KERAJAAN NEGERI PERAK PERLU HENTIKAN DAN BATALKAN KELULUSAN AKTIVITI AKUAKULTUR (KOLAM UDANG) DI DALAM KAWASAN HUTAN PAYA BAKAU (LAUT)

SEMPENA HARI BIODIVERSITI ANTARABANGSA 2021: KERAJAAN NEGERI PERAK PERLU HENTIKAN DAN BATALKAN KELULUSAN AKTIVITI AKUAKULTUR (KOLAM UDANG) DI DALAM KAWASAN HUTAN PAYA BAKAU (LAUT)

Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) sekali lagi menerima aduan berhubung cadangan aktiviti akuakultur (kolam udang) di dalam hutan paya bakau (laut) di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) ataupun Perak SADC. Tanah tersebut yang dimaklumkan berkeluasan kira-kira 80 hektar (sekitar 200 ekar) merupakan sebahagian daripada hutan paya bakau (laut) yang terletak di pesisir pantai berhampiran jeti nelayan Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Kerian, Perak. Dalam aduan yang di terima, kami dimaklumkan tanah tersebut telah diberikan kepada sebuah koperasi pada 1 Nov 2020 dan kerja-kerja awal seperti pembinaan jalan telah pun dilaksanakan.

Berdasarkan semakan pihak JARING kawasan tersebut TIDAK berada di dalam Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang diwartakan oleh kerajaan negeri Perak. Pelaksanaan aktiviti akuakultur (penternakan udang) di kawasan tersebut juga di dapati bercanggah dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 yang mana aktiviti akuakultur yang dibenarkan hanya melibatkan penternakan ikan dalam sangkar, ikan hiasan dan juga kerang. 

Aktiviti akuakultur (kolam udang) di dalam kawasan hutan paya bakau (laut) bukan sahaja memusnahkan hutan paya bakau (laut) malah memusnahkan kawasan pembiakan & ‘nurseri’ bagi  hidupan laut seperi ikan, udang, ketam dan lain-lain. Pelepasan air sisa kolam ke laut dan sungai yang sering kali berlaku akan ‘membunuh’ hidupan laut di kawasan tersebut dan menjejaskan hasil tangkapan serta kehidupan komuniti nelayan pantai. Justeru, komuniti nelayan pantai sekitar Kampung Sungai Betul Bawah tampil membantah cadangan aktiviti akuakultur (kolam udang) tersebut. 

Selain itu, Perak adalah antara negeri yang telah banyak kehilangan kawasan hutan paya bakau (laut) untuk pelbagai tujuan termasuk untuk aktiviti akuakultur berdasarkan laporan (No. 95, 2011) oleh pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada tahun 2011. Sehubungan itu adalah amat tidak wajar untuk kerajaan negeri Perak membiarkan hutan paya bakau (laut) yang masih ada di pesisir pantai dan sungai negeri Perak terus dimusnahkan ekoran ketamakan segelintir pihak.  

Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk JARING aktif menganjurkan kempen kesedaran dan melaksanakan program penanaman semula pokok bakau bagi melindungi ekosistem hutan paya bakau (laut) yang masih ada di Perak bersama komuniti setempat dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melalui peruntukan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Komuniti nelayan Kampung Sungai Bawah Betul juga telah mewujudkan tapak semaian bakau dengan kerjasama JARING di lokasi yang berhampiran bagi mengaktifkan program-program penanaman semula pokok bakau untuk melindungi hutan paya bakau (laut) yang masih tersisa. Justeru, tindakan kerajaan negeri ataupun Perak SADC membenarkan kawasan tersebut dibangunkan untuk aktiviti akuakultur (kolam udang) adalah sangat tidak wajar.  

Isu pemilikan tanah oleh Perak SADC di kawasan hutan paya bakau (laut) di sekitar Perak juga wajar diberi perhatian oleh kerajaan negeri Perak. Perak SADC seolah-olah bertindak sebagai ‘broker’ dengan kelebihan sebagai sebuah perbadanan di bawah kerajaan negeri dengan memohon tanah di kawasan hutan paya bakau (laut) daripada kerajaan negeri dan kemudian disewakan kepada pengusaha-pengusaha kolam udang. JARING menggesa praktis yang memusnahkan ekosistem hutan paya bakau (laut) dan menjejaskan mata pencarian nelayan pantai ini dihentikan segera.

Kehidupan dan pendapatan komuniti nelayan pantai di sekitar Kampung Sungai Betul Bawah sudah cukup terjejas dengan pencemaran daripada aktiviti kolam udang yang sedia ada dan aktiviti pencerobohan oleh bot-bot pukat ‘apollo’ (kenka dua bot) ke Zon A yang berleluasa. Sempena Hari Biodiversiti Antarabangsa 2021 dengan tema ‘We’re part of the solution’, JARING menggesa YAB Dato’ Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan YB Tuan Haji Razman Zakaria, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan agar menjadi sebahagian daripada penyelesaian (solution) dalam menangani isu kemusnahan hutan paya bakau (laut) di negeri Perak dan segera bertindak;

1.    Menghentikan aktiviti akuakultur (kolam udang) di tanah milik Perak SADC di pesisir pantai berhampiran Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Kerian, Perak yang bakal menjejaskan mata pencarian komuniti nelayan pantai setempat yang terdiri daripada golongan B40. 

2.    Menghentikan dan tidak menyambung semula kelulusan aktiviti akuakultur (kolam udang) di dalam kawasan hutan paya bakau (laut) di negeri Perak.

3.    Mewartakan semua kawasan hutan paya bakau (laut) di pesisir pantai dan sungai di negeri Perak sebagai kawasan hutan perlindungan.

4.    Menghentikan segera praktis Perak SADC yang memohon tanah daripada kerajaan negeri Perak melibatkan kawasan hutan paya bakau (laut) di pesisir pantai & sungai bagi tujuan pertanian dan kemudiannya disewakan kepada pengusaha bagi tujuan akuakultur (kolam udang).

 

KENYATAAN MEDIA JARING, 23 MEI 2021