Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan baru-baru ini mengumumkan bahawa tiga jenis Jus Al Sunnah oleh Sri Saga Marketing (Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Al Sunnah Penawar) telah diharamkan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat kecewa kerana baru sekarang melakukannya dan ini jelas menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap keselamatan kesihatan orang ramai. Terdapat begitu banyak perkara yang salah dengan situasi “Jus Al Sunnah” ini.
Produk ini sudah pun diharamkan di negara lain setelah Kementerian Kesihatan mereka menjalankan ujian ke atas produk itu dan mendapatinya tercemar dengan steroid. Kami percaya Singapura sudah pun mengharamkan produk ini pada 2017. Kementerian Kesihatan Brunei dengan jelas menyatakan pada 9 Jun 2018 dalam laman sesawang mereka kenapa tiga jenis Jus Al Sunnah serta tiga produk lain yang juga dikeluarkan di Malaysia diharamkan di Brunei. CAP juga telah mengemukakan perkara ini kepada Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan Kementerian Kesihatan dan Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal dalam surat kami bertarikh 27 Jun 2018. Kenapa Kementerian Kesihatan menunggu begitu lama untuk mengharamkan produk berbahaya ini?
Seseorang itu juga mungkin bertanya kenapa produk berbahaya seperti ini boleh memasuki pasaran. Jawapannya ialah suplemen tidak diklasifikasikan sebagai ubatan dan dengan itu tidak memerlukan pemeriksaan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal. Sebaliknya suplemen dilabel sebagai produk makanan dan produk ini tidak perlu diperiksa atau didaftarkan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ia memasuki pasaran. Oleh sebab itu, sebarang tindakan yang diambil biasanya selepas produk didapati melanggar peruntukan Akta Makanan 1983.
Walaupun Kementerian Kesihatan merupakan pihak berkuasa dalam perkara ini, sekurang-kurangnya dalam kes ini, kementerian lain juga perlu bertanggungjawab.
Produk Jus Al Sunnah dibuat untuk dipasarkan kepada pengguna Islam. Nama produk itu sendiri, “Al Sunnah”, jelas menunjukkan mereka yang berada di belakang usaha komersial ini menggunakan Islam untuk mensasarkan pengguna Islam. Amat penting bagi umat Islam untuk melihat label Halal rasmi pada produk untuk menentukan jika produk itu dibenarkan; dan produk Jus Al Sunnah mempunyai label Halal rasmi. Pertama, label Halal rasmi boleh dengan mudah dicetak di atas produk untuk menipu pengguna Islam, oleh itu integriti label Halal di atas produk itu dipersoalkan dan inilah sebenarnya masalah utama. Kedua, adakah JAKIM tidak menjalankan pemeriksaan mengejut untuk menentukan jika produk dengan label Halal benar-benar disahkan Halal?
Jabatan Kastam juga perlu menjawab atas perkara ini di mana produk berbahaya itu dibenarkan keluar dari Malaysia dan dieksport ke negara jiran. Hanya minggu lepas dilaporkan bahawa kematian seorang wanita di Singapura mungkin di sebabkan oleh Jus Al Sunnah yang diambil oleh beliau sejak enam bulan lepas.
Akhir sekali, kami ingin menyatakan bahawa apabila kami membawa perkara ini kepada Kementerian Kesihatan pada Jun, kami telah memberikan kepada mereka gambar-gambar produk “jus kesihatan” lain yang sama dengan Jus Al Sunnah yang juga turut dijual. Bagaimanapun, tidak terdapat sebarang reaksi terhadap semua “jus kesihatan” berbahaya lain yang bercambah di pasaran.
Hanya satu cara untuk menghentikan jenis produk ini daripada dijual di pasaran ialah jika Kementerian Kesihatan mengenakan peraturan yang lebih ketat. Sehubungan itu, kami meminta agar dijadikan mandatori bagi suplemen untuk diperiksa dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ia dibenarkan memasuki pasaran.
Kami juga menggesa agar Kementerian Kesihatan menghantar pegawai penguatkuasaan mereka untuk merampas semua produk Jus Al Sunnah daripada menunggu peruncit menyerahkan stok produk mereka; dan menarik keluar semua produk yang sama dengannya.
Kenyataan Akhbar,26 September 2018