Kerajaan perlu teguh dengan pendirian meminta Lynas menghantar keluar bahan buangan radioaktif dan berbahaya

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong keputusan kerajaan untuk meminta Lynas Malaysia Sdn. Bhd. memindah keluar dan melupuskan 451,464 tan metrik sisa radioaktif yang terkumpul.

Pada pandangan kami, sisa radioaktif itu perlu dieksport oleh Lynas ke Australia kerana bahan mentah yang diproses menjadi nadir bumi itu berasal dari Australia.

Kami juga menyedari bahawa kerajaan telah meminta Lynas mengemukakan rancangan untuk membuang sisa bawah tanah yang neutral, “neutralisation underflow residue (NUF)” berjumlah 1.113 juta tan metrik, yang terkumpul selama enam tahun.

Mengikut kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC), Yeo Bee Yin, undang-undang hanya membenarkan had sebanyak 20 tan penyenggaraan sisa berjadual untuk disimpan di tapak selama maksimum 180 hari.  Lynas telah meminta pengecualiaan untuk penyenggaraan sisa berjadual mereka.

SAM dan CAP berpendapat bahawa penyenggaraan sisa berjadual NUF adalah amat merbahaya dan harus dipindahkan keluar dari negara ini oleh Lynas. Tidak patut ada pengecualian untuk Lynas.

Sebenarnya, pendirian kami sepanjang masa adalah Lynas seharusnya tidak dibenarkan di tempat pertama untuk beroperasi dengan aktiviti pemprosesan nadir bumi di Malaysia sama sekali. Oleh itu, kami secara konsisten menggesa agar kilang itu ditutup.

Keputusan kerajaan adalah tidak bersesuaian, kerana Lynas akan tetap beroperasi jika memenuhi kedua syarat tersebut. Masih ada bahaya yang berkait, misalnya untuk mengangkut, mengendali, mengendalikan dan kemungkinan kebocoran radioaktif dan bahan berbahaya lain, walaupun terdapat pelupusan sisa yang memuaskan. Ianya hampir mustahil untuk penyimpanan atau pelupusan bahan radioaktif yang selamat.

Kesihatan dan keselamatan penduduk dan pekerja di kilang dan kawasan sekitarnya perlu didahulukan. Kerosakan alam sekitar, termasuk air dan tanah, juga merupakan suatu kebimbangan utama kami. Pendapatan dan pekerjaan boleh diperoleh daripada aktiviti yang lebih selamat.

Oleh itu, kilang tersebut perlu ditutup. Keputusan kerajaan untuk membiarkannya diteruskan  jika ia berkaitan dengan radioaktif dan penyenggaraan sisa berjadual adalah tindakan minimum yang dapat diterima dan harus dipertimbangkan sebagai langkah awal.

Kami juga meneliti dengan rasa bimbang laporan jawatankuasa eksekutif operasi Lynas, yang mendapati bahawa ada peningkatan pencemaran logam berat termasuk nikel, kromium, plumbum dan merkuri dalam air bawah tanah. Logam ini boleh menyebabkan kanser dan penyakit serius lain seperti penyakit Minamata (dari merkuri). Menurut laporan mereka, perkara ini amat membimbangkan kerana 12.5% isi rumah menggunakan air bawah tanah untuk kegunaan harian mereka.

Bahaya sisa radioaktif sangat serius, dan radioaktif ini akan kekal selama berbilion tahun. Oleh itu, sisa radioaktif terkumpul mestilah dipindahkan keluar dari negara ini. Penyenggaraan sisa berjadual juga berbahaya, sebab itulah ia dijadualkan. Setakat ini tiada rancangan tentang bagaimana kedua-dua jenis sisa itu ditangani dari segi penyimpanan atau pelupusan yang selamat secara kekal. Harus diingat bahawa Perdana Menteri merujuk kepada kes Bukit Merah di mana 1 kilometer persegi tanah di Perak hilang untuk menanam sisa buangan.

Kami juga maklum bahawa Lynas Corporation telah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan untuk menetapkan kedua-dua syarat mengenai pelupusan sisa untuk pembaharuan lesennya untuk beroperasi. Kami mengucapkan tahniah kepada Menteri Yeo kerana menolak ancaman ini. Kami menyeru agar kerajaan teguh dan tidak merasa terancam dengan ancaman seperti itu, kerana kehidupan dan kesihatan rakyat serta keselamatan alam sekitar perlu menjadi keutamaan.

SAM dan CAP menggesa kerajaan untuk menuntut  agar Lynas memindahkan keluar kedua-dua bahan radioaktif dan penyenggaraan sisa berjadual dari Malaysia, dan agar kilang itu menghentikan operasinya jika masih belum berbuat demikian secepat yang mungkin.

 

Kenyataan Media, 7 Disember 2018