Quezon City; Pulau Pinang: Sementara kerajaan-kerajaan yang menganggotai Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) secara tersendiri mengambil tindakan untuk menangani insiden penghantaran sisa haram dari negara kaya dan negara lebih maju, blok 10 negara ini masih belum bersatu dan meningkatkan usaha untuk melindungi rantau ini daripada kesan dan bahaya perdagangan sisa global.
Laporan bertajuk “Perdagangan Sisa di Asia Tenggara: Justifikasi Perundangan bagi Tindakan Serantau” yang dikeluarkan sempena peringatan Bulan ASEAN, menyatakan kekurangan tindak balas bersama dan serantau terhadap isu perdagangan sisa walaupun kontroversi pembuangan sisa menjadi berita utama di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand sejak beberapa tahun lepas.
Diterbitkan oleh kumpulan keadilan dan kesihatan alam sekitar EcoWaste Coalition dengan International Pollutants Elimination Network (IPEN), laporan tersebut mendapati tindak balas dasar dan perundangan semasa tidak mencukupi untuk menghentikan kemasukan sisa haram, dan lebih penting, tidak cukup untuk melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar.
Laporan itu mendedahkan fakta bahawa perdagangan sisa adalah isu ASEAN, kajian kes negara menunjukkan bagaimana perdagangan sisa memburukkan lagi cabaran pengurusan sisa sedia ada, dan tindak balas ASEAN terhadap krisis perdagangan sisa akan membantu negara-negara di rantau ini mengukuhkan usaha mereka untuk melindungi ekosistem dan biodiversiti serantau yang kaya untuk kesejahteraan komuniti dan generasi masa depan.
“Inisiatif-inisiatif ASEAN dan bilateral yang luas, undang-undang negara dan rangka kerja perundangan, dan trend terkini dalam tindakan negara menangani perdagangan sisa haram, menyediakan banyak justifikasi perundangan bagi tindakan serantau yang lebih kukuh terhadap perdagangan sisa global berbahaya,” kata ketua pengarang laporan, Atty. Gregorio Rafael P. Bueta, pakar perundangan dan dasar serta penyokong keadilan dan hak alam sekitar.
“ASEAN memerlukan deklarasi menggesa pendirian yang lebih jelas dan konkrit mengenai perdagangan sisa, yang mana, antara lain, menggesa supaya negara ahli meratifikasikan dengan segera Konvensyen Basel Ban Amendment, mengambil langkah untuk mengharamkan semua penghantaran sisa ke negara mereka, menambah baik keupayaan penguatkuasaan dan pematuhan, dan juga memberi tumpuan kepada dasar huluan untuk mengurangkan pengeluaran sumber pencemaran seperti plastik,” tambah Bueta yang juga mengajar undang-undang alam sekitar dan sumber asli di Sekolah Undang-undang di Universiti Ateneo de Manila.
“Rantau ASEAN seharusnya mengambil tindakan bersama untuk menangani pengeluaran plastik, kitar semula yang tidak terkawal, perdagangan dan pelupusan sisa plastik. Negara pengeksport mestilah mengambil tanggungjawab bagi pengurangan plastik mereka dan mengitar semula dalam negara sendiri. Kita perlu melindungi sempadan dan komuniti di rantau kita daripada lambakan sisa dan pencemaran plastik,” kata Meenakshi Raman, Presiden Sahabat Alam Malaysia.
“Tindak balas serumpun ASEAN yang bersepadu akan menambah kekuatan kepada usaha negara untuk menghentikan kemasukan sisa asing dan membantu komuniti barisan hadapan dalam mempertahankan diri daripada kesan sampingan dan ketidakadilan, termasuk pencemaran alam sekitar daripada pembuangan sampah, insinerasi, kitar semula kimia sisa plastik dan skim lain yang boleh mengeluarkan bahan cemar toksik dan membahayakan kesihatan manusia serta tumbuhan dan hidupan liar,” kata Chinkie Pelino Golle, Penyelaras Serantau IPEN bagi Asia Tenggara dan Timur.
Menurut laporan itu lagi, mengatasi perdagangan sisa di rantau ASEAN amat penting atas beberapa sebab. Pertama, banyak negara ahli ASEAN sudah pun menghadapi krisis sisa dalam menguruskan sejumlah besar sisa domestik, lebih buruk lagi dengan pandemik Covid-19 yang kini sedang melanda. Kedua, negara ASEAN perlu mengatasi isu alam sekitar lain yang lebih menekan di beberapa rantau yang paling kaya dengan sumber semula jadi dan biodiversiti di dunia – ini termasuklah penebangan hutan, pemerdagangan hidupan liar secara haram, dan pencemaran air dan udara. Ketiga, risiko yang dibawa oleh perubahan iklim dan keperluan untuk memenuhi matlamat pengurangan dan penyesuaian iklim, yang juga berkaitan dengan isu perdagangan sisa.
Selain daripada mengeluarkan pendirian serantau yang jelas mengenai perdagangan sisa, laporan itu menyarankan penubuhan mekanisme yang akan menguatkuasakan peruntukan Deklarasi ASEAN membendung dan mengharamkan perdagangan sisa di rantau ini.
Laporan itu seterusnya menyarankan agar diwujudkan Kumpulan Pakar/Kumpulan Kerja Teknikal serantau mengenai pengurusan sisa dan perdagangan sisa, dan penggubalan serta kelulusan perjanjian di peringkat ASEAN yang akan melindungi rantau ini daripada perdagangan sisa global.
Dalam webinar yang diadakan hari ini untuk melancarkan laporan ini, kumpulan alam sekitar dan penyokong di seluruh ASEAN menyuarakan sokongan terhadap penemuan dan saranan laporan, dan menggesa kerajaan di seluruh rantau ini supaya mengambil tindakan terhadap perdagangan sisa.
Penganjur bersama webinar dengan EcoWaste Coalition dan IPEN-SEA adalah Ecological Alert dan Recovery-Thailand, Greenpeace Asia Tenggara, Nexus3 Foundation-Indonesia, Sahabat Alam Malaysia dan Parabukas.
Siaran Akhbar, 4 Ogos 2021