Pelbagai pertubuhan yang berjuang bagi pengguna, kesihatan awam, perusahan kecil dan sederhana, petani dan alam sekitar menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dan kerajaannya untuk tidak meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP).
Kumpulan ini terus mengemukakan kebimbangan kepada kerajaan mengenai implikasi negatif yang serius berhubung CPTPP bagi Malaysia. Perjanjian ini meliputi hampir setiap aspek ekonomi negara terutama sekali Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang amat kontroversi sehingga mencetuskan bantahan di seluruh negara daripada 2014 hingga 2016. Ketika Amerika Syarikat menjadi penyokong utama bahagian TPPA yang bermasalah itu menarik diri, hanya 22 daripada lebih 1000 peruntukan digantung.
Analisis oleh Pakar Ekonomi Kanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Dr. Rashmi Bangsa menunjukkan bahawa jika Malaysia mengambil langkah untuk meratifikasikan perjanjian itu, ia akan memburukkan perdagangan negara dalam imbangan barangan sehingga berbilion ringgit setahun.
Kajian oleh kumpulan masyarakat sivil termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menunjukkan banyak lagi peruntukan lain yang bermasalah dalam CPTPP seperti kerugian hasil tarif, memerlukan petani untuk membayar royalti bagi benih selama 20 hingga 25 tahun dan melarang mereka daripada berkongsi benih, membataskan subsidi kepada nelayan, menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana serta menjejaskan perlindungan pengguna dalam peraturan kewangan melalui undang-undang e-perdagangan.
Salah satu masalah terbesar ialah CPTPP mendedahkan kerajaan kepada penyelesaian pertikaian pelabur negara (ISDS) yang memerlukan kerajaan Malaysia membayar berbilion dolar dalam bentuk pampasan kepada pelabur asing. Ia jalan pintas kepada sistem kehakiman kita dan ia juga mencabuli kedaulatan negara.
Kenyataan oleh mantan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini menyediakan maklumat penting berhubung perbincangan Kabinet sejak 2018.
Kami mengalu-alukan keputusan Kabinet pada 31 Julai 2019 untuk menolak ISDS pada dasarnya dan Malaysia telah bekerjasama dengan ASEAN dan negara lain untuk menolak ISDS daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perjanjian serantau yang dimuktamadkan selepas CPTPP.
Bagaimanapun, ISDS dengan semua masalah yang disebabkan olehnya masih lagi ada dalam CPTPP yang kami bantah.
Kami juga menekankan bahawa CPTPP kini sudah ketinggalan. Sejak CPTPP dirundingkan dan ditandatangani, dunia berada dalam pandemik COVID-19. Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa pandemik COVID-19 akan mengambil masa empat hingga lima tahun untuk dapat dikawal, dan Ketua Pengarah memberitahu kita bahawa “ia tidak akan kembali kepada kebiasaan lama untuk masa depan yang dapat diramalkan.” Dengan krisis ekonomi yang sudah pun bermula sebelum pandemik, dunia kini berdepan dengan cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya dan kerajaan mengambil langkah yang belum pernah dibuat sebelum ini untuk menanganinya.
Kerajaan memerlukan ruang dasar maksimum untuk menangani pandemik dan membantu pemulihan ekonomi. Bagaimanapun, CPTPP membataskan ruang dasar dan peraturan yang diperlukan bagi menangani pandemik dan krisisnya. Contohnya, beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia bagi menangani pandemik ini (dan mungkin perlu diambil di masa depan) boleh mencabuli CPTPP.
Negara yang sudah pun meratifikasi CPTPP seperti Australia sudah pun melanggar komitmen mereka kepada CPTPP untuk menangani pandemik dan krisis ekonomi. Australia kini meneliti semua pelaburan asing walaupun di bawah CPTPP ia sepatutnya hanya meneliti pelaburan lebih daripada A$252 juta (kira-kira TM760 juta). Difahamkan bahawa Australia sedang mengambil langkah ini ketika krisis supaya pelabur asing tidak membeli aset Australia.
Memandangkan kos ratifikasi CPTPP mengatasi manfaat malah sebelum pandemik lagi, dan memandangkan sekatan CPTPP ke atas kemampuan Malaysia untuk bertindak balas kepada pandemik semasa dan krisis ekonomi, krisis dan pandemik pada masa depan, Malaysia mestilah tidak meratifikasi CPTPP.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan bagi pihak pertubuhan berikut:
Agora Society
Citizens’ Health Initiative
Health Equities Initiative
Majlis Tindakan Economic Melayu (MTEM)
Malaysian Women’s Action on Tobacco Control and Health (MyWATCH)
Persatuan Sahabat Wanita Selangor
Positive Malaysian Treatment Access and Advocacy Group (MTAAG+)
Padi Rescue
Parti Socialis Malaysia
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
PT Foundation
Sahabat Alam Malaysia
Siaran Akhbar, 10 Ogos 2020