Kawal Selia Pembedahan Kosmetik – CAP

Sudah berkali-kali kita mendengar kes-kes pembedahan kecantikan yang gagal di negara ini dan pada kali ini seorang wanita maut ketika menjalani prosedur sedut lemak (liposuction) di sebuah pusat kecantikan. Oleh kerana prosedur itu bukan dijalankan di premis perubatan, ia tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

Apabila tragedi seumpamanya berlaku, maka pelbagai pihak mula memperkatakannya dalam media. Menurut Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Subramaniam Muniandy, kejadian seumpamanya pernah berlaku sebelum ini, dan isu penguatkuasaan yang ketat telah beberapa kali diketengahkan kepada kerajaan.

Pada ketika ini terdapat garis panduan mengenai amalan perubatan estetik yang dibentuk oleh Kementerian Kesihatan dan di dalam kerajaan sejak 2013. Kementerian Kesihatan hanya mempunyai kuasa untuk bertindak di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998 dan Akta Perubatan 1971 jika membabitkan doktor tidak terlatih dalam pembedahan kosmetik. Undang-undang yang sudah lapuk itu dianggap tidak mencukupi untuk melindungi pengguna daripada diperdaya oleh apa yang dinamakan “pakar bedah kosmetik ” yang tidak bertauliah.

Sejak 2013, CAP telah menggesa Kementerian Kesihatan agar mengawal pembedahan kosmetik dengan ketat memandangkan tidak terdapat undang-undang secara langsung untuk menghalang mereka yang tidak bertauliah daripada melakukan pembedahan kosmetik atau prosedur bukan pembedahan ataupun mendakwa mereka atas tuduhan jenayah meskipun pesakit menemui maut atau mengalami kecacatan akibat kerja yang tidak cekap.

Memandangkan sekarang pengguna begitu ghairah untuk kelihatan cantik, ramai yang  mungkin tidak berfikir dua kali untuk menghabiskan ribuan ringgit atau menjalani pembedahan untuk mencantikkan lagi rupa paras atau tubuh mereka. Wang yang dibelanjakan ke atas pembedahan kosmetik seumpamanya di seluruh dunia mungkin melebihi bajet sebahagian negara membangun di mana ada yang mati kebuluran atau sukar untuk meneruskan kehidupan.

Melihat kepada keadaan di atas, semakin ramai penduduk terutama wanita muda menjadi mangsa pusat kecantikan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada keinginan dan rasa kurang yakin dengan penampilan diri. Industri kecantikan dan kesihatan amat menguntungkan. Menurut Majlis Perubatan Malaysia, industri berbilion dolar itu berkembang 15% setiap tahun.

Namun begitu, potensi untuk memperolehi keuntungan besar telah mendorong pertumbuhan pengamal perubatan lorong belakang dengan kepakaran yang terbatas atau pengalaman yang kecil dalam mengendalikan peralatan pembedahan ataupun peralatan kosmetik bukan pembedahan. Ini bukan sahaja menarik perhatian “doktor palsu” malah pengamal perubatan umum yang tidak terlatih dalam bidang berkenaan untuk mengaut keuntungan dengan cepat.

Memandangkan iklan pelangsing tubuh tidak berhenti-henti membanjiri akhbar dan media elektronik, keperluan menjalani pembedahan komsetik hampir menjadi satu kemestian bagi ramai wanita moden. Walaupun prospektif pesakit bedah kosmetik zaman moden ini secara teorinya lebih bermaklumat, oleh itu lebih mampu membuat keputusan dengan pengetahuan yang luas, tragedi pembedahan kecantikan yang gagal masih berlaku. Tambahan pula, kerosakan saraf dan kecacatan akibat bahan suntikan adalah prosedur kosmetik yang membahayakan pesakit.

Tidak seperti doktor bertanggungjawab yang akan melakukan pemeriksaan yang teliti dan menyeluruh sebelum memutuskan pilihan bagi rawatan yang terbaik, pusat kecantikan seringkali lebih mengutamakan keinginan pelanggan tanpa mengira risiko perubatannya.

Berikut adalah sebahagian daripada pembedahan plastik yang gagal:

·      November 2009

Hidung seorang wanita berusia 34 tahun membengkak selepas disuntik untuk membesarkannya.

·      Januari 2010

Isteri seorang ahli politik maut selepas koma 10 bulan berikutan komplikasi yang berpunca daripada pembedahan selama 8 jam untuk mengurangkan bengkakan bawah mata, mengempiskan perut dan menyedut lemak.

·      Februari 2010

Seorang jurujual wanita beusia 28 tahun mengalami kecacatan pada wajahnya selepas mengambil suntikan kolagen untuk kelihatan lebih muda.

·      Mei 2010

Seorang wanita berusia 37 tahun yang menjalani pembedahan untuk mengecilkan payudara mengalami kerosakan saraf dan terpaksa dibuang puting susunya.

·      Jun 2010

Selepas menjalani rawatan menyedut lemak di sebuah pusat kecantikan, seorang wanita menemui maut apabila beliau kembali untuk mendapatkan prosedur lanjutan. Beliau dipercayai  mengalami alahan kepada ubat bius (anestatik).

·      Mei 2011

Seorang wanita berusia 35 tahun dari Petaling Jaya membayar RM8,180 bagi 4 suntikan pada bahagian punggungnya dengan apa yang didakwa oleh pusat kecantikan yang dikunjunginya sebagai uri kambing biri-biri. Apabila kawasan yang disuntik membengkak, beliau pergi ke hospital pakar dan mendapati pusat kecantikan berkenaan sebenarnya menggunakan silikon.

·      Jun 2011

Seorang kerani berusia 30 tahun mendapat jangkitan selepas menjalani satu prosedur di mana lemak dari perutnya digunakan untuk melapisi payudaranya.

·      11 Jun 2011

Seorang pelatih kecantikan berusia 18 tahun hilang sebahagian cuping telinganya selepas menjalani pembedahan untuk menghilangkan parut pada cuping tersebut.

·      13 Jun 2013

Seorang wanita berusia 46 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani prosedur membesarkan payudara di sebuah pusat kecantikan di Petaling Jaya.

Semua laporan di atas mempunyai ciri yang sama – kecacatan, kerosakan dan kematian – akibat menjalani prosedur untuk mencantikkan penampilan luaran.

CAP telah menerima pelbagai aduan mengenai pembedahan kosmetik yang gagal sejak tahun 80-an. Tidak banyak yang berubah sejak itu dan sehingga kini belum dibentuk sebarang undang-undang untuk melindungi pengguna.

Sehubungan dengan tragedi terbaharu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)  mengulangi gesaannya kepada Kementerian Kesihatan agar:

·      Bertindak tegas terhadap doktor yang menjalankan prosedur terbabit sungguhpun tidak terlatih dalam bidang tersebut.

·      Jadikan garis panduan untuk perubatan estetik sebagai satu undang-undang agar ia boleh dikuatkuasakan.

·      Kenakan hukuman penjara terhadap mereka yang mencabulinya. Langkah-langkah berbentuk hukuman ini perlu disepadukan dalam rang undang-undang merangkumi pusat kecantikan dan pengendali haram.

 

Surat kepada Pengarang, 6 November 2020