Wabak diabetes di Malaysia dalam kalangan orang dewasa meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 25 tahun lepas, daripada 6.3% pada 1986 kepada 20.8% pada 2011. Pada 2015, wabak diabetes di Malaysia lebih tinggi berbanding purata dunia dengan 3.3 juta orang menghidap diabetes dan kos rawatan mencapai 7 bilion ringgit.
Malaysia merupakan salah sebuah negara pengguna gula tertinggi di dunia. Menurut data dari FAO-OECD, pengambilan gula perkapita dalam tempoh 2012-2014 ialah 53.7 kg. Ia bersamaan kira-kira 29 sudu teh gula seorang dalam sehari yang melebihi 4.8 kali lebih tinggi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 6 sudu teh gula sehari. Ini bermakna, rakyat Malaysia mesti mengurangkan pengambilan gula mereka kira-kira 80% untuk kekal sihat.
Memandangkan keadaan yang membimbangkan ini dan sempena Hari Kesihatan Sedunia yang jatuh pada 7 April, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia supaya mengambil langkah seperti Kerajaan British yang mengenakan levi ke atas minuman ringan bergula.
Hari Kesihatan Sedunia merupakan hari kesedaran kesihatan global yang disambut pada 7 April setiap tahun di bawah tajaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. WHO menganjurkan acara ini di peringkat tempatan, wilayah dan antarabangsa pada hari itu mengikut tema berkaitan. Tema bagi 2016 ialah Diabetes.
Minuman ringan biasanya mengandungi air berkarbonat, pemanis dan perisa tiruan atau asli. Pemanisnya mungkin gula, sirap jagung tinggi fruktosa atau pengganti gula lain. Minuman ringan juga mungkin mengandungi kafein, pewarna, dan pengawet.
Kerajaan British dalam pembentangan bajet pada 16 Mac baru-baru ini mengumumkan pengenalan cukai gula ke atas industri minuman ringan. Dirancang untuk dikuatkuasakan pada 2018, pengeluar minuman ringan akan dikenakan cukai menurut jumlah minuman ringan yang mereka hasilkan atau import
Dengan langkah ini Britain menyertai Mexico, Chile, Finland, Perancis, dan Hungary dalam mengenakan cukai ke atas minuman ringan bergula sebagai langkah pencegahan untuk peningkatan pengambilan minuman seperti itu yang menyumbang kepada obesiti dan penyakit berkaitan. Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) mengalu-alukan langkah ini dan menggalakkan lebih banyak negara untuk mengikutinya.
Menurut IDF, “Pengambilan gula perkapita global telah meningkat lebih 50% dalam tempoh lebih 50 tahun lepas. Wabak diabetes global juga menunjukkan peningkatan dalam tempoh lebih 50 tahun lalu. Kajian menunjukkan terdapat kaitan yang kukuh antara pengambilan minuman bergula dan peningkatan risiko diabetes jenis 2 dan pengambilan gula perkapita dikaitkan dengan wabak diabetes.”
Laporan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, Lancet menunjukkan penilaian ke atas cukai untuk minuman ringan bergula di Mexico menunjukan purata kemerosotan 6% dalam pembelian minuman bercukai pada 2014. Pengurangan dibandingkan kepada aliran pracukai mencapai 12% pada Disember 2014 menunjukkan tahun pertama cukai ini telah membawa kepada kemerosotan ketara yang dijangkakan dalam pembelian minuman ringan bergula. Inisiatif Mexico ini termasuk kempen media yang mengaitkan minuman ringan dengan diabetes.
Kajian juga menunjukkan gula tidak hanya dikaitkan dengan obesiti, diabetes jenis 2 dan kereputan gigi tetapi juga penyakit jantung dan strok. Berdasarkan kepada banyak bukti yang menyarankan pengambilan berlebihan gula tambahan memberikan kesan sampingan ke atas diabetes dan penyakit jantung, CAP menggesa Kementerian Kesihatan mempelopori dasar tindakan untuk mengurangkan pengambilan gula tambahan dalam menjaga kepentingan kesihatan awam. Beberapa langkah tindakan yang boleh diambil termasuklah:
- Mengenakan cukai ke atas minuman ringan bergula.
- Melancarkan kempen pendidikan yang lebih berkesan dengan mengaitkan diabetes dan penyakit jantung.
- Mengharamkan penjualan minuman manis di sekolah atau persekitaran sekolah.
- Mengharamkan mesin minuman yang mengeluarkan minuman bergula.
- Memastikan air minuman yang bersih boleh diperolehi dengan mudah di semua sekolah, tempat kerja dan tempat awam.
Siaran Akhbar, 6 April 2016