Laporan Awal EIA bagi Projek Jalanraya-Jalanraya Utama di Pulau Pinang  akan Meminggirkan Pandangan dan Ulasan Awam

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang yang ketetapan Jabatan Alam Sekitar bahawa pemaju tiga projek jalanraya di Pulau Pinang untuk mengemukakan Laporan Awal Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bermakna bahawa orang awam tidak berpeluang untuk mengulas laporan EIA tersebut dan memberi pandangan mereka.

Perunding kesan sosio-ekonomi bagi kajian EIA cadangan projek Penang Major Roads and Third Link, Penang telah mengadakan Focus Group Discussion bersama CAP dan SAM pada 28 Ogos 2015 bertujuan mendapatkan persepsi kami terhadap cadangan projek tersebut.

Pihak CAP dan SAM telah merakamkan bantahan kami terhadap cadangan projek-projek jalanraya di bawah Fasa IA Pakej 1, 2, 3 dan projek terowong di bawah Fasa 1B Pakej 4 tersebut dengan memberi justifikasi bagi bantahan kami termasuk aspek alam sekitar, sosial, dasar dan ketidakperluan projek.  Menurut perunding EIA laporan yang perlu dikemukakan ialah hanya laporan EIA awal (Preliminary) untuk cadangan projek-projek berikut dalam Fasa 1A:

Pakej 1: Jalan Berkembar Tanjung Bungah ke Teluk Bahang,

Pakej 2: Jalan Pintas (By-pass) Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam,

Pakej 3: Jalan Pintas (By-pass) Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Persiaran Gurney

Kami di CAP dan SAM telah menyuarakan bahawa cadangan projek ini perlu dikemukakan laporan EIA terperinci (Detailed EIA) memandangkan magnitud projek, serta kesan kepada alam sekitar dan kehidupan penduduk yang signifikan kerana ianya akan melibatkan laluan melalui kawasan kediaman, komersial, bukit dan kawasan berkepentingan awam.

Dalam prosedur PEIA, tidak terkandung elemen penyertaan awam dan ini bermaksud pihak awam tidak dapat menyemak dan mengemukakan ulasan ke atas cadangan projek berbanding dengan prosedur DEIA.

Kami telah meminta JAS agar memastikan suatu laporan DEIA adalah disediakan dan dikemukakan untuk projek-projek ini. Sekiranya tidak, pandangan orang awam ke atas projek yang berpotensi memberi impak tidak akan diambilkira.  Ianya tidak memadai bagi perunding EIA untuk hanya mendapat pandangan beberapa NGO dan segelintir penduduk. Lebih-lebih lagi kerana terdapat bantahan meluas semasa cadangan projek Penang Outer Ring Road dahulu.

Kami menyeru agar Ketua Pengarah Alam Sekitar, Pengarah JAS Pulau Pinang dan Pengarah Bahagian Penilaian EIA akan mengambil tindakan wajar untuk memastikan laporan DEIA bagi cadangan projek merangkumi Penang Major Roads akan dikemukakan untuk memberi peluang bagi orang awam memberi ulasan.

 

Surat Kepada Pengarang, 14 September 2015