Kawal selia diperlukan bagi pertubuhan amal

Gambar: The Star

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan secara serius gesaan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 2020 bagi penubuhan Suruhanjaya Amal Malaysia.

Setakat ini, tiada statut komprehensif tunggal di Malaysia untuk mengawal selia NGO, kecuali bagi badan amal dan amanah amal dan institusi yang digariskan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Jadual Kesembilan hanya menyatakan bahawa badan amal Islam berada di bawah senarai negeri tetapi ia tidak memperuntukkan pentadbiran mereka. Kami menggesa agar pentadbiran negeri menyediakan badan penyelia bagi badan amal Islam.

Sejak bertahun-tahun, banyak permintaan dibuat kepada orang ramai bagi mendapatkan dana untuk membina masjid, institusi tahfiz, dan pelbagai tujuan kebajikan lain. Memastikan ketelusan dan ketulenan dalam pengumpulan dana adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan dalam komuniti dan menjamin bahawa derma digunakan bagi tujuan yang dimaksudkan. Melaksanakan mekanisme bagi pengesahan boleh memainkan peranan penting dalam mencapai objektif ini.

Adalah penting bagi Malaysia untuk menggubal undang-undang yang menangani perkara berikut:

  • Pendaftaran badan amal,
  • Pentadbiran dan tadbir urus badan amal,
  • Kawal selia badan amal dan institusi bercirikan awam,
  • Menyelia aktiviti pengumpulan dana yang berkaitan dengan badan amal dan institusi lain, termasuk pengendalian rayuan pengumpulan dana, dan perkara yang berkaitan, dan
  • Mewujudkan perundangan yang akan menyediakan rangka kerja berstruktur bagi operasi dan pengawasan NGO, memastikan akauntabiliti, ketelusan, dan pengurusan yang berkesan bagi usaha amal dan institusi awam.

Statut ini akan mengawal selia tadbir urus badan amal dengan menangani bidang utama seperti pendaftaran, pembatalan pendaftaran dan langkah penguatkuasaan bagi penyerahan akaun, laporan dan penyata lain yang diperlukan. Selain itu, ia menyelia aktiviti pengumpulan dana, memastikan mereka mematuhi garis panduan dan piawaian yang ditetapkan.

Selain menyelia operasi badan amal, statut ini perlu diberi kuasa untuk melucutkan kelayakan individu yang disabitkan dengan kesalahan yang melibatkan ketidakjujuran atau penipuan daripada memegang sebarang jawatan dalam NGO. Tambahan pula, ia perlu melarang penglibatan mereka dalam organisasi lain untuk mengekalkan integriti dan kebolehpercayaan sektor pembiayaan sosial.

Penderma berpotensi boleh melayari laman sesawang Suruhanjaya Amal untuk mencari senarai badan amal berdaftar yang mereka mungkin ingin menderma. Mereka juga boleh membaca laporan tahunan badan amal ini. Ia akan memastikan akauntabiliti dan ketelusan mereka.

Kami menekankan rayuan kami kepada kerajaan untuk mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Amal Malaysia melalui perundangan khusus. Tindakan ini penting untuk membina semula kepercayaan orang ramai dalam menderma kepada badan amal atau NGO, dan ia akan mengurangkan risiko pertubuhan ini menipu orang ramai bagi mendapatkan dana atau beroperasi secara tidak berkesan disebabkan pertubuhan yang lemah.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 25 April 2024