Green Action Week ialah kempen global untuk menggalakkan penggunaan mampan. Setiap tahun dari September hingga Oktober, pertubuhan di seluruh dunia akan mengambil tindakan bersepadu bagi mempromosikan suatu matlamat bersama. Inisiatif yang dimulakan di Sweden pada tahun 1990 oleh Swedish Society for Nature Conservation telah berkembang menjadi satu perkongsian antarabangsa sejak 2010. Ia dijalankan dengan penyelarasan oleh Consumers International (CI), di mana CAP adalah ahli CI.
Tema bagi Green Action Week sejak 2018 ialah ‘Komuniti Berkongsi’. Pada tahun ini CAP memutuskan untuk bekerjasama dengan sekolah-sekolah dalam memupuk komuniti berkongsi dalam kalangan komuniti sekolah, dengan tema “Ke Arah Sekolah Lestari”.
Amalan hijau dan mampan bukanlah satu inisiatif yang baharu untuk sekolah-sekolah di Pulau Pinang. Dalam langkah untuk memperkenalkan projek lestari kepada sekolah, CAP telah memulakan kebun sayur, sudut herba, dan unit pengkomposan di sekolah-sekolah di Pulau Pinang supaya guru-guru, para pelajar dan pekebun sekolah boleh menanam tanaman dan sayur-sayuran bebas bahan kimia.
Sekolah-sekolah di Pulau Pinang juga telah bergerak secara aktif ke arah sisa sifar melalui pencegahan sisa, pengurangan sisa, penggunaan semula bahan, pengkomposan sisa organik, dan pengasingan sisa di sumber untuk dikitar semula. Ini turut disokong oleh kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Seberang Perai.
SMK Convent Butterworth mempunyai semua ini dan banyak lagi, ia termasuklah penuaian air hujan, mengamalkan penjimatan tenaga, membuat penggalak pertumbuhan asli untuk tanaman, membuat beg kain daripada baju-t lama, dan lain-lain lagi. Kami mengadakan Green Action Week tahun ini di sini agar sekolah lain yang telah datang ke program hari ini boleh melihat, belajar, mencontohi tindakan hijau serta lestari, dan juga berkongsi inisiatif mereka sendiri.
Kami berhasrat untuk menggabungkan konsep perkongsian dan usaha sama komuniti ini melalui sekolah. Ke Arah Sekolah Lestari boleh menggabungkan pembelajaran dengan pengalaman praktikal, menyediakan generasi masa depan kita dengan pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang diperlukan untuk menjalani gaya hidup yang mampan.
Kanak-kanak adalah generasi masa depan kita. Apabila kemampanan dan kesedaran alam sekitar diterapkan dalam diri kanak-kanak sejak dari kecil lagi, kami berharap agar mereka akan terus menjadi sebagai orang dewasa yang lebih berhati-hati, membuat pilihan yang lebih hijau dan mengurangkan jejak karbon mereka.
Apabila komuniti sekolah bekerjasama, dan berkongsi pengetahuan, barangan dan perkhidmatan, kita bukan sahaja merapatkan komuniti tetapi kita juga mengurangkan jejak ekologi kita. Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama bekerja untuk ke arah masa depan yang lebih baik.