KAEDAH TABUR TERUS TIMBUL BANYAK MASALAH KEPADA PETANI : CAP

Kaedah tabur terus yang diamalkan oleh para petani di negara ini khususnya di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sejak 30 tahun lalu telah menimbulkan banyak masalah dalam pengurusan tanaman padi sekarang sehingga menjejaskan sumber pendapatan golongan berkenaan.

Dalam tinjauan yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati kaedah tabur terus yang menggantikan kaedah tradisi (cedung) walau pun menjimatkan masa dan tenaga kerja tetapi merugikan petani akibat berbagai ancaman yang berlaku ke atas tanaman padi sejak kebelakangan ini.

Tanpa menggunakan air yang banyak dan hanya memerlukan tanah sawah yang lembab sistem tabur terus secara tidak langsung memberi kesan buruk ke atas tanah sawah dan peluang kepada musuh tanaman untuk membiak dan memakan biji benih serta pokok padi yang sudah membesar. Keadaan tersebut akan menjadi lebih buruk dan bertambah serius jika kawasan sawah tidak mempunyai sistem saliran yang sempurna di mana benih padi yang ditabur dan pokok padi yang tumbuh terdedah kepada kemusnahan akibat banjir dan tanah sawah kering.

Di kawasan MADA misalnya sejak kaedah tabur terus dilaksanakan oleh para petani di kawasan itu berbagai masalah telah berlaku dan dihadapi mereka seperti ancaman padi angin, siput gondang, rumput liar, tikus, penyakit, ulat, tanah sawah jerlus dan lain-lain lagi yang memaksa mereka berulang kali menabur benih serta menggunakan racun makhluk perosak secara berlebihan.

Selain hasil pendapatan petani di kawasan itu merosot sehingga 70% akibat masalah yang berlaku, penggunaan racun di kawasan sawah telah menjejaskan alam sekitar, kesihatan petani dan pembiakan ikan air tawar yang menjadi sumber makanan serta protein bagi penduduk-penduduk di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu CAP menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, jabatan dan agensi yang berkenaan memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan tindakan secepat mungkin perlu diambil bagi mencegah punca masalah tersebut dari berterusan sehingga boleh menggugat hasil padi dan bekalan makanan negara pada masa akan datang.

CAP berpendapat kaedah tabur terus perlu dihentikan dan meminta pihak kerajaan menyediakan sumber bekalan air yang mencukupi dan sistem saliran yang sempurna untuk para petani melaksanakan semula sistem tradisi yang banyak memberi kebaikan kepada mereka. CAP mendapat tahu kini semakin ramai petani di kawasan MADA mengamalkan semula sistem tradisi dan meninggalkan kaedah tabur terus yang menimbulkan banyak masalah sebelum ini.

 

Kenyataan Media, 11hb Januari 2017