KUARI DI SUNGAI ARA, PULAU PINANG MENGANCAM PENDUDUK SEKITAR

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang (PTG), Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya mengkaji semula operasi kuari yang sedang berjalan di Sungai Ara, Pulau Pinang.

Aktiviti kuari yang beroperasi di Mukim 12, Daerah Barat Daya ini berada amat hampir dengan beberapa buah kawasan perumahan yang telah menimbulkan kebimbangan kepada  ribuan penduduk di sini.  Jarak kuari dari sebahagian kawasan perumahan yang padat ini adalah kurang daripada 200 meter.

Penduduk berhadapan dengan aktiviti pemecahan bongkah batu sehingga menyebabkan kawasan perumahan tersebut mengalami pelbagai insiden, antaranya keretakan pada dinding rumah dan lantai serta habuk. Kejadian yang paling membahayakan ialah batu terbang yang melayang ke udara.

Di samping itu, penduduk bimbang bahawa lori-lori yang membawa muatan bahan batuan kuari boleh menggugat keselamatan pengguna jalan raya. Selain itu, mereka kerap mendengar letupan kuat yang luar biasa, dipercayai dari projek kuari batu terbabit.

Penduduk di kejiranan Setia Pulau Mutiara I, II dan III, serta Stramax Residences telah menghantar surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada bulan Julai lalu untuk menyuarakan bantahan terhadap operasi kuari tersebut. Penduduk-penduduk terbabit mengharapkan operasi kuari ini dapat diberhentikan segera seperti mana kuari di Juru diberhentikan operasinya baru-baru ini.

Selain daripada itu penduduk juga telah membuat aduan, bantahan, menghadiri mesyuarat dengan pihak berkuasa sejak beberapa bulan yang lalu tetapi kesal kerana tindakan tegas tidak diambil dan mereka masih berhadapan dengan masalah dan bahaya dari operasi kuari ini.

SAM khuatir jika perkara ini tidak ditangani dengan segera, risiko bahaya terhadap keselamatan penduduk dan orang ramai akan terancam selain daripada kesan buruk kepada alam sekitar. Kami difahamkan operasi kuari ini berkaitan dengan kerja tanah untuk pembangunan projek perumahan baru di sini.  Pengalaman telah menunjukkan pembangunan di lereng bukit boleh membawa padah sekiranya berlaku gelongsoran tanah, lebih-lebih lagi semasa musim hujan lebat ini.

Sehubungan dengan ini SAM menggesa agar pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak berkenaan memandang serius ke atas bantahan penduduk.   Operasi kuari yang berhampiran kawasan penempatan perlu dihentikan segera sebelum tragedi berlaku.

 

Kenyataan Media, 25 Ogos 2021