Kajian Baru Mendedahkan Krisis Perdagangan Antarabangsa Plastik “Kitar Semula”

Kuala Lumpur / Hong Kong / Berkeley, USA, 23 April 2019 — Pencemaran air, kematian tanaman, penyakit serta pembakaran terbuka sisa plastik telah melanda Asia Tenggara di samping plastik “kitar semula” dunia, berdasarkan kepada laporan GAIA (Global Alliance for Incinerator Alternatives) dengan analisis data perdagangan sisa global oleh Greenpeace East Asia.

“Sisa plastik dari negara maju melanda komuniti di Asia Tenggara, mengubah kawasan yang dulunya bersih dan subur menjadi tapak pelupusan toksik. Ianya tidak adil bagi negara dan komuniti yang mempunyai kurang keupayaan dan sumber untuk menangani masalah pencemaran plastik dijadikan sasaran tapak lambakan plastik pakai-buang yang dijana di negara maju,” kata Von Hernandez, penyelaras global gerakan Break Free from Plastic.

Untuk mengukur perubahan aliran sisa plastik “boleh dikitar semula” sebelum dan selepas larangan pengimportan sisa luar negara oleh negara China pada tahun 2018, Greenpeace East Asia telah mengumpul data import-eksport dari 21 pengeksport tertinggi – dengan Amerika Syarikat, United Kingdom, German dan Jepun paling tinggi – dan 21 pengimport sisa/skrap plastik tertinggi.

Sementara itu, tinjauan lapangan oleh GAIA di Indonesia, Malaysia dan Thailand memperincikan operasi kitar semula haram, sindiket jenayah, pembakaran terbuka, pencemaran air, kematian tanaman, dan peningkatan kejadian penyakit yang berkait dengan pencemaran alam sekitar, yang telah membawa kepada bantahan awam serta tindakan segera oleh pihak kerajaan untuk mengenakan larangan untuk melindungi sempadan masing-masing.  Banyak negara yang telah mengikuti negara China dan mengharamkan pengimportan sisa plastik.

Data menunjukkan bahawa krisis plastik Asia Tenggara adalah kemuncak situasi di seluruh dunia, dengan sisa bertimbun di peringkat global dan di semua negara yang terlibat, malahan pengeksport sebelum ini.  Secara keseluruhannya, eksport sisa plastik telah merosot hampir 50%, daripada 12.5 juta tan dalam tahun 2016 ke 5.8 juta tahun dalam tahun 2018 (data sedia ada dari Januari ke November 2018).  Oleh kerana penghasilan plastik adalah dijangka meningkat, kemerosotan jumlah eksport bermakna plastik “boleh dikitar semula” akan bertimbun atau dihantar untuk dilupuskan di dalam negara. [Nota 1]

Namun pengeksportan sisa ini tidak memastikan pelupusan yang betul. Kini, pengeksportan ke negara lain berlaku tanpa perundangan yang memadai bagi tujuan perlindungan. Contohnya  Sumengko Utara di Indonesia menjadi kawasan lambakan antarabangsa dalam masa yang singkat.  Tinjauan lapangan GAIA mendapati sisa bertimbun sehingga 2 meter tinggi, tapak pelupusan sementara dan pembakaran terbuka di kawasan pertanian komuniti.

Proses ini akan berterusan sehingga keputusan dan tindakan wajar diambil.  Selepas pengharaman import oleh China, sisa telah membanjiri Malaysia, Vietnam, dan Thailand, yang dengan segera mengenakan larangan import. Kemudian eksport sisa plastik mula melanda Indonesia, India, dan Turki.

“Apabila satu negara mengenakan peraturan ketat pengimportan sisa plastik, ianya mula membanjiri destinasi yang tiada peraturan.  Apabila negara itu pula mengenakan peraturan, pengeksportan berpindah ke negara lain.  Ianya seperti sistem pemangsa, dan ianya juga semakin tidak cekap.  Setiap tindakan  larangan yang diambil, menunjukkan lama-kelamaan sisa plastik itu semakin lesap – di mana kita tidak nampak apa yang dilakukan dengan sisa plastik ini – dan ini tidak boleh diterima,” kata Kate Lin, pegawai kempen kanan Greenpeace East Asia.

Konvensyen Basel akan bertemu dari 29 April ke 10 Mei di Switzerland untuk mempertimbangkan cadangan Norway untuk ketelusan dan akauntabiliti dalam perdagangan antarabangsa sisa plastik. Cadangan itu menyatakan bahawa pengeksport sisa plastik perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu dari negara destinasi – sistem yang dikenali sebagai, “prior informed consent” yang memang wujud untuk jenis sisa berbahaya yang lain.

“Memandangkan negara kaya melambak sisa plastik gred rendah dari satu negara ke negara lain di Selatan dunia, sekurang-kurangnya komuniti antarabangsa perlu memaklumkan apa yang mereka hantar ke negara tersebut. Walaubagaimanapun, sebaik-baiknya negara pengeksport perlu menangani masalah pencemaran plastik di negara masing-masing dan bukan lepas tangan dan membebankan komuniti lain,” kata Beau Baconguis, Penyelaras Plastik Rantau GAIA Asia Pacific.

Krisis plastik ini juga mempunyai punca yang jelas; badan korporat yang menghasilkan pembungkusan plastik untuk meningkatkan keuntungan.

“Sistem kitar semula tidak seiring dengan penghasilan plastik, di mana hanya 9% plastik yang pernah dihasilkan telah dikitar semula.  Penyelesaian untuk pencemaran plastik ialah mengurangkan penghasilan plastik.  Pengguna plastik yang besar – terutamanya syarikat seperti Nestlé dan Unilever, dan juga pasaraya — perlu mengurangkan pembungkusan plastik sekali-guna dan bergerak ke arah sistem isi semula dan guna semula untuk mengeluarkan kita dari krisis ini,” kata Lin.

Lanjutan daripada impak pencemaran plastik kepada alam sekitar dan sosial, S.M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa penguatkuasaan lebih ketat larangan pengimportan sisa plastik.

“Pencemaran, penyakit dan bebanan ekonomi untuk membersihkan kawasan terlibat akan ditanggung oleh komuniti untuk berdekad-dekad.  Negara kaya perlu bertanggungjawab ke atas sisa mereka di negara masing-masing.  Kami bukan tapak pelupusan anda,” kata beliau.

 

Nota kepada pengarang:

Foto untuk media boleh didapati di sini:  https://media.greenpeace.org/collection/27MZIFJWFLJC0

Kajian GAIA dikumpul di halaman mikro ini:  http://wastetradestories.org/

Analisis data Greenpeace East Asia boleh didapati di sini. http://www.greenpeace.org/eastasia/Global/eastasia/publications/campaigns/toxics/GPEA%20Plastic%20waste%20trade%20-%20research%20briefing-v1.pdf

 

Nota 1: Berdasarkan trend sejarah, penjanaan sisa plastik global secara kumulatif adalah dijangka mencapai lebih daripada 25,000 juta tan metrik sebelum tahun 2050. Geyer, R. et al (2017) Production, use and fate of all plastics ever made. Science Advances Vol. 3, no. 7. https://advances.sciencemag.org/content/3/7/e1700782.  Penjanaan sisa plastik semakin meningkat di negara pengeksport utama seperti Germany (meningkat  3.9% antara 2015 dan 2017) dan Amerika Syarikat (dijangkan meningkat 12% dalam tahun 2018 berbanding 2015).

 

Kontek media:

Claire Arkin, Communications Coordinator, GAIA, claire@no-burn.org

Sherma Benosa, Communications Officer, GAIA Asia Pacific,  sherma@no-burn.org, +63 917 815 7570,

Mageswari Sangaralingam, Pegawai Penyelidik CAP/SAM, magesling@gmail.com, +60 12 878 2706

August Rick, International Communications Officer, Greenpeace East Asia, Beijing, august.rick@greenpeace.org, +86 155 2818 9404,

Greenpeace International Press Desk, pressdesk.int@greenpeace.org, phone: +31 (0) 20 718 2470 (available 24 hours)

 

Siaran Media, 23 April 2019