Berkebun di Bandar: Temu Bual 3
Pesara guru, Selvi Singgaram, berpengalaman luas yang boleh dikongsi mengenai kebun di laman belakang, di mana beliau menanam pelbagai jenis tanaman sayuran dan herba yang berkhasiat sebagai ubatan. Suami beliau, Kanthabalan Ramiah, mula mengusahakan kebun di rumah mereka kira-kira 3 tahun lalu. Sejak itu seluruh ahli keluarga mereka bersama-sama mengurus dan menjaga kebun tersebut.
“Kami menanam sayuran seperti terung putih, cekur manis, kacang panjang, timun, cili, cili benggala dan peria. Kami juga menanam beberapa tumbuhan herba seperti lemuju, daun kemangi (tulsi), daun sireh, balloon vine, ketumbar jawa (Culantro), kunyit dan adamant creeper (pirandai). Banyak tumbuhan herba ini hanya dikenali oleh generasi lama. Baru-baru ini kami mula menanam pokok nanas,” ujarnya.
Tiada apa yang lebih menggembirakan Selvi selain memakan sayuran segar dari laman sendiri. “Saya berasa seronok mengenainya,” kata Selvi. “Anda boleh membeli banyak sayuran dari pasar, tetapi kebanyakannya dicemari bahan kimia. Dengan menanamnya sendiri, anda boleh memetik dan memasak sayuran segar.”


Bagaimanakah kebun tersebut memanfaatkan Selvi sekeluarga? “Saya gemar melihat pemandangan menghijau. Saya berasa gembira melihat kebun setiap pagi. Selain itu menanam sayuran sendiri menjimatkan wang. Suami saya menghabiskan masa 2 jam sehari dalam kebun, dan itu menjadi senaman yang baik untuk beliau. Kami pula mendapat sumber Vitamin D secara percuma ketika berkebun,” kata Selvi.

Berkebun juga menggalakkan perpaduan komuniti yang jarang berlaku dalam kehidupan di bandar. “Pokok terung putih kami telah lama berbuah. Kami memetik banyak buah terung dan selalu berkongsi dengan jiran dan saudara. Ada di antara rakan kami bersungut mengenai betapa susahnya untuk menanam tanaman ini. Oleh itu kami berkongsi biji benih yang kami ada dengan mereka. Kini mereka pula gembira memetik terung mereka sendiri,” kata beliau.
Selvi pernah mengikuti program latihan berkebun di bandar anjuran CAP. “Latihan itu sangat berguna. Saya belajar cara membuat baja asli untuk kegunaan di kebun. Hasil latihan itu kini teknik berkebun kami bertambah baik. Teknik menghalau binatang perosak juga banyak membantu kami,” tegasnya.
Satu lagi kebaikan yang dinikmati oleh keluarga ini ialah “Kebun menjadi sumber ubatan bagi kami. Kami selalu menggunakan tumbuhan herba di kebun kami sebagai penawar tradisional di rumah. Dahulu kami kerap membawa cucu ke klinik bagi sakit biasa dan perlu keluarkan wang untuk membeli ubat. Namun sejak kami mula berkebun, suami saya selalu membuat penawar daripada air tumbuhan herba. Ini meningkatkan daya tahan tubuh dan kesihatan kami; kini kami semakin kurang ke doktor,” kata beliau.
#GreenActionWeek Agroecology Fund
Esok: “Bagus untuk Kesihatan Mental dan Fizikal” dan “Anda Tidak Perlukan Ruang Besar untuk Mulakan Kebun di Bandar” – 2 temu bual terakhir dalam siri ini.