Kekeliruan, Keraguan & Kelemahan Status Halal

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengucapkan tahniah kepada kerajaan di atas usaha untuk membentangkan Undang-undang Majlis Halal Negara, yang akan menangani semua aspek industri Halal.

Akta baharu ini sepatutnya membantu untuk memastikan pengeluar bertindak dengan lebih bertanggungjawab dalam melabelkan makanan dan produk sebagai Halal, daripada meletakkan beban ke atas pengguna untuk menentukan status Halal produk. Akta itu juga perlu menjelaskan penggunaan perkataan “Tidak Halal” yang lebih sempurna dan dibenarkan sebagai tanda amaran kepada umat Islam. Istilah ini seharusnya tidak merangkumi hanya daging dan produk mengandungi babi tetapi juga semua produk lain yang dilarang dalam Islam seperti cara sembelihan dan sebagainya.

Indonesia menetapkan untuk menjadikan label Halal mandatori bagi barangan pengguna dan perkhidmatan tahun ini dengan kerajaan mengandaikan kawalan yang lebih besar terhadap proses persijilan. Di bawah undang-undang yang diluluskan pada 2014, negara itu akan melaksanakan perlabelan Halal wajib menjelang 17 Oktober.

Pada masa kini, undang-undang yang berkaitan Halal di negara ini  tidak di kawal oleh satu Akta tetapi dikawal oleh undang-undang yang berasingan. Ini memberikan ruang bagi berlakunya penipuan oleh perniaga yang tidak bertanggungjawab. Contohnya komuniti Islam di negara kita masih berdepan dengan isu sijil Halal palsu, isu pemprosesan makanan yang tidak menurut undang-undang Islam, isu ramuan makanan yang tidak menentu dan kebersihan.

Sejak 1977, CAP telah menguji dan memeriksa produk Haram dan memaklumkan kepada orang ramai mengenainya. Kajian kami menunjukkan pihak industri mengutamakan keuntungan berbanding tanggungjawab agama. Produk sampingan haiwan yang dipersoalkan seperti gelatin mungkin digunakan oleh industri makanan sebagai bahan penambah makanan dan ramuan dalam makanan yang diproses. Kadang kala produk sampingan haiwan digunakan untuk memalsukan makanan yang berasal daripada tumbuhan.

Meskipun CAP menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan, banyak yang masih belum diselesaikan dan isu baharu pula muncul.

Contohnya, kami menemui kapsul termasuk multivitamins yang tidak mengisytiharkan kehadiran gelatin dan sama ada ia Halal.

Umat Islam yang mengambil ubatan dalam bentuk kapsul mungkin secara tidak sengaja mengambil gelatin daripada sumber haiwan yang Haram.

Penggunaan produk sampingan haiwan dan antibiotik dalam makanan haiwan menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan integriti Halal daging yang dibesarkan dengan makanan seperti itu. Sejak 2006, berulangnya insiden amalan memberi makan yang tidak sempurna dilaporkan oleh media. Contohnya, ikan diberi makan dengan produk sampingan haiwan (usus babi) mengejutkan umat Islam di negara ini.

Rangka kerja perundangan semasa mengenai makanan haiwan di Malaysia mengabaikan sepenuhnya isu Halal dan antibiotik di dalamnya. Kini tiba masanya mereka mesti memasukkan keperluan Halal dan mengharamkan penggunaan antibiotik dalam makanan haiwan.

Memastikan haiwan pengsan sebelum menyembelih tidak diterima dalam Islam. Banyak kajian perubatan menunjukkan kaedah pengsan ini membawa kepada pengekalan sejumlah darah yang ketara dalam daging dan menyebabkan kematian haiwan sebelum disembelih. Pengambilan darah dan daging haiwan yang mati (bangkai) sebelum disembelih adalah dilarang dalam Islam memandangkan ia amat berbahaya.

Bagaimanapun, Muzakarah Khas Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 29 September 2005 membenarkan penggunaan elektrik dan water bath stunning serta penggunaan dadah dan karbon dioksida.

Haiwan dipengsankan sebelum disembelih tidak seharusnya dibenarkan. Adalah jelas bahawa cara penyembelihan konvensional dalam Islam adalah kurang menyakitkan.

Berhubung isu logo Halal di Malaysia, Akta Perihal Dagangan 2011 hanya membenarkan satu (1) logo Halal digunakan iaitu logo Halal Malaysia. Bagi produk makanan yang diimport, hanya logo Halal yang dikeluarkan oleh pengendali Halal asing yang diiktiraf oleh JAKIM boleh digunakan.

Bagaimanapun baru-baru ini terdapat laporan media mengenai logo Halal tiruan, persijilan Halal yang tamat tempoh dan logo Halal dari negara asing yang tidak diiktiraf pihak berkuasa mendedahkan masalah persijilan. Logo Halal sekarang seharusnya termasuk beberapa ciri seperti Hologram dan nombor siri yang akan menjadikan ia sukar untuk ditiru.

Penggunaan simbol Islam lain juga perlu dikawal. Peniaga yang tidak bertanggungjawab menggunakan simbol Islam untuk mempromosikan produk mereka, sesetengahnya didapati mengandungi bahan berbahaya. Baru-baru ini Kementerian Kesihatan mengharamkan suplemen jenama Al-Sunnah disebabkan ia mengandungi steroids. Al-Sunnah digunakan sebagai jenama untuk menarik pengguna Islam. Amat mengejutkan produk itu juga mempunyai logo Halal JAKIM. Produk berbahaya ini dibenarkan untuk dijual di sini walaupun negara lain telah mengharamkannya lebih awal.

Contoh-contoh di atas menunjukkan undang-undang yang sedia ada tidak dapat memberi jaminan kepada  pengguna Islam bahawa makanan dan produk dalam pasaran mematuhi undang-undang Syariah/Islam.

Adalah diharapkan Akta yang dicadangkan itu akan menangani semua aspek industri Halal. Ini membolehkan umat Islam mengambil dan menggunakan produk yang status Halalnya terjamin. Keyakinan pengguna dalam produk Halal akan meningkatkan industri makanan Halal baik di dalam dan luar negara.

Permintaan untuk produk dan perkhidmatan Halal di seluruh dunia amat besar dan ia dikatakan akan berkembang antara AS$3 trilion (RM12.55 trilion) dan AS$4 trilion dalam lima tahun akan datang, daripada AS$2 trilion pada masa kini.

Berdasarkan senario di atas, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pembentangan Undang-undang Majlis Halal Negara di Parlimen dan pada masa sama pihak berkuasa perlu:

  • Mendidik orang ramai untuk membuat aduan berkaitan penyelewengan Halal kepada pihak berkuasa.
  • Menubuhkan jawatankuasa bebas untuk memantau keberkesanan agensi yang dipertanggungjawabkan bagi menangani perkara Halal Haram di Malaysia.

 

Kenyataan Akhbar, 21 Mei 2019