Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan jelapang padi di negara ini yang semakin serius terjejas akibat kepupusan tanah sawah yang berlaku sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Mengulas laporan akhbar tempatan baru-baru ini mengenai kejadian yang berlaku di negeri Kedah yang melibatkan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), CAP kesal dan bimbang dengan masalah tersebut kerana ia boleh menggugat ekonomi dan sektor pertanian negara pada masa akan datang jika puncanya tidak ditangani segera.
Akhbar Mingguan Malaysia, 31 Januari 2021 lalu mendedahkan seluas kira-kira 35,000 hektar kawasan sawah di negeri ini dikesan hilang selepas ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lalu.
Jumlah kawasan sawah yang tinggal sekarang dianggarkan seluas 270,000 hektar termasuk 100,685 hektar di kawasan MADA dan dikhuatiri semakin berkurangan dari setahun ke setahun. Keadaan ini telah menyebabkan pengeluaran padi di negeri jelapang padi itu mengalami penyusutan kira-kira 350,000 tan setahun bersamaan nilai sebanyak RM420 juta.
Tinjauan CAP mendapati selain pelaksanaan projek pembangunan dan perumahan yang pesat membangun di negeri itu menyebabkan banyak tanah sawah ditimbus, berbagai masalah yang dihadapi oleh petani-petani di sini juga menjadi punca mereka meninggalkan bidang pertanian ini dan mendorong tanah sawah dijual kepada pihak tertentu walau pun harganya agak murah berbanding dengan sumber pendapatan dari hasil padi yang berterusan, tahun demi tahun.
Antara masalah yang sudah sekian lama berlaku dan dihadapi oleh petani-petani di negeri ini ialah ancaman makhluk perosak seperti bena perang, siput gondang dan tikus, masalah bekalan air dan sistem saliran, tanah sawah jerlus, ancaman rumput sambau dan padi angin, dan masalah penyakit padi, benih padi tidak berkualiti, banjir kilat dan potongan berat jualan padi yang tinggi.
Walau pun masalah-masalah tersebut semakin teruk menjejaskan sumber pendapatan mereka antara 30 hingga 70% setiap musim namun hingga sekarang ia gagal ditangani dengan berkesan sehingga jumlah petani di negeri ini yang hilang minat untuk mengerjakan sawah semakin meningkat dari masa ke semasa.
Justeru, adalah perlu bagi kerajaan negeri, kementerian yang terlibat, jabatan dan MADA mengkaji secara terperinci punca berlakunya masalah yang berkaitan dengan pelaksanaan projek pembangunan, dasar dan undang-undang, penggunaan teknologi moden, kaedah sistem tabur terus, kemudahan asas yang sempurna dan kerosakan alam sekitar seperti kemusnahan hutan yang boleh menjejaskan sumber bekalan air untuk sawah padi.
Sebagai contoh, lima tahun lalu lebih 2,000 hektar tanah sawah di kawasan MADA menjadi jerlus akibat pengaliran air tersekat kerana masalah sistem saliran air gagal berfungsi dengan berkesan. Keadaan ini sekali gus menjejaskan sumber pendapatan petani dan tanah sawah yang terlibat terbiar dan sudah pasti menunggu masa untuk ditimbus untuk pembangunan jika puncanya dibiarkan berterusan.
Walau pun kerajaan Kedah akan melaksanakan semula dasar untuk menghalang tanah sawah dibangunkan dengan projek perumahan dan industri yang telah diperkenalkan pada 2009, namun CAP kesal kerana ia sudah terlambat.
Namun begitu, CAP berharap kerajaan negeri ini berkerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta MADA mengambil tindakan segera menghentikan semua projek yang boleh menyumbang kepada kepupusan tanah sawah di samping mengatasi berbagai masalah yang sedang dihadapi oleh para petani ketika ini.
CAP berpendapat jika kerajaan Kedah hendak menunggu Pelan Pembangunan Kedah 2035 untuk mengekalkan tanah sawah di negeri ini sebagai jelapang makanan tidak mungkin akan jadi kenyataan kerana banyak pembangunan yang dirancang oleh kerajaan Kedah ketika ini boleh merosakkan alam sekitar dan menjejaskan tanah pertanian.
CAP menegaskan, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah pihak kerajaan segerakan usaha menyelesaikan segala masalah yang sedang dihadapi oleh petani-petani MADA dan luar MADA di negeri ini bagi meningkatkan pendapatan mereka dan mengelak lebih banyak lagi tanah sawah di Kedah terjual dan dijadikan tapak projek pembangunan.
Kenyataan Media, 9 Februari 2021