Kegagalan FGV – Tiba Masanya Pemegang Saham Memainkan Peranan Aktif

Perbelanjaan yang cekap oleh entiti berkaitan kerajaan amat penting dalam keadaan hutang yang besar yang kini sedang dihadapi oleh negara. Ini bermakna memperolehi bayaran oleh pengarah melalui bayaran yang tidak cekap (contohnya yuran pengarah, manfaat dan faedah) perlu dipersoalkan secara aktif dan ditadbir dengan baik.

Langkah tegas oleh pemegang saham FGV dalam mengundi membantah yuran pengarah dan manfaatnya perlu dipuji. Kajian kami mendapati FGV antara sepuluh teratas entiti berkaitan kerajaan yang melaporkan bayaran terttinggi bagi pengarah bukan eksekutif dalam tempoh 2013-2017. Secara purata, FGV membayar pengarah bukan eksekutif mereka dengan anggaran RM4.6 juta setahun walaupun mengalami prestasi buruk sejak 2013. Kedudukan syarikat yang mengalami kerugian tidak mewajarkan lembaga pengarah untuk menikmati manfaat dan faedah. Kini tiba masanya untuk bekerja keras dan menghapuskan perbelanjaan yang tidak wajar untuk menyelamatkan syarikat dan untuk menjadikan ia menguntungkan.

Kami berharap untuk melihat lebih ramai pemegang saham bertindak dalam mendisiplinkan pengarah dalam entiti berkaitan kerajaan. Pemegang saham minoriti dan pemegang saham lain adalah penting kepada entiti berkaitan kerajaan dan ia juga perlu memainkan peranan aktif dalam mempersoalkan bayaran lembaga pengarah. Orang ramai atau pemegang taruh yang terjejas oleh aktiviti perbelanjaan GLE mempunyai hak untuk mengetahui dan menuntut ketelusan yang lebih besar berhubung aspek perbelanjaan yang lebih penting ini.

 

Surat Kepada Pengarang, 27 Jun 2019