Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta kerajaan agar tidak melayani sebarang saranan untuk mengurangkan cukai tembakau. Pihak berkuasa harus ingat bahawa Malaysia turut terlibat dalam Konvensyen Kerangka Kerja WHO mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC), yang dimeterai pada 2005. Oleh itu Malaysia perlu mematuhi Perkara 6 FTCT WHO yang menghendaki negara-negara terbabit untuk “melaksanakan sistem termudah dan paling cekap yang memenuhi keperluan kesihatan dan fiskal orang awam.”
Pengenaan cukai tembakau merupakan cara paling berkesan untuk tidak menggalakkan tabiat merokok. Tambahan pula adalah tidak masuk akal untuk mengurangkan kadar cukai hanya disebabkan peningkatan dalam aktiviti penyeludupan rokok. Sekiranya benar aktiviti seumpamanya berlaku, kerajaan sepatutnya mempertingkatkan pengawasan dan menaikkan denda terhadap aktiviti haram tersebut dan bukannya dengan mengurangkan cukai tembakau untuk membendung penyeludupannya.
Merendahkan cukai tembakau sama seperti membenarkan lebih banyak tempat perjudian hanya semata-mata untuk tidak menggalakkan orang ramai daripada mengunjungi rumah perjudian haram. Ini ternyata terpesong daripada objektif utama untuk membendung masyarakat daripada berjudi. Malah, dikhuatiri pengurangan cukai tembakau akan menyebabkan lebih ramai yang merokok dan menghisapnya dengan lebih banyak lagi. Pengurangan cukai melahirkan salah tanggapan bahawa produk tembakau konvensional yang ‘sah’ (seperti rokok dan cerut), produk tembakau yang dipanaskan (HTP) dan sistem penyampaian nikotina elektronik (ENDS) adalah kurang berbahaya.
Memandangkan nikotina sama menagihkan seperti heroin dan kokaina, semua produk yang mengandungi nikotina perlu dikawal seperti ubatan. Nikotina merupakan racun Kelas C di bawah Akta Racun Malaysia 1952; ini bermakna produk yang mengandungi nikotina hanya boleh diberikan oleh kakitangan berlesen. Oleh itu, kerajaan perlu mengetatkan kawalan ke atas produk berasaskan nikotina, misalnya dengan mengarahkan semua outlet runcit memohon lesen menjualnya.
Dengan cara ini kerajaan akan lebih mudah mengawal penjualannya kerana sesiapa sahaja yang menjual produk seumpamanya tanpa lesen yang sah akan dianggap telah melakukan satu kesalahan. Ia juga akan membantu kerajaan untuk mendapatkan keuntungan fiskal dari yuran pelesenan. Tambahan pula tidak mustahil ia dapat mengawal jarak outlet runcit dari tempat-tempat seperti sekolah atau hospital.
Kerajaan sepatutnya menaikkan cukai tembakau dan menggunakan wang hasil tersebut ke arah meningkatkan kesihatan orang awam. Pada 2012, cukai yang dipungut dari rokok dan produk tembakau sekitar RM3.28 bilion; pada 2014, RM3.42 bilion; dan pada 2017, RM3.94 bilion. Jumlah yang begitu besar boleh digunakan dengan sebaiknya untuk mempertingkatkan kualiti penjagaan kesihatan kita dan akses kepadanya.
Bank Dunia menyarankan agar beban cukai total sepatutnya antara 66% hingga 80% daripada harga runcit, dan kebelakangan ini, WHO menyarankan sekurang-kurangnya 70% dari harga runcit perlu meliputi duti eksais. Sehubungan itu, kami ingin menyarankan kepada kerajaan agar mematuhi garis panduan FCTC WHO dan melaksanakan dasar cukai dan harga jangka panjang demi memenuhi keperluan kesihatan dan fiskal awam.
Kenyataan Akhbar, 19 Ogos 2020