Penyertaan Malaysia dalam perjanjian CPTPP perlu dikaji semula bagi manfaat petani, nelayan dan penternak serta keterjaminan makanan negara. Forum Kedaulatan Makanan Malaysia pada 29 Disember 2022 telah menyerahkan memorandum berikut yang ditandatangani oleh 54 organisasi kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu mengenai perkara itu.
……………………………………………………………………………………………………………………………………
Memorandum Forum Kedaulatan Makanan Malaysia berkenaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Transpasifik (CPTPP) yang diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Tuan Haji Mohamad Bin Sabu.
29 Disember 2022
Tujuan memorandum ini adalah untuk mendapatkan penjelasan sama ada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menjalankan penilaian dan kajian terperinci berhubung perkara yang dinyatakan dalam memorandum ini mengenai pengesahan CPTPP. Analisis kos dan manfaat yang dikeluarkan oleh MITI tidak secara langsung mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan dan usahawan dalam sektor pertanian, atau kesan kepada pengguna. Malah, tiada penilaian mengenai kesan terhadap keterjaminan makanan negara.
Kami memohon agar kebimbangan mendalam ini dibawa ke mesyuarat Kabinet supaya penyertaan Malaysia dalam perjanjian CPTPP dapat dikaji semula bagi manfaat petani, nelayan dan penternak serta keterjaminan makanan negara. Isu-isu yang memerlukan perhatian segera termasuklah:
I. Negara-negara yang meratifikasi CPTPP mesti menyertai Konvensyen UPOV 1991. Konvensyen ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan yang meluas dan hak monopoli kepada pembiak tumbuhan bagi tujuan yang dikatakan untuk menggalakkan pelaburan dan inovasi. Sistem UPOV berat sebelah dan menafikan kepentingan dan sumbangan petani kecil. UPOV menghalang petani daripada melakukan inovasi dan menafikan hak tradisional petani untuk berkongsi dan menjual benih dilindungi yang dituai dari ladang mereka sendiri secara bebas.
II. Subsidi kepada nelayan boleh disekat sekiranya nelayan menangkap ikan yang dikategorikan sebagai spesies yang semakin berkurangan akibat penangkapan ikan yang berlebihan. Tiada pengecualian bagi nelayan kecil mahupun nelayan pantai. Peraturan ini tidak adil kerana ia meletakkan kesalahan spesies ikan yang semakin berkurangan kepada nelayan kecil apabila punca utama kepupusan ikan adalah daripada pencemaran dan penggunaan pukat yang dilarang oleh kapal pukat tunda besar.
III. CPTPP memberikan 10 tahun keistimewaan perlindungan pemasaran eksklusif kepada agrokimia yang boleh menyebabkan harga racun pertanian meningkat tiga kali ganda. Walaupun lebih baik petani beralih kepada kaedah pertanian asli, perubahan mendadak dalam harga racun makhluk perosak kimia boleh menyebabkan petani gulung tikar lebih awal. Penternak akan menanggung kos perubatan veterinar yang lebih mahal hasil daripada keperluan yang lebih ketat dalam bab Harta Intelek CPTPP.
IV. CPTPP memerlukan pemansuhan tarif atau cukai import kepada 0% ke atas hampir semua produk pertanian yang diproses dan tidak diproses. Selain memberikan pendapatan kepada kerajaan, tarif import juga merupakan mekanisme untuk melindungi petani, nelayan dan penternak tempatan daripada lambakan produk import yang murah dan berkemungkinan rendah kualitinya. Malah tanpa tarif lonjakan import dan lambakan akan berlaku.
V. Dengan CPTPP, permit import yang bertujuan melindungi petani, penternak, pengguna dan pasaran tempatan daripada lambakan import akan dikekang penggunaannya oleh agensi terlibat seperti FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan MAQIS (Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia). Contohnya, apabila cili asing yang murah dan berkualiti rendah membanjiri pasaran dan menjejaskan petani tempatan pada masa hadapan, FAMA akan menghadapi sekatan baharu jika mahu membantu mengurangkan import melalui mekanisme kebersihan dan fitosanitari.
VI. Peluang bagi usahawan tempatan dalam sektor pertanian akan menyusut. Lambakan produk import dan perkhidmatan asing ke dalam negara boleh menyebabkan kilang dan usahawan tempatan gulung tikar. Lambakan produk import akan menggembirakan pengguna dalam jangka pendek. Walau bagaimanapun, tanpa disedari ini akan membunuh pengeluar dan peniaga tempatan sehingga segala keperluan pengguna akan semakin bergantung kepada negara luar.
Klik di sini untuk memorandum penuh dan senarai organisasi yang menyokongnya: https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2023/01/29-Dis-2022-Memo-to-Minister-of-Agric-and-Food-Security_BM-signed-Dis-2022.pdf