Sahabat Alam Malaysia (SAM) merujuk kepada surat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, H. E Charles Hay (diterbitkan pada 24 Ogos) bertajuk “Bekerjasama dalam menangani krisis iklim”.
Kami bersetuju dengan duta itu bahawa kerajaan-kerajaan “hanya dapat mengatasi cabaran krisis iklim dengan bekerjasama dan melalui komitmen untuk transformasi global yang tulen”.
Bagaimanapun, setelah terlibat secara aktif dalam proses Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), semua yang kita saksikan adalah sejarah janji-janji yang dimungkiri oleh negara maju, dan mengubah matlamat daripada keputusan yang telah disepakati sebelumnya.
Jauh daripada menunjukkan kepemimpinan yang sebenar dengan pemotongan pelepasan yang segera, kami melihat janji sifar bersih menjelang 2050, termasuk oleh United Kingdom, yang merupakan sasaran yang sangat jauh yang tidak akan mengehadkan kenaikan suhu di bawah 1.5°C daripada tahap pra-industri.
Laporan Khas Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) mengenai pemanasan 1.5°C, menganggarkan bahawa baki ruang karbon daripada 2018 dan seterusnya hanya kira-kira bersamaan 480 gigaton karbon dioksida (GtCO2eq), untuk kebarangkalian 50% bagi menyekat kenaikan suhu kepada kurang daripada 1.5°C.
Dengan kadar pelepasan semasa sekitar 42 GtCO2 setahun, dalam sekitar 12 tahun, anggaran ini sudah pun habis. Kita tidak lagi mempunyai lebih banyak masa dan selesa untuk menetapkan sasaran sifar bersih, terutamanya bagi negara maju, yang telah menggunakan kuota ruang karbon dengan pelepasan bersejarah dan semasa.
Mantera sifar bersih membenarkan negara maju melepaskan diri dengan sasaran yang terlalu kecil yang sudah terlambat, dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada negara membangun untuk melakukan tugas yang amat berat ini.
Negara maju perlu mencapai sifar sebenar secepat mungkin!
Gesaan Perjanjian Paris bagi mencapai keseimbangan antara pelepasan dan penghapusan oleh penyerapan pada tahun 2050, adalah berdasarkan ekuiti dan dalam konteks pembangunan lestari serta usaha untuk membasmi kemiskinan. Ini adalah aspirasi global, dan bukan preskripsi bagi setiap negara.
Negara maju gagal untuk memenuhi komitmen pengurangan pelepasan yang telah disepakati sebelum ini. Menurut Sekretariat UNFCCC, negara maju secara agregat hanya mencapai pengurangan pelepasan 13% antara 1990 hingga 2018, ketika apa yang dijanjikan adalah menyemak semula sasaran daripada 18% pada 2020 kepada sekurang-kurangnya 25-40%.
Negara-negara di Eropah Barat ditambah dengan Amerika Syarikat, Jepun, Australia, New Zealand, dan Kanada belum berjaya mengurangkan pelepasan agregat mereka antara 1990 dan 2020. Sebaliknya, pelepasan agregat mereka sebenarnya meningkat.
Di samping itu, negara maju juga gagal menunaikan janji pembiayaan iklim untuk mobilisasi USD 100 bilion setahun menjelang 2020 yang disepakati pada 2010. Pada 2015 di Paris, matlamat untuk merealisasikan sasaran kewangan ini diubah ke 2025.
Sekiranya transformasi tulen ini hendak dicapai, maka skala pembiayaan yang diperlukan sememangnya amat besar, tetapi jika ada kemahuan politik untuk mengatasinya, ini dapat dicapai.
Agensi Tenaga Diperbaharui Antarabangsa (IREA) misalnya, telah mengatakan bahawa untuk mengehadkan kenaikan suhu sehingga jauh di bawah 2 darjah C memerlukan pelaburan $110 trilion kumulatif di seluruh dunia dalam sektor tenaga sehingga 2050. Jumlah ini ialah kira-kira 2% daripada purata KDNK global dan merangkumi seluruh dunia tetapi hanya untuk sektor tenaga sahaja. Untuk had 1.5 C darjah, banyak lagi yang diperlukan.
Berkaitan dengan adaptasi, anggaran oleh UNEP menunjukkan bahawa kos adaptasi di negara membangun berada dalam lingkungan $140 bilion hingga $300 bilion setahun pada 2030 dan $280 bilion hingga $500 bilion setiap tahun menjelang 2050.
Angka-angka kos ini boleh dapat diatasi berdasarkan pengalaman negara maju, yang menurut kajian McKenzie, dapat mengumpulkan $10 trilion hanya dalam dua bulan pertama sebagai tindak balas terhadap pandemik Covid-19, yang 3 kali lebih banyak berbanding tindak balas terhadap krisis kewangan 2008-2009!
Jadi isunya bukanlah mengenai kewangan yang tidak mencukupi, tetapi mengenai sama ada terdapat kemahuan politik untuk menyediakan apa yang diperlukan untuk transformasi yang diperlukan.
Laporan IPCC terbaru mengenai ‘Sains Fizikal’ telah diumumkan sebagai satu amaran dan kod merah untuk kemanusiaan dan masa depan Bumi.
Berdasarkan rekod prestasi negara maju, terdapat bahaya yang nyata bahawa COP26 (Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang ke-26) akan menyaksikan lebih banyak teater dimainkan, untuk memberikan ilusi bahawa dunia berada di landasan yang betul untuk mengehadkan kenaikan suhu.
Adalah dijangkakan bahawa pada COP26 ini, lebih banyak janji yang akan dibuat oleh negara kaya bahawa akan ada peningkatan wang yang akan diberi jika lebih banyak negara bersama dengan sasaran sifar bersih jangka panjang, dan bersetuju dengan peraturan untuk pasaran karbon, iaitu suatu mekanisme ofset yang mempunyai celah-celah dan akan melemahkan integriti persekitaran.
Kemungkinan besar Glasgow (tempat persidangan COP 26) akan diisytiharkan sebagai COP yang ‘berjaya’, tetapi kita tidak akan bertepuk tangan, kerana kita dapat melihat masalah sebenarnya yang merupakan penyelesaian palsu seperti sifar bersih dan pasaran karbon.
Ini bukan transformasi tetapi khayalan, bahawa kita berada di landasan yang betul untuk menyelamatkan planet kita dan melestarikannya untuk generasi akan datang.
Surat Kepada Pengarang, 26 Ogos 2021