Kenaikan harga bawang menimbulkan masalah lain

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak dapat memahami bagaimana harga bawang boleh meningkat sehingga antara RM12 dan RM14 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM5 hingga RM9. Bawang ini dibawa masuk oleh pengimport lebih awal sebelum kenaikan harga. Oleh sebab itu, berdasarkan stok bawang yang sedia ada maka ia tidak seharusnya dijual pada harga semasa.

Kami menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya memeriksa jika terdapat sebarang penyorokan melibatkan pengimport dan pemborong. Menjadi perkara biasa bagi pengimport untuk mendapatkan barangan mereka melalui kontrak masa hadapan di mana pembekal masih diwajibkan untuk menjual pada harga yang telah ditetapkan, kuantiti, dan tempoh masa. Objektifnya adalah untuk melindungi mereka sendiri daripada perubahan harga sama ada turun atau naik sepertimana yang berlaku terhadap bawabg dari India. KPDNHEP perlu meneliti setiap kontrak untuk melihat sama ada terdapat kegiatan mengambil untung.

KPDNHEP perlu memantau situasi ini dengan teliti disebabkan peningkatan harga itu boleh menyebabkan harga makanan meningkat dan ini akan menjejaskan pengguna. Kenaikan harga akan mencetuskan kesan berantai ke atas kos sara hidup.

Sementara itu, Malaysia perlu mendapatkan sumber bawang yang lebih murah dari negara lain seperti China, Pakistan, Turki dan Afghanistan. Adalah diharapkan agar pengalaman ini akan menjadi pengajaran kepada kerajaan dan pengguna. Malaysia memerlukan dasar pertanian yang lebih holistik yang terbiar sebelum ini apabila ia lebih memberikan tumpuan kepada industri pembuatan dan ‘pembangunan’ pada 1980an

Pergantungan kepada import makanan daripada negara lain mempunyai implikasi yang serius terhadap rizab asing negara kita. Menurut Lembaga Pembangunan Eksport Produk Makanan Proses dan Pertanian (APEDA) India, bagi tahun 2018, Malaysia mengimport 332,451 tan bawang segar bernilai USD74,164,000. Import bawang dari India sahaja menelan kos RM1,263,849,430 dalam tukaran asing.

Bawang juga diimport dari China, Pakistan, Netherland, Thailand, Indonesia dan beberapa negara lain yang mengakibatkan pengaliran keluar dana.

CAP telah lama aktif terlibat dalam menggalakkan pertanian mampan sejak berdekad. Malaysia gagal dalam sektor pertanian disebabkan terlalu bergantung kepada hasil pertanian import berbanding Thailand yang memajukan sektor pertanian pada 1960an, apabila memanfaatkan tanah terbiar dan buruh.

Sesudah itu, kemiskinan luar bandar Thailand jatuh daripada lebih 60 peratus pada awal 1960an kepada kurang 10 peratus pada awal 2000. Kerajaan mereka menyokong petani kecil dengan kredit pertanian dan sektor pertanian berkembang selaras dengan perindustrian dan perbandaran.

Pembangunan pertanian Thailand telah menyumbang kepada pengurangan kemiskinan luar bandar sementara itu menyediakan jaminan makanan dan pemakanan kepada penduduknya. Benih revolusi pertanian terletak dalam ladang keluarga Thailand; lebih daripada 70 peratus penduduknya yang aktif terlibat dalam sektor ini pada 1980an dengan golongan miskin membentuk majoriti.

Sebaliknya sektor pertanian Malaysia telah ditimpa oleh pelbagai masalah dalam beberapa dekad lepas dan pada masa kini menjadi semakin buruk.

Kerana menjadi terlalu bergantung kepada sayuran import, kita terpaksa membayar lebih untuk hasil ini disebabkan nilai Ringgit yang lemah sejak pertengahan 2014 apabila harga minyak global mula merosot. Pada 5 Januari 2017, International Business Times melaporkan bahawa pada 19 Disember 2016, “Ringgit Malaysia jatuh ke paras paling rendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998.”

Malaysia dilaporkan membelanjakan RM3.2 bilion ke atas sayuran import dan buahan pada 2016. Keutamaan pertanian kita disalah letak disebabkan sehingga pada 2012, Malaysia mempunyai 5.1 juta hektar penanaman kelapa sawit berbanding 52,582 hektar kebun sayur dan 205,467 hektar dusun buahan. Keluasan bagi tanaman sayuran dan buahan ialah 258,049 hektar atau hanya 5.1 peratus yang digunakan untuk penanaman kelapa sawit.

Kami menggesa kerajaan supaya mengubal dasar pertanian dengan pendekatan holistik, dengan tidak melupakan golongan miskin luar bandar yang mempunyai lot tanah yang kecil untuk berkebun. Pada masa kini petani berhadapan dengan masalah pemasaran yang tidak ditangani sejak beberapa dekad lalu. Tanah pertanian terpaksa memberi laluan bagi pembangunan hartanah. Jaminan keselamatan makanan menjadi perkara kedua memandangkan pembuat dasar dan pengguna tidak memikirkan melangkaui makanan mereka dan hanya bertindak balas apabila harga makanan meningkat.

 

Kenyataan Akhbar, 2 Januari 2020