Kawasan perumahan dan rumah kedai dalam zon kediaman sepatutnya dilindungi daripada pencerobohan oleh sebarang jenis aktiviti perindustrian oleh Seksyen 27(2) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta). Bagaimanapun, kedamaian zon kediaman di Pulau Pinang kini berada di tangan Jabatan Perancangan Pembangunan (JPP) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jawatankuasa Perancangan Negeri (JPN).
Jabatan Perancangan Negeri bukan hanya meluluskan secara rahsia penukaran Bukit Relau atau “Bukit Botak” daripada tanah rizab bukit kepada kediaman, tetapi ia juga secara diam-diam meluluskan penukaran rumah kedai di Desa Jelita, Permatang Damar Laut, Batu Maung daripada kediaman kepada perindustrian.
Ini dilakukan pada 14 Jun 2012 apabila Jawatankuasa Perancangan Negeri mengesahkan persetujuan yang dibuatnya pada 14 Mei 2012 (Bil. 4/2012) untuk menukarkan rumah kedai di Desa Jelita, Permatang Damar Laut, Batu Maung daripada kediaman/komersial kepada perindustrian.
Penukarannya ini berdasarkan “Garis Panduan” yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Pembangunan, bertentangan kepada undang-undang bahawa aktiviti perindustrian adalah dilarang daripada beroperasi di zon kediaman.
Pada Februari 2010, satu aduan dibuat kepada MPPP ketika itu mengenai aktiviti industri haram yang beroperasi di rumah kedai selepas kami diberikan jaminan oleh MPPP bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi industri beroperasi di zon kediaman, dan tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana industri. Pada mulanya kami diberitahu oleh MPPP bahawa mereka sedang mengumpulkan bukti untuk mendakwa mereka. Kemudian kami diberitahu adalah sukar untuk mendapatkan bukti memandangkan kesukaran yang dihadapi untuk mendapatkan akses ke kilang. Apabila kami bertanyakan apakah tindakan lain yang akan diambil oleh MPPP, mereka mendiamkan diri.
Pada Oktober 2012, kami mendapat maklumat melalui Biro Pengaduan Awam bahawa Jawatankuasa Perancangan Negeri pada 14 Jun 2012 telah meluluskan “Garis Panduan” bagi penukaran rumah kedai kepada industri yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Pembangunan.
Keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri disokong oleh Penasihat Undang-Undang MBPP dan juga oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Persekutuan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Maka, rupa-rupanya Jabatan Perancangan Pembangunan dan Jawatankuasa Perancangan Negeri boleh melangkaui Seksyen 27(2) akta itu.
Pelan Struktur Pulau Pinang menyatakan bahawa bagi Pulau Pinang mencapai status “Negeri Maju”, Pulau Pinang mestilah memastikan kualiti kehidupan penduduknya berada dalam keadaan baik dan selesa. Adakah selesa untuk hidup bersama dengan kilang yang berada di samping rumah anda? Kami tidak mengandaikan mereka yang terlibat dalam pengezonan semula rumah kedai di Desa Jelita mempunyai kilang sebagai jiran mereka.
Pada papan-papan iklan tertera “Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat, Sihat”. Bolehkah Jawatankuasa Perancangan Negeri memberitahu kami bagaimana zon kediaman menjadikan Pulau Pinang bersih, hijau, selamat dan sihat dengan pencemaran yang dibawa ke zon kediaman?
Mesej yang dibawa oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri kepada pengendali kilang ialah mereka kini boleh membuka kilang secara haram di zon kediaman. Jika aduan dibuat, “Garis Panduan” akan disediakan oleh Jabatan Perancangan Pembangunan dan kelulusan diberikan oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri untuk pengezonan semula daripada kediaman kepada perindustrian. Dengan cara ini, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang memandangkan “amat sukar untuk mendapatkan bukti kukuh untuk mendakwa mereka di mahkamah”. Justifikasi bagi pengezonan semula ialah “terdapat permintaan untuk ruang bagi kilang dalam kawasan atau tempat itu dan kesejahteraan penduduk di kawasan itu telah diambilkira”. Beginikah perancangan pembangunan dilakukan di Pulau Pinang untuk memperbaiki kualiti hidup penduduk Pulau Pinang?
Jawatankuasa Perancangan Negeri seolah-olah merasakan mereka tidak bertanggungjawab kepada penduduk yang terjejas oleh keputusan yang serupa dengan menikam mereka daripada belakang memandangkan mereka membeli hartanah dengan penuh kepercayaan bahawa sebarang bentuk aktiviti perindustrian tidak dibenarkan sama sekali di zon kediaman seperti diperuntukan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa.
Jika Jawatankuasa Perancangan Negeri boleh melangkaui undang-undang, maka kenapa mengadakan undang-undang?
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut agar status quo rumah kedai di Desa Jelita dikembalikan semula kepada “zon kediaman” yang asal dengan segera. Hasil perolehan tambahan yang sedikit yang diperolehi melalui penukaran rumah kedai kepada industri dalam bentuk yuran penukaran dan kadar tahunan yang tinggi tidak seharusnya menjadi alasan untuk merendahkan kualiti kehidupan penduduk dan menetapkan satu satu duluan (precedent) yang merosakkan. Ini bukanlah arah yang Jawatankuasa Perancangan Negeri perlu ambil bagi membawa Pulau Pinang dalam usaha untuk mencapai “status maju”.
Kemajuan adalah untuk memperbaiki kualiti hidup, bukan menjejaskannya
Kenyataan Akhbar, 30 April 2015