Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengutamakan keperluan penduduk negara yang semakin berusia sebagai ganti menggalakkan pembinaan perkampungan pesaraan yang hanya melayani segelintir daripada masyarakat.
Kami menggesa kerajaan supaya menerima pakai reka bentuk sejagat (Universal Design), rangka kerja bagi reka bentuk kehidupan dan ruang pekerjaan, dan produk bagi manfaat orang ramai seberapa luas yang boleh untuk digunakan dalam situasi jangkauan yang meluas tanpa reka bentuk khas atau berasingan. Contoh mudah ialah penerapan reka bentuk sejagat dalam pembinaan tanjakan pada bangunan yang boleh digunakan oleh kebanyakan orang pada semua peringkat usia, keadaan kesihatan dan bagi pelbagai kegunaan.
Gesaan kami adalah selaras dengan ramalan bahawa menjelang 2030, rakyat Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas dijangka meningkat kepada 15 peratus berbanding hanya tiga peratus berusia 65 tahun dan ke atas pada 1970. Dengan perubahan itu, negara perlu menangani keperluan penduduk yang semakin meningkat tua.
Pertama sekali, Malaysia tidak bersedia memandangkan hanya ada 35 pakar geriatrik pada 2018 ketika kira-kira 650 diperlukan. Bolehkah negara menghasilkan pakar geriatrik yang mencukupi dalam satu dekad lagi?
Warga emas cenderung kepada ketidakstabilan kewangan disebabkan mereka sering dianggap ‘menganggur’ disebabkan keadaan kesihatan dan usia mereka. Dalam masa yang sama, masalah kesihatan mereka (terutama sekali penyakit kronik dan melemahkan) serta kos penjagaan kesihatan meningkat memberikan kesan negatif kepada perbelanjaan kehidupan mereka.
Pada September 2020, dilaporkan bahawa separuh daripada semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 untuk persaraan mereka. Malah hidup dengan RM1,000 sebulan, seseorang itu hanya boleh bertahan kira-kira 4 tahun. Lebih malang apabila KWSP menyatakan bahawa 90 peratus daripada isirumah luar bandar dan 86 peratus di bandar tiada simpanan, apalagi untuk membiayai penjagaan kesihatan mereka.
Beberapa tahun lepas terdapat promosi perkampungan pesaraan, malah disebut-sebut oleh kerajaan sebagai arah ke hadapan, tetapi hanya segelintir yang mampu mendapatkan kemudahan mewah itu. Pada masa kini rumah untuk orang tua terdapat dalam tiga kategori, rumah orang tua yang beroperasi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan yang disediakan oleh pihak persendirian yang bermotivasikan keuntungan.
Dalam keadaan yang sukar ini, apakah masa depan yang mereka ada? Menurut Buku Tahunan Jabatan Kebajikan Masyarakat 2018, terdapat 6,927 warga emas berdaftar di pusat jagaan yang dikendalikan oleh NGO dan pihak persendirian.
Kerajaan seharusnya menggalakkan NGO untuk menambah peranan yang diambil oleh JKM daripada penyedia persendirian dalam mengendalikan perkampungan pesaraan yang tidak memenuhi keperluan bahagian yang lebih besar daripada penduduk berusia. Pihak NGO menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk menyokong individu di rumah mereka sendiri; mengendalikan pusat jagaan harian; dan rumah kediaman untuk mereka yang memerlukan perlu dilembagakan.
Pusat jagaan atau rumah kediaman ini mempunyai tujuan terhad memandangkan ia hanya boleh mengambil bilangan penduduk yang terhad dan amat mahal untuk dikendalikan. Selagi warga emas itu sihat fizikalnya dan boleh berdikari, adalah dinasihatkan supaya kekal berada dalam komuniti tetapi komuniti mestilah mempunyai kemudahan untuk menampung keperluannya seperti ciri-ciri bangunan (contohnya laluan dan tanjakan yang tidak menghalang) bagi yang kurang berkemampuan.
Lembaga Perumahan dan Bangunan Singapura (HDB) amat proaktif dalam menangani penduduk berusia di Singapura. HDB menerima pakai reka bentuk sejagat dalam perancangan bandar raya supaya projek perumahan akan menampung penduduk bagi semua usia daripada kanak-kanak sehinggalah orang tua dengan ruang komuniti yang mencukupi. Projek HDB menambah kemudahan kecergasan bagi setiap kumpulan usia tidak kira keadaan kesihatan mereka. Butang lif mempunyai tanda Braille untuk memastikan mereka yang cacat penglihatan tidak ketinggalan.
Malaysia tidak akan mampu untuk menangani masalah yang disebabkan oleh kadar kemerosotan kelahiran dan penduduk yang berusia yang semakin meningkat jika tidak dimulakan daripada sekarang. Kami menggesa kerajaan dan sektor swasta supaya menerima pakai reka bentuk sejagat.
Kenyataan Akhbar, 3 November 2020