Memandangkan terdapat perubahan dalam konsep pembangunan, baik dalam reka bentuk dan pernyataan keperluan, pandangan kami ialah Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baharu diperlukan.
Malah, salah satu daripada 71 syarat yang dikenakan terhadap Kerajaan Negeri berhubung EIA yang diluluskan pada 11 April ialah, jika terdapat sebarang perubahan dalam konsep pembangunan, kelulusan baharu daripada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) diperlukan. Justeru, kelulusan daripada JAS mestilah diperolehi semula.
Ia adalah pandangan kami, memandangkan projek itu hanya melibatkan satu pulau sekarang, maka perlu ada EIA yang baharu dibuat.
Contohnya, perlu ada penilaian kesan hidraulik dan hidrologi yang baharu meliputi aliran semasa, paras air, keadaan ombak, pemendapan dan hakisan dan lain-lain lagi. Ini akan berubah kerana daripada satu pulau dan bukannya tiga pulau seperti yang dirancang sebelum ini.
Selain itu, kajian penghijrahan udang yang perlu dilakukan lebih awal di bawah EIA yang baharu diluluskan itu masih belum selesai. Komponen penting ini perlu dinilai memandangkan penambakan pulau A melibatkan kawasan seluas 2,300 ekar, yang masih sangat ketara dari segi kesannya kepada hidupan marin, penghijrahan udang, keterjaminan makanan dan sebagainya.
Lebih-lebih lagi, kenyataan keperluan untuk projek itu juga telah berubah, kini Kerajaan Persekutuan menyediakan dana yang diperlukan untuk menangani masalah pengangkutan negeri Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri tidak boleh bergantung kepada kelulusan JAS pada bulan April dan meneruskan pelan pengurusan alam sekitar itu memandangkan kepada perubahan yang telah berlaku.
Meenakshi Raman
Presiden,
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Kenyataan Akhbar, 12 Mei 2023