Masa untuk kurangkan pembaziran air dan bil air yang tinggi  

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata kini tiba masanya untuk mengurangkan pembaziran air, bukan hanya bagi mengurangkan bil air tetapi juga memelihara sumber air kita yang amat terhad. Alasan utama ialah kerana penduduk Pulau Pinang menggunakan air proses yang menjadi komoditi berharga.

Sementara kawasan tadahan air hanya 6 peratus daripada kawasan tanah negeri, penduduk negeri ini semakin meningkat setiap tahun. Sepertimana yang ditunjukkan di dalam jadual di bawah, penduduk Pulau Pinang berkembang 31.7 peratus manakala Seberang Perai berkembang 37.6 peratus antara 2000 dan 2018.

Anggaran Penduduk Pulau Pinang (‘000) 2000-2018
  2000 2002 2004 2006 2008 2010 2012 2014 2016 2018
Penduduk Pulau Pinang 614.3 647.9 667.5 688.1 712.8 741.3 738.5 748.0 791.9 809.0
Penduduk Seberang Perai 699.1 742.4 775.3 804.3 834.1 868.5 872.6 897.6 934.0 958.2
Jumlah Penduduk 1,313.4 1,390.3 1,442.8 1,492.4 1,546.9 1,609.8 1,611.1 1,645.6 1,725.9 1,767.2

Pertumbuhan penduduk memberi tekanan kepada sumber air negeri yang terhad dan penggunaan domestik per kapita ialah 281 liter bagi setiap orang sehari pada 2019 yang mana adalah tinggi berbanding purata kebangsaan iaitu 201 liter dan 165 liter yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai tabiat membazir malah apabila dibandingkan dengan rakyat Singapura yang menggunakan secara purata 151 liter bagi setiap orang sehari atau rakyat Thailand 193 liter.

Kadar air Pulau Pinang sepatutnya menjadi yang terendah di negara ini kerana ia disubsidikan. Dengan cadangan peningkatan kadar air, adalah diharapkan penduduk Pulau Pinang akan menghargai air bersih yang amat bernilai itu dengan:

  • Mengamalkan langkah penjimatan air seperti menuai air hujan dan mengumpulkan air daripada sistem penghawa dingin untuk menyiram tumbuhan atau membersihkan longkang atau tandas.
  • Memeriksa tandas bagi sebarang kebocoran.
  • Menggunakan baldi untuk menyimpan air yang diperlukan bagi mencuci kereta (sebagai ganti membiarkan air mengalir daripada hos ketika berbuat demikian).
  • Menggunakan sebaldi air untuk mencurah air kencing di dalam mangkuk tandas sebagai ganti mencurah menggunakan tangki. Satu curahan daripada model aliran rendah menggunakan 6.1 liter sementara model lama menggunakan 19 liter! Baldi kecil mempunyai kapasiti kira-kira 2.25 liter dan dengan itu boleh mengurangkan separuh penggunaannya.
  • Pendekkan waktu mandi. Tutup paip air apabila tidak menggunakannya.
  • Tutup paip air ketika memberus gigi.
  • Memasang kepala paip air tekanan automatik dengan penundaan masa, terutama sekali di bangunan komersial untuk mengurangkan pembaziran air apabila orang terlupa untuk menutup paip air selepas digunakan.
  • Mengitar semula air perlu dipertimbangkan untuk rumah dan perniagaan.
  • Tempat awam (termasuk perniagaan) seharusnya juga mempertimbangkan bagi memasang tempat kencing dengan deria infra merah yang hanya mencurahkan air apabila tempat kencing itu digunakan. Ini akan menjimatkan sejumlah air berbanding menggunakan tangki dengan sifon automatik.
  • Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga seharusnya meminimumkan pembaziran air dengan memberikan perhatian kepada aduan awam mengenai paip utama bocor atau pecah secepat mungkin. Sediakan nombor talian hotline 24/7 untuk aduan bekalan air.
  • Menjalankan jerayawara dengan objektif mendidik orang ramai bagaimana untuk menjimatkan air.
  • Mengenakan denda terhadap paip awam yang bocor, contohnya tandas di Kawasan Rehat & Rawat (R & R) di mana paip air atau tangki bocor dan dibiarkan tidak dibaiki.

PBAPP perlu menjalankan rancangannya untuk menambah baik perkhidmatan dan infrastrukturnya. Terdapat keperluan untuk membina atau menaik taraf loji rawatan, menjalankan penyelenggaraan pencegahan dan menaik taraf stesen mengepam dan empangan. Paip yang semakin hampir luput jangka hayatnya perlu ditukar bagi mencegah kehilangan air tidak berhasil. Pulau Pinang perlu mencari sumber air lain kerana pada masa ini memperolehi 84 peratus sumber air mentah daripada Sungai Muda.

PBAPP mencadangkan pembinaan loji penyahgaraman untuk menangani keperluan bekalan air yang semakin meningkat di Balik Pulau dan kawasan sekitarnya serta untuk projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) menjelang 2030. Sementara kami tidak membantah pembinaan loji penyahgaraman disebabkan pertambahan penduduk pulau, kami tidak dapat melihat keperluan untuk meneruskan projek PSR yang akan memburukkan lagi situasi air negeri.

Peningkatan dalam kadar air sepatutnya menjadi satu pencegahan kepada pembazir air tetapi PBA perlu menyediakan rebat bagi golongan miskin khususnya bagi penggunaan air bulanan kurang daripada 20,000 liter agar mereka tidak terjejas oleh kenaikan ini.

Bagaimanapun, kami menggesa PBAPP mempertimbangkan bagi melaksanakan struktur kadar air yang dicadangkan selepas pandemik bagi memberikan kelegaan kepada orang ramai yang menghadapi kesukaran kewangan. Lebih-lebih lagi, penggunaan air perniagaan dan industri pembuatan akan jatuh secara drastik disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dan kakitangan perlu bekerja dari rumah.

 

Kenyataan Akhbar, 28 Mei 2021