Lantanida bukan radioaktif tetapi proses perlombongannya mengakibatkan radioaktiviti –  kata SAM

Sahabat Alam Malaysia (SAM) merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini, berhubung perlombongan lantanida di Kenering, Gerik, yang disiarkan dalam laporan media pada 28 September 2022.

MB telah menegaskan bahawa lantanida yang sedang dilombong itu bukan radioaktif.

SAM terpaksa menyatakan bahawa walaupun lantanida itu sendiri bukan radioaktif, proses perlombongan untuk mengekstrak bijih itu tidak bebas daripada menjadikannya bahan radioaktif yang secara semula jadi hadir dalam persekitaran lebih ‘bioavailable’, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang peningkatan pendedahan kepada sinaran.

Apa yang dimaksudkan ialah aktiviti yang dicadangkan di Kenering itu mempunyai risiko yang tinggi untuk meningkatkan kepekatan radionuklid semula jadi seperti torium dalam persekitaran sedia ada, selain dari ammonium (yang bukan radioaktif tetapi toksik).

Amalan larut resap in-situ untuk mengekstrak dan mengitar semula air yang diproses sebagai larutan larut resap, mendedahkan risiko yang tinggi untuk meningkatkan kepekatan radionuklid semula jadi dan meningkatkan pendedahan daripada sumber sinaran semula jadi.

Menurut Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu, kandungan purata torium (Th-232) daripada sampel tanah tapak projek adalah 3.8 kali lebih tinggi daripada purata nasional. Di samping itu, torium radioaktif semula jadi (Th-228) daripada tanah terbabit dilaporkan jauh melebihi paras terkawal 1Bq/g. Fakta-fakta ini sahaja telah menampakkan amaran dan kebimbangan, yang nampaknya telah diabaikan atau diperkecilkan oleh MB.

MB juga mesti menangani aspek proses perlombongan ini dan tidak hanya menumpukan pada ekstrak akhir bijih lantanida, yang seolah-olah menyampaikan mesej bahawa proses perlombongan adalah selamat dan mesra alam, yang tidak benar dari perspektif SAM.

Seperti yang telah ditegaskan oleh SAM secara berterusan mengenai perkara ini, kajian penyelidikan dari China mengenai tapak perlombongan nadir bumi tanah liat penjerapan ion telah menunjukkan kepekatan aktiviti radioaktif enapcemar berada di atas 1 Bq/g yang dikawal.

Dalam kritikan kami terhadap EIA, tidak ada pencirian yang betul bagi enap cemar, yang merupakan kecacatan asas dalam EIA tersebut.

Ia tidak membantu dalam membina kepercayaan orang ramai dan masyarakat tempatan di sekeliling kerana MB hanya bercakap tentang lantanida yang tidak radioaktif namun tidak menyatakan kebimbangan yang dibangkitkan mengenai enapcemar dan proses pengekstrakan, yang merupakan masalah.

MB Perak juga dilaporkan berkata bahawa “… kaedah melombong mineral itu tidak seperti kaedah perlombongan bijih timah konvensional dengan mengorek” dan “tiada pokok akan ditebang” untuk projek ini dan ia menggunakan “kaedah moden” di mana “kami menggerudi lubang, memasukkan aluminium sulfat dimana proses tindak balas akan berlaku dan mengekstrak lantanida.”

Gambaran MB tentang projek itu sebagai ‘hijau’ adalah jauh daripada kebenaran.

Keseluruhan projek ini melibatkan pembinaan 7 loji metalurgi hidro (jumlah 40.7 ha). Oleh itu, untuk mengatakan bahawa tiada pokok akan ditebang adalah mengelirukan, walhal pokok perlulah ditebang untuk membina loji metalurgi ini.

Selain itu, berbanding kaedah konvensional, larut resap in-situ mungkin kurang memberi kesan dari segi pembersihan tanah, tetapi ia menimbulkan risiko yang lebih serius kepada air bawah tanah dan degradasi tanah. Perkara ini merupakan kebimbangan utama projek ini. Ini menjadi lebih teruk apabila keseluruhan tapak termasuk dalam klasifikasi Rancangan Fizikal Negara  sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar tahap 1, yang tidak membenarkan aktiviti perlombongan seperti itu berlaku sama sekali.

Amalan larut resap in-situ telah mendedahkan masalah alam sekitar yang serius termasuk pencemaran air bawah tanah, keruntuhan lombong dan tanah runtuh. Lebih daripada 100 tanah runtuh telah dilaporkan di wilayah Ganzhou di China yang dikaitkan dengan kegiatan perlombongan dan larut resap in-situ, pada kos dan kerugian manusia yang ketara.

Dakwaan MB bahawa Perak memerlukan sumber pendapatan tambahan untuk membantu membawa kemajuan boleh difahami, tetapi ini tidak boleh mengorbankan kebimbangan serius terhadap kesihatan manusia dan ekosistem yang sensitif terhadap alam sekitar.

Perak boleh memperoleh hasil tambahan daripada kerajaan persekutuan dan daripada dana antarabangsa untuk melindungi hutan dan biodiversitinya, tanpa menjejaskan kesihatan dan persekitaran rakyatnya.

Kita mesti mencari bentuk penjanaan hasil yang lebih mampan dan mesra alam untuk negeri. MB tidak seharusnya mempertaruhkan kesihatan rakyat dan alam sekitar dengan janji ilusi demi keuntungan untuk negeri.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Dokumen Taklimat SAM (Ogos 2022) di sini:

https://foe-malaysia.org/wp-content/uploads/2022/09/220904-Kenering-Briefing-Booklet.pdf

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Kenyataan Akhbar, 30 September 2022