Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa bimbang berikutan kes kemalangan membawa maut yang semakin menjadi-jadi di jalan raya Malaysia. Sehubungan itu kami menggesa kerajaan agar mengenakan hukuman yang berat, termasuk hukuman melakukan kesalahan jenayah, terhadap mereka yang melanggar undang-undang lalu lintas yang berpotensi membawa maut.
Kenderaan juga perlu menjalani pemeriksaan yang teliti dan penguatkuasaan yang tegas bagi mematuhi piawaian keselamatan yang berkaitan demi memastikan kemalangan akibat komponen kenderaan yang rosak, tidak menepati piawaian dan sudah haus dikurangkan malah dihapuskan sama sekali.
Pada setiap kali musim perayaan, akhbar sering memuatkan berita kemalangan jalan raya yang kebanyakannya boleh dielak jika mereka yang bertanggungjawab terhadap kemalangan itu mematuhi undang-undang jalan raya. Sehubungan itu kami memandang berat dan berasa kecewa apabila terdapat berita mengenai pengguna jalan raya yang kehilangan nyawa meskipun cuti Hari Raya belum bermula.
Pada 3 Jun lalu, perlanggaran antara bas ekspres dan dua buah lori di km 142.4 Lebuh raya Utara-Selatan (menghala ke Selatan) berhampiran susur keluar Pagoh, Johor, menyebabkan pemandu bas dan dua penumpang di kerusi hadapan terbunuh. Pada hari yang sama, tiga orang maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kereta di km 52 Jalan Tatau-Bintulu, Sarawak.
Kehilangan nyawa yang sia-sia ini berlaku tidak lama selepas sebuah bas ekspres bertingkat terbakar di km 149.4 Lebuh raya Utara-Selatan (NSE) sekitar pukul 3 pagi pada 31 Mei lalu. Nasib baik 13 penumpang, yang sedang tidur ketika itu, dan pemandu bas berjaya menyelamatkan diri.
Kemalangan bas berkenaan mengingatkan kita kepada betapa perlunya untuk meningkatkan penguatkuasaan dan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya berikutan kematian 37 penumpang bas yang terhumban ke dalam gaung di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013. Apa yang berlaku kepada 51 saranan panel siasatan berhubung kemalangan maut di Genting itu?
Sementara itu, pada 3 Jun lalu Honda Motor mengesahkan inflator beg udara Takata pecah dalam kemalangan kereta yang menyebabkan kematian tiga hari terdahulu, merupakan kematian ke 23 di seluruh dunia dan kematian kelima di Malaysia yang dikaitkan dengan alatan yang rosak yang boleh mengeluarkan cebisan logam membawa maut.
Pihak berkuasa yang memantau penyelenggaraan jalan raya juga perlu sentiasa memastikan jalan raya berkeadaan baik, dengan menyediakan keadaan pemanduan yang selesa dengan cengkaman yang sesuai untuk kenderaan. Menurut laporan, kenderaan berat yang dipandu laju adalah antara penyebab utama kerosakan jalan raya seperti jalan berlubang membawa kepada kemalangan.
Risiko tinggi yang dihadapi oleh penunggang motosikal juga tidak seharusnya diabaikan. Dalam Ops Selamat 12 yang dilakukan sempena Tahun Baharu Cina dari 9-23 Februari tahun ini, penunggang motosikal dilaporkan paling ramai maut dalam kemalangan jalan raya, dengan 150 daripada mereka terbunuh dalam 208 kematian jalan raya yang dilaporkan dalam tempoh tersebut. Ketika itu Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, jumlah kematian kedua tertinggi membabitkan pemilik kereta dengan 46 kematian, diikuti oleh pejalan kaki (13 kematian), lori (5 kematian), pengguna van (5 kematian), penunggang basikal dan bas (1 kematian) dan pengguna lain (5 kematian).
Jelaslah, mengeluarkan saman kepada mereka yang melakukan kesalahan dalam usaha mengurangkan kesalahan jalan raya sudah tidak berkesan lagi. Kerajaan sekarang mesti memikirkan cara lain untuk menangani masalah yang ada. Ia perlu mengambil langkah lebih tegas untuk menghukum pesalah jalan raya, walaupun langkah itu menerima kecaman banyak pihak, agar kesalahan seumpamanya dapat dibendung dan menyelamatkan lebih banyak nyawa. Pengenaan denda seperti yang dilakukan sekarang ternyata tidak berkesan.
Langkah baharu itu sepatutnya turut termasuk hukuman mandatori terhadap mereka yang memandu melebihi had laju dengan kerja komuniti kompulsari di hadapan orang awam. Mereka perlu diarah melakukan kerja-kerja seperti membersihkan tempat awam, termasuk menyapu jalan dan mencuci tandas awam bagi tempoh masa tidak melebihi seminggu. Pesalah juga perlu diarah memakai vest yang mengenalkan diri mereka kepada orang awam sebagai pesalah yang menjalani hukuman bagi kesalahan lalu lintas. Hukuman dalam bentuk kerja komuniti telah berjaya dilaksanakan di Singapura melalui dasar ‘Corrective Work Order’ (CWO) yang meninggalkan kesan yang baik dalam mencegah kutu sampah dan mengurangkan perbuatan membuang sampah.
Hakikatnya, pihak berkuasa kita telah gagal menjalankan undang-undang sedia ada untuk menghukum pelaku kesalahan yang memandu secara cuai dengan hukuman yang berat seperti dipenjarakan. Misalnya di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membabitkan perbuatan “memandu secara tidak berhemah dan berbahaya”, sesiapa yang memandu secara tidak berhemah pada kelajuan tinggi atau secara berbahaya kepada keselamatan awam boleh didakwa, dan apabila sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan denda antara RM5,000 – RM15,000.
CAP menggesa kerajaan supaya mengenakan peruntukan ini ke atas pesalah jalan raya yang berpotensi menyebabkan kematian – termasuk memecut laju, mengekori dengan dekat dan memotong secara berbahaya.
Senario kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia begitu serius sehingga ia menyerupai kesakitan yang meragut nyawa seperti kanser. Ia boleh meragut nyawa sesiapa sahaja. Secara praktiknya hampir semua orang yang berada di atas jalan raya berpotensi menjadi mangsanya. Namun begitu, tidak seperti kanser, tidak ada rawatan kesembuhan bagi kematian dalam kemalangan jalan raya selepas ia berlaku.
Malangnya, warga Malaysia tidak memandang berat akan perkara ini apabila ianya berlaku. Kita cuma sekadar berasa kasihan namun tidak cukup sensitif kepada mereka yang maut dalam kemalangan jalan raya seperti nyamuk. Kita juga memandang ringan risiko yang dihadapi oleh kita dan orang-orang yang kita sayangi ketika menggunakan jalan raya berikutan terdapat pesalah laku jalan raya yang memandu secara semberono dengan membahayakan diri mereka sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
CAP menasihatkan pengguna agar sentiasa berwaspada ketika berada di jalan raya, terutama apabila melakukan perjalanan jarak jauh, tidak memandu ketika letih atau mengantuk, memandu pada waktu dinihari dan di sepanjang jalan dengan jarak penglihatan rendah pada waktu malam.
Kenyataan Akhbar, 8 Jun 2018