Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang mengenai perangkaan kemuflisan daripada Januari hingga April 2022 yang didedahkan baru-baru ini yang hanyalah sebahagian kecil daripada masalah yang lebih besar kerana Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 yang berkuat kuasa mulai 1 September 2021.
Dengan pindaan itu, pemiutang boleh memfailkan tindakan muflis terhadap penghutang jika hutangnya berjumlah RM100,000. Nilai ambang kemuflisan ialah RM50,000 sebelum pindaan itu. Ini bermakna jika hutang tidak melebihi RM100,000, pemiutang tidak boleh memfailkan tindakan muflis.
Adalah sukar untuk menentukan bilangan penghutang yang berhutang kurang daripada RM100,000 melainkan mereka menghubungi agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang terletak di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia.
Seperti yang diketahui umum bahawa hutang walaupun beberapa ribu ringgit adalah sukar untuk diuruskan kerana kemungkiran pinjaman akan mengakibatkan kadar faedah yang akan meningkat, dan pada masa ketidaktentuan ekonomi ini ia menjadi lebih sukar.
Sebab itulah kerajaan meningkatkan nilai ambang kemuflisan semasa pandemik adalah untuk menangguhkan tindakan undang-undang terhadap peminjam yang gagal membayar pinjamannya.
Persoalan kita ialah, bagaimanakah kerajaan akan memantau kes-kes yang berada di bawah ambang kemuflisan ini? Objektifnya adalah untuk mendekati dan membantu mereka dalam menguruskan hutang mereka dengan mempromosikan AKPK yang menjalankan kaunseling kredit dan penstrukturan semula pinjaman untuk individu.
Perangkaan menunjukkan bahawa terdapat mereka yang berusia 25 tahun ke bawah yang muflis. Walau bagaimanapun, terdapat aliran menurun daripada 139 pada 2018; 54 (2019); 21 (2020); 20 (2021); dan 5, (Januari-April 2022). Walaupun terdapat aliran menurun pada tahun 2022 bagi mereka yang berusia 25 tahun ke bawah, ia mungkin dikaitkan dengan kenaikan nilai ambang kemuflisan.
Purata 18 orang daripada semua peringkat usia diisytiharkan muflis setiap hari dalam tempoh lima bulan pertama 2022.
Kita tidak akan pernah tahu jumlah sebenar penghutang yang bergelut di bawah nilai ambang kemuflisan RM100,000 ini, ia hanya menunggu kadar faedah terkumpul mereka untuk menolak mereka melepasi nilai ambang itu.
Kebimbangan lain ialah mengenai kira-kira separuh daripada mereka yang muflis pada 2022 berusia antara 25 dan 44 tahun ketika mereka berada di puncak kehidupan, cuba membina kerjaya, dan perlu membina semula kredit mereka dan mendapatkan pinjaman.
Orang ramai perlu memahami bahawa tiada syarikat atau institusi kewangan yang berkemungkinan boleh melupakan hutang yang terhutang kepada mereka dan ia akan menghantui penghutang walaupun beberapa tahun kemudian dengan faedah tambahan.
Kami menasihati orang ramai yang tidak dapat membayar balik pinjaman kerana keadaan yang tidak dijangka untuk cuba mengutamakan pembayaran balik pinjaman mereka atau sebaliknya mendapatkan nasihat daripada AKPK untuk mencari penyelesaian.
Masalah lain yang biasa diterima oleh CAP ialah kegagalan dalam mengemas kini alamat surat-menyurat semasa mereka dan maklumat perhubungan dengan institusi kewangan yang mereka ambil pinjaman.
Contohnya, apabila mereka gagal dalam membuat pembayaran balik pinjaman perumahan mereka, institusi kewangan mungkin menghantar notis undang-undang kepada mereka yang tidak pernah mereka terima sehingga ia sudah terlambat.
Oleh sebab itu, kami menggesa orang ramai supaya mengambil serius mengenai isu pinjaman mereka. Sehubungan itu, mereka perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dan mengelakkan daripada membuat perbelanjaan yang tidak perlu.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 15 Ogos 2022