Sahabat Alam Malaysia (SAM) sekali lagi mengulangi gesaan kepada pihak berkuasa Negeri Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya tidak membenarkan projek kereta kabel Bukit Bendera diteruskan sehingga terdapat rundingan dan maklum balas awam sepenuhnya mengenai projek itu, terutamanya daripada mereka yang akan terjejas oleh projek itu.
SAM menerima aduan daripada pelbagai pihak mengenai kekurangan rundingan berhubung projek itu.
Setakat ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkata semua kelulusan telah diperolehi berhubung Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek itu serta kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan untuk memulakan kerja-kerja pada Jun tahun ini. Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendakwa bahawa semua undang-undang telah dipatuhi.
Bagaimanapun, SAM kesal kerana tiada satu pun daripada kelulusan ini dibuat melalui proses rundingan dan maklum balas awam yang menyeluruh.
1. Laporan EIA bagi projek tersebut telah diluluskan tanpa EIA terperinci dibuat dan yang tidak dipamerkan secara terbuka serta tiada maklum balas diminta sebelum kelulusan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar. Pada hakikatnya Ketua Pengarah Alam Sekitar mempunyai budi bicara untuk mendapatkan maklum balas Namun ianya tidak dilakukan sama sekali, menyebabkan orang ramai kehilangan mekanisme yang sangat penting untuk penyertaan dan pemberian maklum balas.
2. Tiada rancangan tempatan dirangka bagi kawasan dan penempatan yang akan terjejas oleh kerja-kerja sampingan berkaitan projek kereta kabel terutamanya di stesen bawah di Taman Botani dan di sepanjang Jalan Kebun Bunga. Penduduk yang tinggal berhampiran tidak mengetahui bagaimana mereka akan terjejas dengan kerja-kerja berkaitan projek kereta kabel itu.
Ketiadaan rancangan tempatan bagi pulau selama beberapa dekad adalah satu pelanggaran terhadap Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Jika rancangan tempatan telah disediakan, orang ramai, terutamanya mereka yang akan terjejas oleh projek itu akan dapat memberi maklum balas mereka.
3. Penilaian Kesan Lalu Lintas (Traffic Impact Assessment – TIA) dan Penilaian Kesan Sosial (Social Impact Assessment – SIA) bagi projek itu semuanya diperlukan sebelum diberikan kebenaran merancang. Laporan-laporan penilaian ini tidakdipamerkan secara terbuka bagi ulasan dan maklum balas orang ramai.
Jelas sekali, orang ramai tidak maklum tentangsituasi sebenar akan kesan alam sekitar dan sosial projek itu sebelum sebarang kelulusan diberikan.
Untuk meluluskan projek kereta kabel tersebut tanpa penyertaan orang ramai dan pendedahan awam adalah bukan satu tadbir urus yang baik.
Ini terutamanya dalam kes projek yang sedang berlangsung di kawasan alam sekitar yang sensitif, seperti Bukit Bendera dan Taman Botani Pulau Pinang.
Mengangkut 1,000 orang setiap jam melalui kereta kabel ke atas Bukit Bendera bukanlah satu perkara kecil. Banyak persoalan mengenai kesan limpahan dan daya tampung ekosistem yang sensitif terhadap alam sekitar ini.
Wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan cepat menyatakan bahawa SAM telah dijemput ke perbincangan kumpulan fokus semasa penyediaan SIA tetapi tidak menghadirinya. Kami telah memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa kami tidak dapat menghadiri perundingan pada tarikh yang ditetapkan tetapi perkara ini tidak membebaskan pihak berkuasa daripada mempamerkan EIA kepada orang awam untuk mendapatkan maklum balas terlebih dahulu sebelum sebarang kelulusan diberikan.
SAM menggesa pihak berkuasa Negeri Pulau Pinang, MBPP dan agensi Negeri yang berkaitan untuk mempamerkan laporan-laporan EIA, TIA dan SIAuntuk projek kereta kabel ini secara terbuka dan mendapatkan maklum balas orang ramai.
Rancangan tempatan juga perlu disediakan untuk maklum balas orang awam. Tanpanya, projek kereta kabel tidak seharusnya diteruskan.
SAM bingung dengan ketidaktelusan dan kekurangan peluang untuk rundingan awam dan maklum balas dalam hal ini.
Demi tadbir urus yang baik dan ketelusan, projek kereta kabel ini tidak harus diteruskan sehingga orang ramai mempunyai peluang untuk melihat butiran projek dan semua langkah di atas diambil.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Siaran Akhbar, 17 April 2024