MASALAH ANCAMAN PADI ANGIN DI MADA

CAP Gesa Kaedah Tabur Terus Dan Penggunaan Teknologi Moden Dikaji Semula

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjalankan kajian secara menyeluruh punca-punca berlakunya ancaman padi angin di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ketika ini.

Baru-baru ini akhbar tempatan melaporkan bahawa seluas 15,000 hektar sawah di Perlis dan Kedah yang berada dalam kawasan jelapang padi MADA seluas 100, 685 hektar terlibat dengan masalah itu.

CAP merasa hairan mengapa masalah padi angin masih belum diselesaikan walaupun petani telah berhadapan dengan masalah ini lebih daripada 10 tahun.  Kenapa kajian terperinci dengan saranan penyelesaian tidak diambil lebih awal untuk membendung  masalah ini menjadi lebih serius dan membebankan kehidupan para petani di sini.

CAP bimbang, selain padi angin para petani MADA juga turut menghadapi masalah ancaman rumput sambau. Ancaman padi angin boleh menjejaskan hasil padi antara 60 hingga 90% manakala ancaman rumput sambau pula mampu mengurangkan hasil petani antara 10 hingga 80%.

Tinjauan CAP mendapati, kedua-dua masalah utama yang dihadapi oleh 63,000 petani di sini merangkumi serangan makhluk perosak dan penyakit padi menyebabkan mereka telah mengalami kemerosotan hasil pendapatan melebihi 50% pada musim menuai.

CAP menganggarkan sejak masalah-masalah ini berlaku secara keseluruhan kerugian mencecah berpuluhan juta ringgit telah dialami oleh petani MADA.

Sehubungan itu CAP meminta pihak kementerian melakukan kajian terhadap kesan pelaksaaan sistem tabur terus, penggunaan jentera menuai, baja kimia, racun makhluk perosak dan benih padi yang diamalkan  oleh petani-petani di kawasan MADA.

CAP berpendapat kemungkinan semua faktor tersebut termasuk masalah bekalan air yang kerap berlaku dan dihadapi oleh petani di sini telah menyumbang kepada tercetusnya ancaman padi angin, rumput sambau, makhluk perosak dan penyakit padi di kawasan ini.

Pengenalan teknologi moden dan amalan sistem pertanian masa kini termasuk penggunaan bahan kimia perlu dikaji semula oleh pihak kementerian dan agensi berkaitan. CAP bimbang kesan buruk akibat perubahan ke teknologi moden akan menjejaskan kehidupan petani MADA dan bekalan makanan negara dengan lebih serius pada masa akan datang.

Justeru adalah perlu bagi pihak berkenaan membuat kajian yang terperinci supaya punca masalah yang berlaku sejak sekian lama di kawasan MADA dapat ditangani dengan berkesan.

Berhubung dakwaan setengah pihak bahawa terdapat unsur penipuan dalam proses pengeluaran dan penjualan benih padi kurang bermutu yang dikaitkan dengan pertumbuhan padi angin, CAP menyarankan supaya siasatan terperinci serta tindakan tegas diambil ke atas pihak yang dikesan berbuat demikian.

 

Kenyataan Media, 29hb Januari 2018