Dalam wacana perubahan iklim di peringkat antarabangsa, cita-cita beberapa negara untuk mencapai pengurangan kadar sifar bersih pelepasan karbon (net zero) menjelang 2050, telah digembar-gemburkan sebagai sebuah azam yang besar.
Malah, kelihatannya pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, iaitu Setiausaha Agungnya sendiri, Antonio Guterres, turut berpendapat sedemikian rupa. Oleh itu, tidak hairanlah jika orang awam pun boleh menjadi terkeliru tentang perkara ini, akhirnya dengan mudah mempercayai bahawa pengurangan sifar bersih pelepasan oleh negara-negara pengeluar pelepasan karbon yang tertinggi di dunia hari ini, akan dapat menyelamatkan kita dari krisis perubahan iklim sedunia.
Sebenarnya, kefahaman tentang sifar bersih pelepasan karbon ini amatlah menyimpang dari kenyataan yang sebenar. Penelitian yang lebih mendalam amatlah diperlukan untuk memahami mengapa cita-cita seperti ini tidak akan mampu berjaya menghadkan kenaikan suhu dunia dari paras sebelum zaman perindustrian setakat 1.5 darjah Celsius sahaja.
Usaha untuk mendesak kerajaan di seluruh dunia untuk bertindak menangani perubahan iklim sememangnya patut dipuji. Akan tetapi, sasaran negara-negara kaya dan syarikat-syarikat mereka untuk mencapai sifar bersih pelepasan ini menjelang tahun 2050, sebenarnya merupakan usaha yang sangat tidak memadai. Sasaran sebegini bukanlah sebuah tekad yang begitu tinggi di dalam erti kata yang sebenar.
Untuk mengelakkan malapetaka iklim yang berkekalan, negara-negara maju yang kaya raya sebetulnya wajib mengambil beberapa tindakan penting dengan segera, bagi mencapai sasaran ‘pelepasan sifar karbon yang sebenar’, pada waktu sekarang juga; dan bukan sekadar ‘sifar bersih pelepasan karbon’ yang cuma akan melewatkan selama tiga dekad lagi, perlaksanaan segala tindakan yang perlu diambil pada hari ini. Bumi kita ini tidak akan dapat menunggu lebih lama lagi.
Beberapa bulan yang lepas, beberapa kerajaan negara-negara maju dan syarikat besar juga, termasuklah para pengeluar utama bahan api fosil, telah turut mengumumkan sasaran sifar bersih pelepasan karbon ini.
Analisa oleh beberapa kumpulan pertubuhan sivil antarabangsa, termasuklah ActionAid International, Friends of the Earth International dan Third World Network telah menunjukkan bahawa pengumuman seperti sasaran sifar bersih pelepasan karbon ini sebenarnya tidak menunjukkan sebarang tekad yang tinggi, tidak akan dapat pergi jauh di dalam memberikan kita sebarang penyelesaian yang baik dan malah, amatlah meragukan.
Dari sudut pandangan keadilan dan kesaksamaan, janji-janji seperti ini oleh negara-negara maju tidak akan pernah memadai, apatah lagi dalam keadaan di mana anggaran karbon yang boleh kita lepaskan (carbon budget) akan semakin menyusut jika kita mahu memastikan suhu dunia tidak akan meningkat lebih dari 1.5°C.
“Jauh dari menandakan sebuah azam yang kuat untuk menangani perubahan iklim, frasa sifar bersih pelepasan karbon yang digunakan oleh kebanyakan kerajaan dan syarikat yang telah banyak mencemarkan alam sekitar ini, sebenarnya telah dipergunakan untuk menjana lebih banyak istilah yang boleh dipergunakan untuk menyelamatkan diri mereka sendiri, bagi membolehkan mereka mengelakkan tanggungjawab, memindahkan beban mereka kepada pihak lain, menyembunyikan hakikat bahawa mereka sebenarnya tiada mengambil sebarang tindakan yang berkesan, dan di dalam sesetengah kes, boleh digunakan untuk mempertingkatkan lagi operasi penggalian, pembakaran dan pelepasan bahan api fosil. Istilah ini juga telah digunakan untuk memberikan imej mesra alam kepada amalan-amalan perniagaan seharian mereka yang masih lagi di takuk lama, ataupun amalan-amalan mereka yang malah, semakin mencemarkan alam. Pada dasarnya, janji-janji ini terdiri dari sasaran-sasaran kecil dengan jangka waktu yang amat panjang, yang sebenarnya tidak akan memerlukan sebarang tindakan diambil untuk berdekad lamanya, dan cita-cita tentang teknologi baru yang kemungkinan besarnya tidak akan dapat dicapai sama sekali pada skala yang diperlukan, dan malah boleh membawa kemudaratan besar jika mereka ternyata dapat dicapai,” menurut pertubuhan-pertubuhan ini.
Kebanyakan janji-janji sifar bersih pelepasan ini tidak berlandaskan kepada usaha untuk mengajukan ekonomi bebas-karbon yang sebenarnya. Mereka sekadar bergantung kepada apa yang kononnya diistilahkan sebagai ‘penyelesaian berasaskan alam’ (nature-based solution – Nbs), di mana kawasan simpanan karbon akan ditubuhkan untuk menyimpan balik hitungan karbon yang telah dilepaskan. Proses ini didalangi oleh pasaran karbon yang kononnya boleh digunakan untuk ‘mengimbang balik’ (offset) pelepasan karbon negara-negara maju. Apa yang sebenarnya berlaku di sini adalah negara-negara maju kini tidak perlu lagi mengurangkan kadar pelepasan karbon mereka sendiri, tetapi sebaliknya, mereka boleh membayar negara-negara membangun untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon mereka. Ini dilihat sebagai lebih menjimatkan kos – bagi mengimbangi balik pelepasan karbon mereka, negara-negara kaya akan membeli kredit karbon dari negara-negara yang memerlukan dana tersebut.
Dengan atau tanpa proses pengimbangan balik karbon ini, sasaran sifar bersih pelepasan ini akan mewujudkan satu permintaan yang amat besar untuk kawasan simpanan karbon yang terletak di hutan, tanah bencah dan padang rumput yang kebanyakannya terdapat di negara-negara membangun. Setakat yang diketahui, tidak ada lagi sebarang penerbitan penyelidikan yang telah berjaya menghitung kuantiti penyingkiran karbon dari atmosfera yang akan dicapai berdasarkan tekad sifar bersih pelepasan karbon negara-negara maju dan syarikat-syarikat ini.
Apa yang jelas dilihat di sini adalah kuantiti kawasan simpanan karbon yang diperlukan nanti akan beberapa kali ganda lebih tinggi dari kemampuan bumi untuk menyerap karbon. Ini memiliki implikasi yang buruk kepada negara-negara membangun; ia boleh menggalakkan lagi konflik tanah dan di kalangan komuniti tempatan dan orang asal, yang wilayah dan hutan mereka akan dicari untuk menyelesaikan masalah pelepasan karbon negara-negara kaya.
Kumpulan yang memperjuangkan keadilan iklim telah menggelar proses ini sebagai sebuah bentuk ‘penjajahan karbon’.
Untuk menghadkan kenaikan suhu dunia hanya setakat 1.5°C sahaja, dunia memerlukan sebuah perkongsian yang saksama di dalam memikul tanggungjawab untuk menguruskan anggaran pelepasan karbon sedunia ini. Dengan kebarangkalian menghadkan peningkatan suhu dunia di bawah 1.5°C sebanyak 50 peratus, baki anggaran pelepasan karbon sedunia adalah sama dengan pelepasan CO2 sebanyak 480 giga tan (GtCO2eq). Hari ini, dengan kadar pelepasan karbon setinggi 42 GtCO2eq setahun, anggaran baki pelepasan karbon sedunia ini nampaknya akan dihabiskan dalam masa kira-kira 12 tahun sahaja!
Dengan penyusutan carbon budget sedunia ini, pendekatan yang lebih tepat sebenarnya adalah untuk negara-negara maju yang kaya raya, terlebih dahulu mengurangkan dengan kadar yang lebih tinggi, jumlah pelepasan karbon mereka sendiri. Inilah yang dikatakan pendekatan ‘perkongsian yang adil’, yang mengambil kira pengumpulan pelepasan karbon negara-negara ini dari segi sejarah, termasuklah berdasarkan hitungan per kapita juga.
Namun begitu, cadangan yang berasaskan kesaksamaan ini akhirnya tidak diendahkan begitu sahaja, akibat dari tentangan kuat negara-negara maju, terutama sekali Amerika Syarikat – atas alasan bahawa tiada sebarang perjanjian antarabangsa yang boleh mengarah-arahkan mana-mana negara untuk mengurangkan pelepasan karbon mereka dengan sedemikian rupa.
Malah, analisa ahli-ahli akademik yang terbaik dan pertubuhan masyarakat sivil yang progresif telah pun menunjukkan bahawa negara kaya sememangnya selama ini telah gagal untuk mengambil sebarang tindakan yang bermakna.
Contohnya, satu analisa baru-baru ini yang dilakukan “berdasarkan prinsip capaian per kapita yang saksama kepada sumber awam atmosfera” oleh Dr. Jason Hickel dari Universiti London, yang dilaporkan oleh The Lancet, menunjukkan bahawa sehingga tahun 2015, negara-negara maju sebenarnya telah bertanggungjawab mengeluarkan 92 peratus dari pelepasan karbon yang berlebihan. Jika pendekatan perkongsian yang adil ini digunakan, hitungan menunjukkan bahawa negara-negara membangun sebenarnya masih lagi belum lagi melepasi anggaran pelepasan karbon mereka. Ini termasuklah negara India dan China (walaupun China kelihatannya mungkin akan melepasi takat ini kelak nanti.)
Kita sewajarnya wajib memberikan perhatian yang tinggi terhadap pengurangan pelepasan karbon ini dari pendekatan perkongsian yang adil, untuk memastikan kesaksamaan di dalam pengurusan baki anggaran pelepasan karbon sedunia hari ini. Sebaliknya, hari ini, mantera sifar bersih pelepasan karbon ini telah digunakan untuk membenarkan negara-negara maju melepaskan diri mereka sendiri. Ini dilakukan melalui sasaran pengurangan mereka yang terlalu rendah dalam satu jangka waktu yang terlalu panjang, dan pelepasan tanggungjawab mereka kepada negara-negara membangun untuk mengambil beban pelepasan karbon mereka, malah tanpa imbalan kewangan dan pemindahan teknologi yang setimpal.
Perjanjian Paris sememangnya menyeru agar keseimbangan dicapai antara pelepasan karbon dan penyingkirannya melalui kawasan simpanan karbon sehingga tahun 2050. Namun begitu, ini perlu dilaksanakan berdasarkan kesaksamaan dan di dalam konteks pembangunan lestari dan usaha untuk menamatkan kemiskinan. Ini adalah sebuah aspirasi sedunia. Ia bukanlah sasaran sesebuah negara sahaja. Ianya tentu tidak boleh hanya menjadi setakat sebuah sasaran negara sahaja, kerana ini akan membawa kepada ketidaksaksamaan.
Kepalsuan sifar bersih pelepasan karbon ini perlu didedahkan dengan kenyataan yang sebenarnya. Ianya bukanlah ibu penyembuh krisis iklim kita. Negara-negara kaya tidak boleh lari dari melakukan apa yang perlu dilakukan hari ini, yakni, untuk menyasarkan pelepasan sifar karbon yang sebenar dan membantu negara-negara membangun untuk melaksanakan bahagian perkongsian adil mereka, melalui sokongan dana dan pemindahan teknologi yang diperlukan, dan untuk membangunkan keupayaan mereka supaya mereka tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh negara-negara maju sebelum ini.
Kenyataannya adalah, pelepasan bersih sifar karbon ini hanyalah sebuah khayalan semata, yang hanya akan melambat-lambatkan lagi pelaksanaan tindakan yang sepatutnya oleh negara-negara kaya, yang sememangnya memiliki bahagian tanggungjawab yang terbesar ke atas krisis ini. Demi bumi kita dan golongan miskinnya, kita perlu segera sedar tentang perkara ini, untuk kebaikan bersama.
Surat kepada Pengarang, 22 April 2021