Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa kecewa dengan kemalangan yang berlaku berhampiran Terowong Menora pada 10 Julai lalu. Ini kerana mungkin ramai yang akan terkorban apabila sebuah bas ekspres merempuh 10 buah kereta dalam laluannya. Sebenarnya perkara ini boleh dielakkan jika semua pihak bekerjasama namun bukan begitu keadaannya.
Selama bertahun-tahun kita tidak pernah kekurangan saranan mengenai langkah-langkah untuk mencegah kemalangan di jalan raya. Malah selepas kemalangan yang membabitkan bas pada 21 Ogos 2013 di Genting Highlands, sebuah panel penasihat bebas kepada Menteri Pengangkutan telah ditubuhkan. Ia dianggap tragedi paling buruk dalam kemalangan yang meragut nyawa di mana 37 nyawa terkorban termasuklah pemandu bas. Panel itu kemudian menyerahkan laporannya berserta 51 saranan kepada Menteri Pengangkutan pada Januari 2014. Persoalannya, berapa banyakkah antara saranan itu yang telah dilaksanakan?
Salah satu saranan yang dikemukakan ialah pemasangan alat had laju kepada kenderaan yang mengangkut penumpang dan barangan awam. Laporan itu turut menyarankan agar alat had laju itu diuji bagi memastikan fungsi dan prestasinya sewaktu pemeriksaan ketahanan kenderaan di atas jalan. Pernahkah saranan ini dilaksanakan?
Pada Disember 2013, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggalakkan bas-bas awam supaya memasang sistem kedudukan sejagat (GPS) untuk mencegah pemandunya daripada memandu terlalu laju. Bagaimanapun, pemantauan ke atas had laju kenderaan diserahkan kepada syarikat pengendali bas.
Enam bulan kemudian, pada Mei 2014, cuma 112 daripada 164 pengendali bas ekspres di Semenanjung memasang peralatan GPS. Ketika audit dilakukan oleh SPAD, sesetengah syarikat didapati cuma memasang peralatan GPS demi memenuhi peraturan pelesenan.
Pada 1998, Kabinet berhasrat untuk mewajibkan pemasangan kotak hitam dalam bas sebagai usaha mengurangkan kemalangan jalan raya. Namun RTD akhirnya membatalkan niatnya itu apabila menerima bantahan daripada pengendali bas dengan alasan ianya terlalu mahal.
CAP masih belum memahami kenapa pihak RTD membatalkan langkah tersebut. Apakah nyawa manusia lebih murah daripada kos memasang peralatan berkenaan? Malah pengendali bas tidak akan dipantau umpama budak nakal jika mereka mematuhi peraturan sedia ada.
Laporan awal menyebut kemalangan itu berpunca daripada pemandu hilang kawalan akibat kerosakan brek. Keadaan kenderaan yang gagal dikawal dan berlanggar semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Apakah sebarang kajian pernah dibuat mengenai perkara ini?
Selain itu terdapat juga Kod Amalan Industri SPAD (SPAD ICOP) bermula 2012, yang menghendaki penyelia dan pemandu melakukan pemeriksaan bagi tujuan keselamatan sebelum memulakan perjalanan berasaskan senarai semak harian yang disediakan oleh SPAD. Siasatan awal mendapati kemalangan berhampiran Terowong Menora berlaku akibat kerosakan brek. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku jika pemeriksaan awal sebelum memulakan perjalanan telah dilakukan?
Tambahan pula 63 saman telah dikenakan ke atas 25 pemandu bas ekspres yang terbabit dalam “kemalangan Terowong Menora” antara 2011 hingga 2015. Pemandu yang terbabit dalam kemalangan itu sendiri mempunyai 9 saman.
Jabatan Pengangkutan Jalan (RTD) dan SPAD nampaknya tidak menyedari akan perkara ini apabila kesalahan trafik seperti itu sepatutnya boleh dilihat atas talian dalam sistem RTD. Pemandu tidak akan dibenarkan membaharui lesen mereka dan pemilik kenderaan tidak boleh membaharui cukai jalan dan permit mereka, terutama memandangkan mereka menerima begitu banyak surat saman.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, agensi penguatkuasa utama di negara ini iaitu pihak polis, RTD dan SPAD tidak mempunyai satu sistem yang sama untuk berkongsi maklumat mengenai pesalah trafik, termasuk pemandu kenderaan komersial. Masing-masing bergerak sendiri; oleh itu tiada sistem untuk menyeragamkan maklumat berhubung pesalah trafik.
Ia bukannya suatu hal yang baharu kerana laporan mengenai kemalangan di Genting Highlands pada 2013 ada menonjolkan kelemahan ini.
Jadi kenapakah kelemahan tersebut tidak diperbaiki? Ketidakseragaman antara jabatan-jabatan kerajaan memberi ruang kepada orang-orang yang tidak berkelayakan untuk mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam dan pemandu yang tidak sepatutnya memandu mengambil kesempatan mengangkut penumpang hingga sarat muatan selama bertahun-tahun.
Pada ketika ini kakitangan RTD melakukan samaran untuk menangkap pemandu bas yang melakukan kesalahan melanggar undang-undang lalu lintas. Namun ini bukanlah jalan penyelesaian yang kekal selagi masalah-masalah seperti yang membabitkan syarikat bas, pemandu dan persoalan mengenai ketahanan kenderaan ketika berada di jalan raya tidak ditangani.
CAP juga ingin tahu bilakah SPAD akan mewajibkan bas-bas ekspres dan pemandu mereka mempunyai sistem ‘Safety Star Grading’. Sistem ini membolehkan penumpang memilih bas ekspres yang akan mereka naiki, sama seperti pengredan di kedai kopi.
Menurut statistik SPAD 2014, terdapat 4,534 bas ekspres, 5,158 bas pelancong, dan 736 bas sewa yang beroperasi di negara ini. Sementara itu terdapat sejumlah 198 pengendali bas eskpres, 141 syarikat bas sewa dan 896 perniagaan bas pelancong. Dengan sebegitu banyak bas dan syarikat yang beroperasi, ia umpama bom jangka bagi kemungkinan berlaku kemalangan kecuali kerajaan menunjukkan kesungguhan dari sudut politik untuk memperbetul dan memperbaiki apa sahaja kelemahan yang menyelubungi industri pengangkutan bas.
Sehubungan itu, CAP menuntut perlaksanaan kesemua 51 saranan yang dikemukakan di dalam laporan kemalangan bas Genting Highlands oleh Kementerian Pengangkutan bagi menghentikan kematian yang tidak wajar dan boleh dicegah di jalan raya.
Surat kepada Pengarang, 15 Julai 2016