Kami merujuk kepada kenyataan media oleh Gamuda yang dikeluarkan pada 16 Mei 2023. Gamuda yang mempertahankan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation – PSR) adalah demi untuk keuntungan sendiri dan tidak mampan. Ia mempunyai kepentingan dalam projek penambakan mega tersebut dengan menjangkakan keuntungan berjuta-juta, mungkin berbilion-bilion ringgit. Oleh sebab itu, dakwaan Gamuda bahawa projek ini memberi manfaat kepada orang ramai itu mestilah tidak diterima dengan sepenuhnya.
Kerajaan negeri Pulau Pinang telah melantik Halcrow, perunding pengangkutan yang berpengalaman luas untuk menyediakan pelan tindakan pengangkutan bagi Pulau Pinang. Selepas perundingan awam, ia menghasilkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan – PTMP) berdasarkan mobiliti mampan, menggerakkan orang ramai berbanding kereta, dan menelan belanja RM10 bilion dalam suatu jangka masa tertentu. Kerajaan negeri kemudiannya hendakkan lebuh raya tambahan dan terowong dan kosnya meningkat sehingga RM27 bilion.
Konsortium SRS yang diketuai oleh Gamuda, merangkumi kontraktor kejuruteraan dan pemaju telah dilantik untuk melaksanakan rancangan Halcrow. SRS secara radikal telah menyimpang daripada rancangan Halcrow dan menyingkirkan BRT (bas transit laju) dan trem yang disyorkan. Sebaliknya monorel, LRT dan lebuh raya tambahan telah dicadangkan. Ia juga mencadangkan penambakan mega untuk membiayai PTMP melalui penjualan plot tanah tebus guna. Anggaran kos meningkat lagi daripada RM27 bilion kepada RM46 bilion. Di bawah perjanjian dengan negeri Pulau Pinang, SRS akan menerima 6% daripada jumlah kos iaitu RM2.76 bilion.
Kemudian, pada 2021 kerajaan Pulau Pinang memeterai perjanjian dengan SRS untuk membentuk syarikat usaha sama dengan negeri itu memegang 30% ekuiti dan SRS 70%, untuk menjalankan kerja-kerja penambakan di bawah fasa satu PSR. Kini memandangkan kerajaan Persekutuan bersetuju membiayai PTMP bagi mengatasi kesesakan lalu lintas, mengapa Gamuda mendesak projek penambakan? Adakah kita memerlukannya dan bagaimana ia akan memberikan manfaat kepada rakyat?
Gamuda mendakwa bahawa Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) terkini telah melalui proses yang ketat dan perlu diterima dan mereka yang tidak bersetuju dengannya perlu pergi ke mahkamah untuk mencabarnya. Ini adalah perbuatan mengalihkan perhatian daripada isu utama. Pertama, sebelum mana-mana projek diluluskan mestilah ada keperluan untuk projek tersebut demi kepentingan awam. Di sebalik tuntutan berulang kali oleh pertubuhan masyarakat sivil, kerajaan negeri gagal memberi justifikasi bagi projek penambakan itu. Pada mulanya ia mendakwa ia diperlukan untuk membiayai PTMP. Alasan itu tidak lagi wujud dengan Kerajaan Perpaduan yang berkuasa. Sekiranya tanah diperlukan untuk pembangunan, terdapat 12,000 hektar di Seberang Perai.
Kedua, EIA adalah cacat. Ia tidak mengambil kira pertimbangan yang mencukupi bahawa projek itu akan mengakibatkan kemusnahan kawasan perikanan penting di Pulau Pinang yang menyediakan pendapatan untuk lebih 3,000 orang dan keluarga mereka serta makanan iaitu ikan, udang, ketam dan hidupan laut lain untuk pengguna.
Dalam surat pada 25 Jun 2019, bekas Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar menasihatkan kerajaan negeri bahawa Penambakan Selatan Pulau Pinang akan “menyebabkan kesan kekal dan sampingan ke atas ekosistem dataran lumpur, kawasan penangkapan ikan, kawasan pendaratan penyu, dan beberapa kawasan terumbu karang di Pulau Rimau. Kemusnahan kekal ini akan memberi kesan negatif yang ketara kepada sumber perikanan, perikanan dan keterjaminan bekalan makanan negara”. Walaupun dengan amaran ini, EIA untuk projek penambakan telah diluluskan. Ia jelas mempersoalkan kebebasan dan objektiviti proses EIA.
Gamuda mendakwa bahawa lebih 93% ulasan awam terhadap EIA memihak kepada projek penambakan. Ini bukan pertandingan populariti. Mereka yang meluluskan EIA sepatutnya meneliti alasan yang diberikan oleh CSO dan individu yang bermaklumat dan berpengetahuan untuk membantah projek itu dan memberi sebab mengapa ia tidak diterima. Mereka tidak berbuat demikian.
Di samping itu, dakwaan syarikat bahawa “projek PSI telah memperoleh penarafan kelulusan Penilaian Impak Sosial yang tinggi sebanyak 79.1% daripada komuniti tempatan, dan lebih khusus lagi, sokongan 74.8% daripada nelayan tempatan,” telah dicabar semasa proses maklum balas EIA, sebagai dibesar-besarkan dan mengelirukan, dan tanpa asas yang wajar. Kami menunjukkan bahawa saiz sampel adalah terlalu kecil untuk membuat kesimpulan sedemikian. Semua ini tidak diendahkan termasuk tentangan terhadap projek oleh Persatuan Nelayan Negeri, PEN MUTIARA yang mewakili 6,000 ahli.
Malah, kami terkejut dengan ‘penilaian ekonomi kesan alam sekitar’ dalam EIA, yang mana kami telah maklumkan adalah penilaian ekonomi yang rendah. Contohnya, EIA terkini yang diluluskan memetik harga seunit udang sebagai RM6,000 setiap tan pada 2022, iaitu hanya RM6 sekilogram sahaja! Ini memang sukar dipercayai, bagi sesiapa yang membeli udang akan memberitahu anda bahawa harga seunit adalah sekurang-kurangnya 10 kali ganda lebih tinggi daripada apa yang dinyatakan dalam EIA. Namun, penilaian yang rendah sedemikian dibenarkan dalam EIA!
Berkenaan dengan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (EOM), Gamuda mendakwa bahawa program itu direkabentuk untuk meningkatkan biodiversiti marin di sekitar projek. Daripada apa yang telah kami baca, ini adalah ujikaji yang dicadangkan untuk mencipta semula apa yang akan hilang selama-lamanya, seperti dataran lumpur, terumbu karang dan kawasan penangkapan ikan, yang diklasifikasikan sebagai “trade-off“, sedangkan pada hakikatnya, apa yang sedang dilakukan adalah untuk menghapuskannya selama-lamanya.
Memusnahkan ekosistem semula jadi yang penting dan menggantikannya dengan pilihan spekulatif yang palsu dengan harapan untuk meningkatkan biodiversiti marin adalah sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima oleh kami. Ini bukan pembangunan tetapi kemusnahan!
Kami berpendirian bahawa projek PSR ini adalah tidak wajar. Kami berdiri teguh dalam penentangan kami terhadap PSR yang tidak wajar ini, dan sekali lagi mengulangi gesaan dan rayuan kami kepada kerajaan Persekutuan dan negeri untuk BATALKAN PROJEK PSR.
Kami tidak perlukan Pulau KHAYALAN!
Mohideen Abdul Kader
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Meenakshi Raman
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Khoo Salma
Penang Forum
Kenyataan Akhbar, 17 Mei 2023