ini kepada pihak yang sewajarnya seperti PLANMalaysia Negeri Perak.
Sekali lagi, berdasarkan semakan JARING terhadap Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 dan guna tanah semasa daerah Kerian 2017 (Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2020) kami bertegas bahawa cadangan aktiviti akuakultur (kolam udang) di atas tanah milik SADC tersebut bercanggah dengan kedua-dua dokumen yang dinyatakan. Justeru, kami menggesa agar cadangan pelaksanaan aktiviti akuakultur (kolam udang) di atas tanah hutan paya bakau (laut) tersebut segera dibatalkan.
Azrilnizam Omar
Setiausaha
Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING)