Gajah di Semenanjung Malaysia kini kehabisan ruang seperti mana yang dibuktikan dengan laporan yang kerap mengenai konflik antara manusia dan gajah (HEC) di dalam media tempatan. HEC adalah akibat daripada kehilangan habitat dan pemecahan habitat yang menjadi ancaman utama kepada gajah di Semenanjung Malaysia.
Di kelilingi daripada semua pihak, gajah kini menghadapi pelbagai cabaran: pembinaan empangan dan lebuh raya, aktiviti pertanian secara intensif, penukaran hutan tanah pamah kepada ladang kelapa sawit dan getah, aktiviti pembalakan, landskap menjadi berpecah-belah dengan di kelilingi oleh ladang tanaman, ladang, dan jalan baru, kemunculan kampung dan bandar. Aktiviti ini yang dilakukan secara bersendirian atau digabungkan sekali turut memusnahkan laluan penghijrahan semula jadi dan habitat gajah. Persaingan ini membawa manusia dan haiwan kepada hubungan rapat antara satu sama lain dengan kesan negatif untuk kedua-duanya.
Haiwan sering menggunakan laluan berhijrah tradisional. Apabila terputus daripada laluan ini, haiwan ini akan sesat ke kawasan penanaman untuk mencari makanan, memusnahkan tanaman, menyerang ternakan, dan dalam kes yang melampau membunuh manusia yang mengakibatkan pembunuhan balas oleh petani untuk mempertahankan kehidupan mereka dan keselamatan mereka sendiri.
Habitat gajah atau kawasan banjaran yang berhampiran atau bersebelahan dengan penempatan manusia telah membawa kepada peningkatan konfrontasi antara manusia dan binatang. Dalam kebanyakan kes, gajah meluaskan jangkauannya ke kawasan yang dikuasai manusia untuk memakan pelbagai jenis tanaman makanan dan tanaman kontan yang diusahakan ini yang boleh menarik pakiderma seperti anak pokok getah, kelapa sawit, pisang dan tanaman lain yang ditanam.
HEC adalah kejadian yang berterusan berlaku di banyak negara termasuk India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Kemboja. HEC adalah kebimbangan utama dalam kalangan pemuliharaan dan pihak berkuasa negeri. Ancaman terbesar kepada gajah di Malaysia ialah pembersihan hutan hujan secara besar-besaran yang membawa kepada konflik HEC yang meluas. Perkara ini sering meletakkan gajah dalam gambaran yang buruk di mana ia dilihat sebagai gangguan dan tidak disenangi serta digambarkan sebagai “gajah penyangak.”
Terdapat usaha untuk mengawal populasi gajah ini termasuk penakaian pada tahun 1970-an yang mengurangkan populasi gajah tetapi menjadi tidak berkesan apabila penakaian dihentikan. Pemindahan juga telah dicuba tetapi didapati menelan belanja yang tinggi dan mempunyai kemungkinan kesan kepada kematian gajah semasa pemindahan akibat tekanan atau kesilapan manusia, dan kepupusan disebabkan oleh pembiakan dalaman seperti yang berlaku di Hutan Simpan Hidupan Liar Krau serta negeri Perlis, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pemilik ladang juga telah cuba menggali parit yang mengakibatkan hakisan. Dalam sesetengah kes, gajah mengisi parit dengan tanah untuk membolehkannya masuk ke ladang. Bunyi bising seperti jeritan, mercun dan tembakan senjata api ke udara mengalihkan gajah hanya buat sementara waktu sahaja.
Penghalang yang paling berkesan ialah pagar elektrik, yang amat mahal kosnya. Namun, gajah masih dapat mencari jalan untuk ke ladang dengan pagar elektrik seperti yang dicatatkan di kawasan Penempatan Semula Air Banun, Gerik, Perak.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kekal pesimis terhadap masa depan gajah kita yang populasinya dikatakan antara 1,000 dan 1,500 bagi seluruh Sabah, dan dianggarkan 1,564 hingga 1,674 bagi Semenanjung Malaysia.
Terdapat keperluan mendesak untuk melindungi dan mengurus gajah serta mengurangkan cabaran HEC. Cara terbaik untuk mengurangkan dan mengurus HEC adalah dengan melindungi habitat semula jadinya. Ini boleh dilakukan dengan cara menghalang pemecahan habitat melalui hubungan/koridor hidupan liar untuk spesies berhijrah antara habitat yang ada sekarang dan tompokan hutan yang tinggal melalui persekitaran yang kurang bermusuhan.
Untuk teknik mengurangkan yang lebih berkesan perlulah ada kerjasama yang kukuh antara pakar dan pihak berkepentingan serta penglibatan penduduk tempatan dalam perancangan guna tanah dan proses pelaksanaan secara jangka panjang. Konflik manusia dan hidupan liar tidak akan berakhir selagi manusia dan haiwan berkongsi dan bersaing untuk mendapatkan sumber yang sama.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 31 Oktober 2022