Kerajaan tidak sepatutnya melonggarkan syarat berhubung operasi Lynas

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan semasa supaya tidak melonggarkan syarat yang dikenakan oleh kerajaan terdahulu bagi operasi Lynas Corporation di Gebeng, Pahang.

Kebimbangan mengenai kesihatan awam dan keselamatan alam sekitar sepatutnya terus menjadi tumpuan ketika kerajaan membuat sesuatu keputusan dan bukannya berdasarkan kehendak politik dan lobi pihak-pihak yang berkepentingan.

Kami menggesa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, agar tidak mengkaji semula keputusan yang telah diambil oleh kerajaan sebelumnya, memandangkan tindakan ini bukan sahaja akan bercanggah dengan keputusan yang tepat dan pentadbiran yang baik malah bertentangan dengan kepentingan menjaga kesihatan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Selama bertahun-tahun masa dan sumber berharga telah dihabiskan untuk menangani operasi Lynas yang diselubungi kontroversi. Sudah tiba masanya untuk mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh kerajaan terdahulu dan tidak membuka semula  keputusan yang telah diambil demi kepentingan awam.

Gesaan SAM ini dibuat sehubungan dengan berita terkini bahawa kerajaan sekarang akan menyemak semula saranan bagi Lynas untuk meneruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan mengenai sisa ‘water leach purification’ (WLP) sebagai ‘Condisoil’ bagi tujuan pertanian.

Hasrat kerajaan telah dimaklumkan oleh Menteri MOSTI di Parlimen semalam, dengan menyebut keputusan itu tertakluk kepada kelulusan dari Kabinet, dan Kementerian akan kekal dengan pelan untuk memindahkan sisa Lynas ke kawasan fasiliti pembuangan sisa kekal (permanent disposal facility — PDF) jika  penyelidikan dan pembangunan tersebut gagal dikomersialkan.

SAM amat bimbang dengan kenyataan Menteri MOSTI yang seolah-olah mengabaikan kajian dan kontroversi selama bertahun-tahun berhubung operasi Lynas dan longgokan sisanya, yang akhirnya membawa kepada penilaian oleh pakar bebas  di bawah kerajaan terdahulu.

Penilaian yang dilakukan oleh pakar bebas tersebut membawa kepada Laporan Jawatankuasa  Eksekutif Penilaian (ECR) yang diserahkan kepada bekas Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Laporan itu mendedahkan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menolak permohonan Lynas untuk menjalankan kajian berskala besar bagi kenaf dan biji jagung (grain corn) berdasarkan kajian terdahulu yang menunjukkan antara lain, peningkatan logam berat selepas penggunaan Condisoil, kepekatan kromium melebihi hadnya, dan kepekatan logam berat dalam pertumbuhan meningkat selepas menggunakan Condisoil.

Ini akhirnya membawa kepada pengenaan beberapa syarat oleh kerajaan terdahulu bagi pembaharuan lesen operasi Lynas tahun lalu, termasuk sekatan terhadap penyelidikan dan pembangunan selanjutnya bagi kitar semula sisa radioaktif  WLP sebagai Condisoil untuk kegunaan pertanian.

Kami mengulangi gesaan kepada Menteri MOSTI agar menghormati syarat-syarat bagi pembaharuan lesen Lynas dan menumpukan perhatian ke atas tapak PDF di Bukit Ketam, Pahang.

Menurut Menteri MOSTI, pada 28 Julai lalu, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) telah meluluskan tapak yang dicadangkan, tertakluk kepada kelulusan Penilaian Impak Radiologi (RIA) dan kajian Penilaian Kesan kepada Alam Sekelilinh (EIA) selain keperluan relevan yang lain oleh pihak berkuasa tempatan.

Sementara kami menghargai kenyataan Menteri terbabit bahawa laporan bagi semua kajian akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan bagi penilaian sebelum kelulusan untuk membina PDF dikeluarkan oleh AELB, SAM ingin menyatakan bahawa ketelusan sepenuhnya dan penglibatan orang awam dalam proses tersebut perlu dijamin, seperti yang termaktub di bawah undang-undang.

Agensi-agensi kerajaan ini tidak seharusnya berada di bawah tekanan untuk meluluskan PDF secara tergesa-gesa dan perlu memastikan semua aspek kesihatan dan keselamatan awam, di samping pertimbangan terhadap alam sekitar, diteliti dan dinilai, dengan mengambil kira pandangan rakyat tanpa sebarang tolak ansur, terutamanya kerana sisa WLP akan kekal sebagai bahan radioaktif dan berbahaya kepada generasi akan datang.

Menurut laporan media sebelum ini, Lynas berkata ia telah melantik sebuah syarikat tempatan, Gading Senggara Sdn Bhd untuk mengendalikan PDF dengan kos US$98 juta (RM400 juta). Namun adalah kurang jelas jika ini turut termasuk kos pengambilan, penyediaan dan pembinaan PDF atau ia bagi kos penyelenggaraan tapak itu selama beberapa dekad akan datang.

Jumlah ini nampaknya tidak mencukupi untuk penyelenggaraan PDF yang sepatutnya menangani sekurang-kurangnya 1 juta tan sisa radioaktif untuk beberapa generasi yang akan datang.

Sebagai perbandingan, dalam kes sisa Asian Rare Earth, Mitsubishi Chemicals dari Jepun dilaporkan telah membelanjakan US$100 juta hanya  untuk membersihkan tapak loji ARE.

Satu lagi isu yang membimbangkan ialah berhubung kepakaran syarikat tempatan yang dinamakan oleh Lynas dalam mengambil alih pengurusan bahan sisa radioaktif tersebut. Keupayaan dan kepakaran syarikat ini perlu dihebahkan kerana bahan yang dikendalikan itu bukan sisa buangan biasa  tetapi sebaliknya merupakan sisa yang kekal berbahaya bagi generasi-generasi masa depan.

Sehubungan itu, SAM mengulangi gesaan agar Lynas tidak dibenarkan untuk melanjutkan lesen  beroperasi sehingga resolusi yang sempurna bagi pengendalian sisa buangannya secara kekal dicapai.

 

Kenyataan Akhbar, 5 Ogos 2020