Sahabat Alam Malaysia (SAM) sangat bersimpati dengan satu kejadian yang melibatkan seekor Gajah Pigmy Borneo yang ditemui mati akibat dari perbuatan kejam segelintir individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap haiwan terbabit. Laporan media menyatakan kematian gajah tersebut adalah akibat daripada 7 das tembakan yang mana kesemuanya mengenai bahagian kepala gajah.
Motif pembunuhan masih belum dapat dikenalpasti oleh pihak berkuasa namun kesan dari tragedi ini membuatkan populasi gajah Pigmy Borneo kini di ambang kepupusan yang sangat ketara. Jika tidak dibendung dengan serius, berkemungkinan besar populasi mereka akan pupus dari peta Borneo. Perkara ini tidak harus dibiarkan.
Perkara sebegini bukanlah kali pertama terjadi di Sabah malah telah berulang kali berita tentang kematian gajah pigmy telah berlaku. Apakah tujuan pelaku yang melakukan kerja yang sejijik ini sehingga hilang pertimbangan sifat kemanusiaan terhadap makhluk lain. Apakah motif atau modus operandi sebenar mereka sehingga sanggup memperlakukan haiwan hingga sebegitu rupa.
SAM sebelum ini juga turut mengecam perbuatan kejam yang menyebabkan beberapa kes kematian gajah pigmy melalui suara media massa tentang populasi gajah pigmy yang semakin membimbangkan serta gesaan terhadap pihak berkuasa negeri Sabah dalam hal-hal berkaitan hala tuju bagi membendung kelompok gajah Pigmy Borneo dari menjadi mangsa pemburu-pemburu haram dan sebagainya. Gesaan SAM menjurus kepada meningkatkan usaha secara bersepadu dari semua agensi berkaitan jika mahu hidupan liar ini terus hidup di Sabah.
SAM memandang serius tentang perkara ini dan mengharapkan pihak Polis serta pihak berkuasa yang berkaitan memperhebatkan siasatan supaya pelaku-pelaku yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi atau bertolak ansur. Apa yang kita lihat pada episod kali ini kematian seekor gajah Pigmy Borneo yang muda mati dalam keadaan yang sangat tragis. Amat mendukacitakan sekiranya pelaku yang bertanggungjawab masih bebas di luar sana.
SAM juga bersetuju dengan cadangan bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew yang mencadangkan supaya Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dapat dipinda supaya pelaku dapat dihukum dengan lebih berat lagi.
Kenyataan Akhbar, 26 Januari 2021