Kebenaran Meneruskan Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang Amat Mengejutkan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat terkejut dan kecewa apabila mendapati bahawa Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang menjadi kontroversi telah diberikan kebenaran untuk meneruskan projek oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (NPPC), dengan mengenakan 18 perkara sebagai nasihat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kami tidak mengetahui bagaimana PSR boleh diluluskan apabila terdapat begitu banyak kebimbangan mengenai kewangan, sosial dan alam sekitar yang amat besar terhadap projek itu, termasuklah kesannya ke atas kehidupan nelayan tempatan yang akan terjejas oleh projek itu.

Malah kami tidak dapat memahami bagaimana kelulusan untuk PSR diberikan apabila kos tambak laut dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) begitu besar sekali, malah jika dibandingkan dengan ECRL.

Sebagai contoh, adalah dianggarkan Pan Island Link yang merupakan sebahagian daripada PTMP, akan menelan belanja RM400 juta bagi setiap kilometer jalan berbanding RM68 juta bagi setiap kilometer projek ECRL yang disemak semula.

Kos yang amat besar bagi PSR dan PTMP yang berjumlah RM46 bilion, tidak dapat diterangkan dan amat mengejutkan dan bagaimana sebarang kelulusan boleh diberikan di bawah keadaan itu amat membingungkan.

Begitu banyak kebimbangan asas yang telah dikemukakan oleh penduduk yang prihatin dan NGO dan kita tidak tahu bagaimana kebimbangan ini ditangani. Oleh itu, kita mahu 18 perkara nasihat itu didedahkan kepada orang ramai supaya orang ramai dapat memahami apakah syarat untuk kelulusan oleh NPPC.

 

Siaran Akhbar, 18 April 2019