KEKURANGAN BERAS TEMPATAN

Tinjauan CAP di Pulau Pinang baru-baru ini mendapati beras tempatan mengalami kekurangan yang serius di pasaran. Rak di pasar raya juga didapati kosong.

Terdapat dakwaan bahawa ada peniaga yang menyimpan stok beras tempatan dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi sehingga RM30 setiap 10kg, kepada warga asing sedangkan harga yang ditetapkan kerajaan hanya RM26.00.

Situasi sebegini menunjukkan kelemahan Malaysia terhadap keterjaminan makanan yang kian memburuk selama beberapa dekad dalam usaha mengejar ‘pembangunan’. Pada 1970-an, pengeluaran dalam negeri memenuhi 75 peratus permintaan beras dalam negara. Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia hanya mampu mengeluarkan antara 60 hingga 65 peratus permintaan beras tempatan.

Kami percaya bahawa jika kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya, sebarang percubaan untuk memanipulasi pasaran oleh pihak yang berkepentingan tidak akan berjaya. Sekiranya pemantauan oleh pihak berkuasa lemah, pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengeksploitasi keadaan dan memanipulasi pasaran untuk mengaut lebih banyak keuntungan.

Oleh itu, pihak berkuasa mestilah berwaspada dan bertindak tegas terhadap mereka yang memanipulasi pasaran untuk mengaut keuntungan.

Dilaporkan terdapat penurunan kira-kira 30 peratus dalam jumlah pembelian beras tempatan bagi setiap musim di kilang sejak 10 tahun lalu manakala beras import semakin meningkat. Trend ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan bahawa kita sedang menuju ke arah pergantungan yang semakin meningkat kepada beras import.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia supaya segera menyelesaikan masalah kekurangan beras tempatan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 8 September 2023