Kekecohan mengenai pengharaman udang dari Malaysia oleh pihak pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika (USFDA) ekoran ia mengandungi antibiotik yang diharamkan menimbulkan pelbagai respons yang aneh dan tidak masuk akal.
Hakikatnya, dua antibiotik yang terbabit iaitu Chloramphenicol dan Nitrofurans telah diharamkan penggunaannya di Malaysia sejak 1985. Namun hingga kini ia masih digunakan dalam sektor penternakan ikan dan haiwan ternakan ladang.
Chloramphenicol adalah antibiotik berspektrum luas yang penting kepada manusia. Namun ia boleh menyebabkan masalah ‘dose independent aplastic anaemia’ yang membawa maut. USFDA telah mengharamkan Chloramphenicol dalam pengeluaran makanan pada 1984. Nitrofurans pula merupakan sekumpulan antibiotik berspektrum luas yang penting untuk kegunaan manusia. Berikutan kebimbangan bahawa ubatan ini boleh menyebabkan kanser dan memudaratkan kesihatan manusia, USFDA bertindak mengharamkan penggunaan nitrofurans dalam haiwan yang menghasilkan makanan pada 1991 sementara penggunaan Furaltadone (sejenis nitrofuran) telah dilarang pada awal 1985. Nitrofuran dalam makanan diketahui boleh menyebabkan tumor dalam ternakan.
Chloramphenicol dan Nitrofurans yang bersifat toksik dan karsinogenik tidak mempunyai sebarang had pengambilan harian yang boleh diterima (ADI) mahupun had sisa maksimum (MRLs). Kedua-duanya diharamkan bagi kegunaan dalam haiwan yang menghasilkan makanan di kebanyakan negara. Pihak berkuasa secara umum menggunakan pendekatan tolerans sifar bagi ubatan veterinar tanpa ADI -MRL.
Dalam kata lain, tidak ada “paras sisa yang selamat” untuk ubatan ini. Sebarang makanan yang mengandungi sisa ubatan ini pada apa jua paras dianggap “tidak sesuai untuk diambil oleh manusia.”
Sabtu lalu, Menteri Kesihatan mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia berupaya mengurangkan kadar penolakan udang yang dieksport kepada cuma dua penghantaran (shipment) pada September tahun lalu berbanding 66 pada Ogos tahun yang sama.
Import Alert 16-136 dari pihak USFDA bertarikh 18 April 2016 mendedahkan bahawa dari 1 Oktober 2014 hingga September 2015, USFDA telah mengesan peningkatan signifikan sisa antibiotik Nitrofurans dan Chloramphenicol dalam produk udang dari Semenanjung Malaysia. Daripada sejumlah 138 sampel udang yang diambil, 45 sampel (32 peratus) diuji positif mengandungi sisa Nitrofurans dan/atau sisa Chloramphenicol.
Menurut Food and Water Watch, sebuah pertubuhan penyelidikan yang berpusat di Amerika, pihak USFDA menolak 20 peratus penghantaran makanan laut dari Malaysia. Ini merupakan kira-kira dua kali ganda kadar penolakan keseluruhan sebanyak 10 peratus. Alasan utama ia ditolak adalah disebabkan import ikan berkenaan mengandungi antibiotik terlarang.
Di antara 2010-2014, Malaysia menjadi negara dengan peratusan tertinggi Penolakan Import USFDA bagi antibiotik yang diharamkan berbanding China dan Vietnam. Vietnam mempunyai kurang daripada 20 peratus penghantaran yang ditolak sementara China kira-kira 40 peratus. Malaysia mengetuai senarai itu dengan sekitar 60 peratus.
Satu lagi Import Alert USFDA bertarikh 11 Mac 2016 menunjukkan kebanyakan syarikat yang produknya ditahan adalah dari Malaysia. Bangladesh dan China masing-masing mempunyai 1 syarikat yang terjejas dengan perintah penahanan tersebut; India mempunyai 8 syarikat; sementara Malaysia, 29 syarikat. Daripada jumlah ini, 20 syarikat terletak di Pulau Pinang.
USFDA hanya memeriksa sekitar dua peratus makanan laut yang diimport. Namun hasil ujian ke atas sampel yang sedikit ini sekalipun menunjukkan betapa seriusnya masalah ikan yang diternak dan dimport dari Malaysia.
Bertentangan dengan apa yang dibayangkan oleh Jabatan Perikanan Selangor bahawa tindakan USFDA menolak hasil perikanan dari Malaysia “mungkin adalah amaran bahaya palsu”, situasi semasa membabitkan pencabulan ubatan veterinar yang berlaku dalam industri penternakanan ikan di Malaysia memang patut diberi perhatian serius.
Kehadiran Chloramphenicol dan Nitrofurans dalam daging dan hasil perikanan kita bukanlah sesuatu yang baharu. Pada penghujung 1980-an, siasatan CAP mendapati ladang ternakan babi dan ayam itik menggunakan Chloramphenicol. Pada 1999, seorang saintis penyelidik menemui Chloramphenicol dalam daging ayam. Pada 2002, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa Nitrofuran dan Chloramphenicol ditemui dalam sampel ayam yang diuji.
Namun hingga kini, tidak seorang pun didakwa atas kesalahan menjual makanan yang tercemar itu.
Masalah ubatan yang berbahaya dan diharamkan dalam daging berulangkali berlaku disebabkan ketiadaan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas.
Tidak terdapat kerangkakerja yang sah dan menyeluruh untuk mengawasi penggunaan ubatan veterinar dalam industri akuakultur dan ternakan ladang. Ubatan veterinar yang digunakan dalam industri ternakan termaktub dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan, tetapi ubatan yang digunakan dalam sektor akuakultur tidak tertakluk di bawahnya.
Di bawah Akta ini daging, ikan dan hasil keluarannya hanya dikuatkuasakan ketika proses penjualannya. Bagaimanapun penggunaan ubatan veterinar di peringkat ladang tidak dikawal selia. Ordinan Haiwan 1953 tidak mempunyai sebarang peruntukan yang mengawal atau mengawasi ubatan veterinar dan sisanya dalam haiwan ternakan ladang. Akta Perikanan 1985 pula tidak mempunyai sebarang undang-undang untuk mengawal dan mengawasi ubatan veterinar yang digunakan dalam sektor akuakultur.
Ringkasnya, tidak ada sebarang undang-undang untuk mengawal dan mengawasi apa yang digunakan oleh penternak dan petani untuk haiwan ternakan mereka. Dengan ketiadaan undang-undang untuk menghalang petani daripada memberikan antibiotik kepada ternakan mereka, Kementerian pertanian gagal untuk mencegah pencemaran dalam bekalan makanan kita mahupun menangkap mereka yang melakukan kesalahan.
Keadaan yang menyedihkan ini mungkin mengilhamkan Menteri Pertanian untuk mengisytiharkan bahawa eksport udang yang dibekukan dari Malaysia ke Amerika adalah “urusan persendirian” atas dasar “pembeli yang sanggup membeli dan penjual yang bersedia menjual.”
Sehubungan ini, CAP menggesa kerajaan supaya memberi perhatian serius untuk:
- Memperkenalkan kerangkakerja kawalan menyeluruh bagi pendaftaran ubatan veterinar, pemeriksaan dan pemantauan. Piawaiannya perlu selaras dengan piawaian antarabangsa demi memastikan keselamatan dan keberkesanannya. Penguatkuasaan yang tegas dan berkesan perlu dibentuk.
- Memperkenalkan mekanisme interaksi yang formal antara MOH, DVS dan Jabatan Perikanan.
- Membentuk sistem kebangsaan untuk memantau penggunaan ubatan dalam haiwan yang menghasilkan makanan serta sumber perikanan; sisa ubatan; penggunaan dan kekebalan antibiotik; dan penyakit yang menyerang ternakan ladang dan akuakultur.
Surat kepada Pengarang, 6 Mei 2016