Saudara Pengarang,
Berita mengenai kehadiran seekor anak gajah yang berkeliaran di pekan Lintang, Sungai Siput, Perak hingga masuk ke Sekolah Kebangsaan Lintang (SK Lintang) pada 7 Ogos lalu dipercayai tersesat dari habitatnya di Hutan Simpan Piah (HS Piah) dan terpisah dengan ibunya.
Berdasarkan berita dan laporan yang disiarkan melalui media massa dari semasa ke semasa, isu-isu seperti hidupan liar tersesat dari habitatnya, gangguan hidupan liar dan kematian hidupan liar akibat kemalangan jalan raya berlaku disebabkan gangguan kepada habitat dan kemusnahan habitat.
Kemungkinan ketiga-tiga isu tersebut akan terus berlaku sekiranya pihak berkuasa tidak memelihara dan melindungi habitatnya.
Pihak berkuasa sama ada di peringkat negeri dan di peringkat daerah perlu memastikan setiap perancangan pembangunan yang membabitkan penukaran guna-tanah tidak bercanggah dengan pelan perancangan fizikal terutamanya Rancangan Fizikal Negara (RFN).
RFN yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 April 2005 dan diterima pakai oleh semua Pihak Berkuasa Negeri merupakan suatu penyataan bertulis yang merumuskan dasar-dasar strategik bagi menentukan hala tuju pemajuan fizikal dan pemeliharaan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.
RFN telah mengenalpasti fragmentasi hutan sebagai ancaman kepada pemeliharaan hutan dan kepelbagaian hayat. Tidak dinafikan pembukaan (pemusnahan) sebahagian kawasan berhutan adalah dilakukan bagi memenuhi keperluan pembangunan sosio-ekonomi negara tetapi dengan perancangan dan pengurusan yang mampan secara langsung akan dapat meminimakan kadar kehilangan kawasan berhutan dan mengelak berlakunya fragmentasi hutan.
Mengikut RFN dan Rancangan Struktur Negeri (RSN), HS Piah yang bersambung dengan Hutan Simpan Air Cepam (HS Air Cepam) dan HS Temengor di sebelah utara, Hutan Simpan Korbu (HS Korbu) dan bekas Rizab Hidupan Liar Chior (RHL Chior) di sebelah selatan dan Hutan Simpan Perias (HS Perias) di sebelah timur dalam negeri Kelantan adalah sebahagian daripada Koridor Hidupan Liar di dalam kompleks hutan ‘Central Forest Spine’ (CFS) Banjaran Titiwangsa yang juga rangkaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
Pemansuhan dan eksploitasi sebahagian HS Piah, pemansuhan sebahagian HS Korbu dan pemansuhan keseluruhan RHL Chior yang juga habitat kepada beberapa spesies mamalia terancam yang dilindungi sepenuhnya untuk tujuan pertanian dan pengusahasilan hutan (kegiatan membalak) yang tidak terkawal boleh menimbulkan konflik di antara hidupan liar dan manusia di kawasan penempatan berhampiran.
Sebagai perbandingan berdasarkan rekod dan perangkaan, keluasan keseluruhan HS Piah dan HS Korbu pada tahun 2003 dan 2016 ialah:-
HS Piah:
- 2003: 76,158 hektar,
- 2016: 74,451.26 hektar;
HS Korbu:
- 2003: 87,942 hektar,
- 2016: 85,113.90 hektar
Berdasarkan rekod juga, antara pemansuhan sebahagian HS Piah, HS Korbu dan keseluruhan RHL Chior ialah:-
HS Piah:
- 994 hektar pada 20 Mac 2014,
- 1,150.55 hektar pada 31 Julai 2014, dan
- 2,252.881 hektar pada 26 Mei 2016;
HS Korbu:
- 6 hektar pada 18 Ogos 2011, dan
- 1,214 hektar pada 10 Januari 2012;
RHL Chior:
- 7 hektar pada 21 Julai 2014
Daripada keseluruhan keluasan HS Piah, hanya 17,107.00 hektar sahaja diwartakan kelas kegunaan sebagai Hutan Tadahan Air mengikut Seksyen 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara, 1984 (Akta 313) manakala selebihnya adalah sebagai Hutan Pengeluaran Kayu Dibawah Perolehan Berkekalan mengikut Seksyen 10(1)(a), Akta yang sama.
Sebelum ini sebahagian HS Piah pernah juga diwartakan kelas kegunaan sebagai Hutan Simpanan Dara (VJR) mengikut Seksyen 10(1)(g), Akta Perhutanan Negara, 1984 (Akta 313) tetapi telah dimansuhkan.
Malah daripada keluasan yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran Kayu Dibawah Perolehan Berkekalan terdapat juga sebahagian kawasan yang sedang / hendak dieksploitasi untuk tujuan ladang monokultur atau apa yang dikenali sebagai ladang hutan dan untuk tujuan kuari.
Bagi keseluruhan keluasan HS Korbu pula, hanya 27,750 hektar sahaja diwartakan kelas kegunaan sebagai Hutan Tadahan Air mengikut Seksyen 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara, 1984 (Akta 313) manakaja selebihnya adalah sebagai Hutan Pengeluaran Kayu Dibawah Perolehan Berkekalan mengikut Seksyen (10)(a), Akta yang sama.
Oleh kerana HS Piah, HS Korbu dan RHL Chior terletak di jajaran kompleks hutan ‘Central Forest Spine’ Banjaran Titiwangsa, ia merupakan salah satu koridor hidupan liar utama di Semenanjung Malaysia.
Perlu diketahui juga, RHL Chior adalah kawasan perlindungan di bawah pengurusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) yang pertama ditubuhkan di Malaysia (1903) tetapi oleh kerana rizab tersebut telah dimansuhkan keseluruhan menyebabkan hidupan liar yang masih terdapat di situ ‘berhijrah’ ke habitat berhampiran terutama ke HS Piah.
Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan, HS Piah pula dieksploitasi dengan kegiatan pembalakan yang tidak terkawal dan kegiatan pemusnahan hutan apabila sebahagian hutan simpan tersebut dimansuhkan (fragmentasi) dan untuk dijadikan ladang monokultur.
Apabila sesuatu kawasan hutan simpan dimansuhkan sebagai HSK dan sesuatu kawasan hutan simpan hendak dijadikan ladang monokultur, litupan hutan asal akan diusahasil (dibalak) secara tebang habis.
Kegiatan pengusahasilan secara tebang habis tidak tertakluk kepada Sistem Tebangan Memilih (SMS), Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan pensijilan ‘Malaysia Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management’ (MC&I).
Semua pihak harus memahami bahawa apabila sesuatu kawasan hutan terutama yang dilindungi dan mempunyai ‘security of tenure’ dieksploitasi dengan kegiatan pembalakan yang tidak terkawal dan kegiatan pemusnahan hutan, ia akan menjejaskan penghasilan dan perkhidmatan hutan.
Oleh itu SAM berharap terutamanya Pihak Berkuasa Negeri supaya mengurus kompleks hutan ‘Central Forest Spine’ secara mampan dan dikekalkan keluasan HSK sedia ada dengan mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk diwartakan lagi sebagai hutan perlindungan mengikut Seksyen 10(1)(b – l), Akta Perhutanan Negara, 1984 (mana-mana yang sesuai).
Surat Kepada Pengarang, 14 Ogos 2018