Sahabat Alam Malaysia (SAM) merujuk kepada cadangan kawasan perlindungan gajah di Kota Tinggi, Johor dikenali sebagai Kawasan Perlindungan Gajah Kampung Panti dan satu lagi akan dibina di Hulu Perak. Dua kawasan perlindungan gajah ini adalah usaha untuk menangani konflik manusia-gajah (HEC) di kawasan itu tetapi SAM meragui bahawa kawasan perlindungan gajah adalah pilihan terbaik untuk menyelesaikan konflik manusia-gajah dan isu pemuliharaan gajah.
Dalam ketiadaan dasar yang menekankan simptom berbanding punca masalah. Kawasan perlindungan bukan hanya penyelesaian berkesan dan pendekatan yang berbeza diperlukan untuk disepadukan bagi menangani konflik manusia-gajah dengan lebih proaktif.
Apakah objektif sebenar penubuhan dua kawasan perlindungan ini selain daripada mencegah konflik manusia gajah? Kawasan perlindungan yang terkenal membuat segala usaha untuk meniru habitat semula jadi haiwan serta menyediakan mereka dengan standard tinggi penjagaan manusia, bebas daripada sebarang bentuk eksploitasi seterusnya. Adakah ini berlaku di Malaysia?
SAM difahamkan bahawa usaha penubuhan kawasan perlindungan ini ialah “sebagai tarikan pelancongan bagi pencinta alam.” Adakah perancang memahami bahawa tiada kawasan perlindungan hidupan liar terkenal membenarkan sebarang interaksi dan ini termasuk mengambil gambar, mengambil bahagian dalam mandikanya malah menunggangnya. Interaksi seperti itu mengganggu dan mengejutkan serta membahayakan haiwan dan pengunjung. Haiwan bukannya alat.
Kebimbangan utama ialah ruang di dua kawasan kemudahan itu. Di Kampung Panti, bolehkah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Kerajaan Perak dan Johor, dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar akui 100 hektar tapak itu sebagai mencukupi bagi 150 ekor gajah? Ia kira-kira 1.6 ekar bagi setiap gajah dan jumlah kawasan mengandungi padang kecil, kawasan simpanan makanan, blok pentadbiran dan lain-lain, oleh itu ruang sebenar yang hanya tinggal untuk gajah akan semakin kurang.
Di Hulu Perak kawasan perlindungan gajah ialah 40 hektar dengan kemudahan lain seperti klinik, kemudahan simpanan makanan, pejabat, pejabat penyelidikan dan pusat penafsiran dan galeri. Perlu dingat bahawa gajah memerlukan kawasan yang luas untuk mencari makanan, makan, meneroka, bersosial dan sebagainya; adakah kawasan ini cukup luas?
Jika rancangannya ialah untuk meletakkan semua gajah liar dalam dua kemudahan ini, maka ia cara yang tidak berperikemanusiaan dalam menangani konflik manusia-gajah ini. Jika ia hanya untuk mengambil gajah liar yang ditangkap maka ia bukan kawasan perlindungan tetapi tidak lebih seperti tempat penyimpanan atau kemudahan untuk menjaga atau zoo. Dalam keadaan ini bilangan gajah cenderung untuk menjadi terlalu besar bagi tapak yang kecil ini.
Terdapat keperluan bagi dasar yang jelas dan perancangan strategik untuk menyelesaikan konflik manusia-gajah dan isu pemuliharaan gajah. Pendekatan semasa untuk menangani dengan konflik ini sebahagian besarnya adalah secara ad hoc, dan terdedah kepada kegagalan disebabkan pelaksanaan kaedah yang tidak sesuai, kurangnya penglibatan penduduk tempatan, pemantauan konflik yang tidak mencukupi dan langkah pencegahan konflik dan pemahaman ekologi gajah yang tidak mencukupi dalam melaksanakan strategi pencegahan.
Memandangkan kemusnahan habitat dan pemisahan adalah punca utama masalah, isu ini perlu ditangani untuk menyediakan penyelesaian jangka panjang kepada konflk.
Gajah adalah mamalia cerdik yang bersaing untuk mendapatkan sumber dan pencegahan mestilah melibatkan bukan hanya mengawal pergerakan haiwan dan menyatukan habitat tetapi juga membolehkan penduduk tempatan untuk bertahan memandangkan sesetengah konflik tidak dapat dielakkan. Pencegahan konflik tidak boleh diselesaikan oleh Perhilitan sahaja; ia memerlukan kerjasama pelbagai disiplin antara Perhutanan, syarikat, perancang penggunaan tanah dan ahli biologi bekerjasama dengan komuniti untuk mewujudkan semula laluan penghijrahan yang hilang serta memerlukan tempoh masa yang panjang dan kemahuan politik.
Rancangan penggunaan tanah masa kini dan masa depan perlu untuk menampung gajah. Ini boleh menjadi titik permulaan bagi tindakan pemuliharaan yang lebih meluas yang mana kepentingannya melangkaui mamalia besar ini. Untuk berjaya, dasar negara dengan belanjawan untuk melaksanakannya amat diperlukan.
Surat Kepada Pengarang, 3 Jun 2019