KRISIS SISA PLASTIK & PENYELESAIAN SEBENAR DIPERLUKAN (BAHAGIAN 1)

Kerja dan Tindakan CAP terhadap Perdagangan Sisa Plastik

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) adalah ahli Global Alliance for Incinerator Alternatives (GAIA) dan juga Break Free from Plastic.

Pada tahun 2017, pertubuhan kami melalui projek GAIA memulakan penyelidikan mengenai kesan perdagangan sisa, menjejaki pergerakan sisa plastik secara global. Pada masa itu terdapat berita mengenai kontena sisa terbiar di pelabuhan-pelabuhan di Malaysia.

Apabila mengetahui pemberitahuan China kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada pertengahan 2017 berhubung hasrat China untuk mengenakan larangan ke atas 24 jenis sisa termasuk import sisa plastik, dan menjangkakan masalah itu akan melata ke Malaysia, kami memberi amaran kepada kerajaan Malaysia bahawa Malaysia mungkin menjadi destinasi seterusnya untuk sisa ini.

Kami mendapat maklum balas daripada jabatan yang bertanggungjawab, mengatakan bahawa ia telah menggubal peraturan khusus untuk mengawal import sisa plastik dan akan mengenakan syarat ketat ke atas premis dan lesen import. Bagaimanapun, langkah kawalan dan penguatkuasaan itu terbukti tidak mencukupi, berdasarkan pembuangan sisa dan kewujudan kilang kitar semula haram yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di banyak bahagian di Malaysia, terutamanya berhampiran pelabuhan laut. Ini berlaku pada 2018, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia dan Thailand.

Komuniti dan pertubuhan masyarakat sivil mula mendedahkan kesan buruk pembuangan sisa terhadap kesihatan dan alam sekitar mereka. Sebahagian daripada sisa yang tidak dapat dikitar semula hanya dibuang di kawasan terpencil dan ada yang dibakar. Selain pencemaran udara dan pembakaran, tanah dan badan air kita juga tercemar.

Ini adalah isu mendesak yang kami tangani kerana kami tidak mahu negara kami menanggung beban perdagangan sisa.