22 Mei adalah Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa.
Malaysia merupakan parti kepada Konvensyen PBB mengenai Kepelbagaian Biologi, dan merupakan salah sebuah negara yang paling banyak dengan kepelbagaian biologi (megadiverse), berada pada kedudukan ke-12 di dunia menurut Indeks Biodiversiti Negara, berdasarkan kepada anggaran kekayaan dan endemisms beberapa kelas flora dan fauna dalam negara.
Jika kita berbangga dengan kedudukan ini, maka kita mesti melakukan sesuatu untuk segera menangani apa yang dilihat sebagai kekurangan serius dalam kepaduan dasar dalam kalangan pembuat keputusan dan agensi paling utama dari segi melindungi biodiversiti dan hutan kita.
Agensi Persekutuan yang bertanggungjawab bagi memajukan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan dan Dasar Perhutanan Negara (bertujuan memastikan perlindungan biodiversiti/hutan dan kegunaan mampannya) ialah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Bagaimanapun, Kementerian yang sama inilah juga bertanggungjawab bagi memajukan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030), yang dilancarkan pada 22 April oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut laporan media, Menteri KeTSA Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan sebagai berkata negara kini sedang ke arah menjadi pusat penting bagi pembangunan industri mineral, dengan TIM menguruskan industri mineral ini supaya ia menjadi “sumber kekayaan baharu” bagi negara.
Walaubagaimanapun, Menteri telah mengakui bahawa “dalam tergesa-gesa untuk meneroka potensi mineral negara, industri mineral juga dilihat sebagai industri yang boleh menyebabkan banyak kemudaratan kepada alam sekitar, sistem biodiversiti negara dan kesejahteraan masyarakat tempatan.”
Walaupun terdapat jaminan bahawa perlombongan sedemikian tidak akan dilakukan di kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) yang boleh menjejaskan hutan dan biodiversiti kita, kebimbangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) ialah secara khususnya kawasan-kawasan KSAS inilah di mana sumber-sumber mineral tersebut wujud. Ini adalah berdasarkan kepada sejarah perlombongan dan pengekstrakan mineral di negara kita sebelum ini.
Tanggapan perlombongan ‘mampan’ adalah oxymoron, tidak realistik dan mengelirukan, kerana aktiviti perlombongan akan menyebabkan kesan negatif yang serius di kawasan di mana perlombongan atau sebarang aktiviti komersial yang seharusnya tidak dibenarkan sama sekali.
KSAS termasuklah hutan simpan dan kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biologi seharusnya dijadikan ZON LARANGAN dan dilindungi daripada sebarang pencerobohan. Aktiviti perlombongan juga membebankan kita dengan penjanaan sisa toksik, sisa berbahaya, dan sisa bahan kimia yang turut membebankan generasi yang akan datang.
Kebimbangan SAM bukanlah tidak berasas. Kita sudah pun mengetahui terdapat syarikat yang bercadang untuk menjalankan perlombongan di hutan simpan di Pahang.
Sebuah syarikat dari Malaysia Timur dilaporkan telah diberikan pajakan perlombongan baharu di kawasan seluas kira-kira 1,200 hektar (3,000 ekar) di Hutan Simpan Bukit Ibam, Keratong, Rompin, Pahang.
Sebarang kelulusan bagi pajakan perlombongan seperti itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di bawah KeTSA. Persoalannya ialah bagaimana kelulusan boleh diberikan bagi aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan?
Tangan kiri dan tangan kanan kelihatan berselisih dalam gerakan yang bertentangan, dan ini mendedahkan ketidakpaduan dasar. Ianya jelas menunjukkan konflik dan persaingan dalam dasar.
Kebimbangan kami ialah sekali lagi motif keuntungan daripada industri perlombongan akan menjejaskan biodiversiti dan hutan kita. Nilai pemuliharaan biodiversiti dan hutan berdasarkan kepada fungsi ekologi yang dilakukannya adalah tidak ternilai harganya dan tidak dapat digantikan dengan wang.
Pemimpin kita tidak seharusnya bukan sekadar memuji kejayaan kita dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus liputan hutan, apabila apa yang kita perlukan ialah untuk memastikan perlindungan sepenuhnya hutan dan biodiversiti kita daripada aktiviti yang memusnahkan dan tukar-guna tanah.
Oleh itu, kepaduan dasar amat penting. Membenarkan perlombongan dan kepentingan komersial persendirian lain yang bertentangan dengan kepentingan awam dalam melindungi hutan dan biodiversiti, bukan hanya membayangkan ketidakpaduan dasar tetapi juga tidak memikirkan kesan jangka panjang.
Ia juga menjejaskan kemampanan jangka panjang negara kita dari segi masa depan sumber air kita, kemampuan untuk memerangi perubahan iklim dan dalam mengekalkan ekosistem yang sihat bagi membolehkan kualiti hidup yang baik untuk kewujudan kita yang berterusan, serta mengekalkan pekerjaan dan mata pencarian.
Sudah tiba masanya kita menyedari bahawa kita telah mencapai batasan apa yang bumi boleh terima, dan jika kita terus mengabaikan tanda amaran dan had ini, kita akan berdepan dengan bencana alam sekitar yang amat besar bagi manusia dan ekonomi.
Surat Kepada Pengarang, 21 Mei 2021