Kementerian Kesihatan Tidak Mengambil Tindakan Dengan Secepat Sepatutnya

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa terkejut dan kecewa dengan tindakan  Kementerian Kesihatan membenarkan penjualan alat produk tembakau yang “heat-not-burn” (HNB) tetapi mengecualikannya daripada meletakkan amaran kesihatan bergambar (PHW).

Kami bingung kenapa Kementerian Kesihatan keliru dengan Peraturan Kawalan Produk Tembakau (CTPR), dengan memikirkan bahawa ia hanya mengawal tembakau yang digulung dalam kertas. Tiada apa yang boleh menimbulkan kekeliruan mengenai ‘produk tembakau’.

Alat produk tembakau HNB tidak perlu dikategorikan sebagai ‘rokok’ untuk mengawalnya kerana ia sememangnya ‘produk tembakau’ memandangkan ia menggunakan “tabacco plug”. Peraturan itu menyebut bahawa, “’rokok’ bermakna mana-mana produk yang mengandungi secara keseluruhan atau sebahagian tembakau yang dipotong, dicarik atau dikilang, ataupun sebarang derivatif atau pengganti tembakau (tulisan sendeng dari kami), digulung dalam selapis atau beberapa lapisan kertas pembalut, dan boleh digunakan dengan serta-merta untuk merokok”. Perkara 11 (Pembungkusan dan pelabelan produk tembakau) dari Konvensyen Kerangka kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kawalan tembakau (FCTC WHO) membabitkan semua produk tembakau, bukan sekadar rokok atau tembakau yang dibalut dengan kertas.

Sekiranya Peraturan berkenaan mempunyai pengertian yang begitu sempit maka ia membahayakan kerana kita sudah melihat kemunculan sisha, e-rokok, dan alat produk tembakau HNB sejak beberapa tahun kebelakangan.

Kementerian Kesihatan menjelaskan alat ini tidak termasuk di bawah klafisikasi “rokok” sepertimana definisi undang-undang semasa. Ia mungkin tidak menepati definisi ‘rokok’ tetapi “tabacco plug” (heatstick) yang dimasukkan ke dalam alat itu sememangnya dihasilkan daripada tembakau.

Kami ingin menegaskan bahawa asap utama dari rokok juga secara teknikal dirujuk sebagai “aerosol asap”, yang mengandungi karbon monoksida, lain-lain komponen wap, zarah halus (tar) dan nikotina”.

Syarikat-syarikat besar tembakau tidak menafikan bahawa asap rokok adalah aerosol. Syarikat British American Tobacco (BAT) menjelaskan aerosol sebagai “zarah bawaan udara yang terampai di dalam kepulan gas atau wap”.

Di dalam laman sesawangnya, syarikat Philip Morris menyebut: “Aerosol adalah zarah pejal halus dan/atau titisan cecair yang terampai di dalam gas (biasanya udara). Rokok menghasilkan aerosol asap daripada pembakaran tembakau, dan mengandungi zarah pejal berasaskan karbon. Sementara asap adalah suatu aerosol, bukan semua aerosol adalah asap.”

Kami ingin bertanya kenapa Kementerian mempunyai masalah dengan definisi tersebut? Jika kita terus membezakannya, adakah mengunyah tembakau serta lain-lain produk tembakau dikecualikan daripada Peraturan tersebut?

Bagi apa yang ditulis oleh pihak media mengenai IQOS (satu jenama), mereka mungkin melanggar Bahagian 11 Peraturan terbabit yang menyentuh soal “Larangan ke atas iklan produk tembakau” dan juga Seksyen 5A (pindaan 2013) yang menyatakan dengan jelas “Tidak ada sesiapa boleh (a) mempromosi mana-mana produk tembakau secara langsung atau tidak langsung …”Media menyiarkan satu iklan dalam format “soalan dan jawapan” dan ini melanggar  larangan pengiklanan Seksyen 4 (1) dan 5A Peraturan berkenaan.

Kita perlu bertanya mengapa pihak industri hanya mengetengahkan fakta bahawa produk ini mengeluarkan nikotina dan bahan kimia lain dalam kadar yang rendah apabila kita mengetahui bahawa paras rendah sebegitu akan membuatkan perokok menghisapnya dengan lebih dalam dan lama untuk menampung kekurangan nikotina yang disedut. Jika perkara ini berlaku, perokok akan menyedut lebih banyak bahan kimia toksik lain dalam aerosol, sama seperti rokok yang “ringan” dan “sederhana” yang membawa kepada pengharaman deskriptor. Dakwaan seumpamanya mengelirukan pengguna untuk  mempercayai alat ini lebih selamat daripada rokok biasa.

Jika alat produk tembakau HNB tidak dianggap sebagai produk tembakau maka adakah ia akan dikecualikan daripada larangan merokok di tempat awam? Segala usaha mengawal tembakau untuk mengurang atau melupuskan penggunaan tembakau menjadi sia-sia sementara wabak ketagihan nikotina akan berulang, sama seperti produk tembakau lain misalnya rokok.

Pengenalan “plain pack” dan amaran kesihatan bergambar besar yang akan datang, tetapi pek alat produk tembakau seumpamanya dan “tabacco plug” itu mungkin dikecualikan daripada mempunyai amaran bergambar dan ini akan menjadi kejayaan terbesar industri tembakau. Industri berjaya mengukir taktik pemasarannya yang tersendiri, bebas daripada campur tangan kerajaan.

Menurut Kementerian Kesihatan, setiap satu pengeluar tembakau utama – Philip Morris International (PMI), British American Tobacco (BAT), dan Japan Tobacco International (JTI)  – mempunyai produk pemanasannya sendiri dan setiap satu daripadanya berbeza dari segi cara penggunaannya. Kenapakah Kementerian perlu bimbang mengenai bagaimana setiap satu itu digunakan sedangkan kesemuanya adalah produk tembakau dan aerosol yang dihasilkannya disedut ke dalam paru-paru sama seperti rokok.

Setakat ini sudah ada beberapa kajian yang dijalankan mengenai HNB dan disiarkan dalam beberapa jurnal terkemuka seperti British Medical Journal (BMJ), PubMed dan Tobacco Control. Kadar jumlah kajian yang rendah adalah disebabkan alat produk tembakau HNB memasuki pasaran selepas 2014 dan Kementerian seharusnya sedar banyak penyakit yang dikaitkan dengan merokok mungkin hanya berkembang selepas bertahun-tahun terdedah kepadanya.

Bagaimanakah kajian selama empat tahun oleh saintis yang tidak dibiayai oleh industri tembakau boleh memberi pelepasan kepada alat tersebut untuk kegunaan pengguna?

Kami sudah menyatakan pendirian kami dengan jelas bahawa semua produk tembakau diharamkan dari beredar di pasaran. Jika Kementerian Kesihatan membenarkan penjualan alat produk tembakau HNB, generasi masa depan Malaysia mungkin menerima kesan buruk kerana negara akan terus bertarung dengan wabak ketagihan nikotina dan penyakit yang dikaitkan dengan merokok. Kewangan negara  akan mengalami kesan buruk memandangkan peruntukan (bajet) kesihatan akan digunakan untuk merawat penyakit-penyakit itu.

 

Kenyataan Akhbar, 27 Disember 2018