Masalah Pembuangan Sampah

GESAAN CAP DIAMBIL TINDAKAN SEGERA OLEH MBKT

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Terengganu di atas perhatian dan tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di Taman Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Mengabang Lekor, Batu Rakit dekat Kuala Nerus.

Penduduk yang terlibat sebelum ini mendakwa ia berpunca daripada kekurangan tong sampah bersaiz kecil yang disediakan di taman berkenaan dan tidak mencukupi bagi menampung pembuangan sampah yang begitu banyak.

Pada Oktober 2022, CAP telah mengemukakan masalah tersebut kepada pihak berkenaan dan menggesa tindakan segera diambil bagi mengatasinya. CAP kesal dan bimbang dengan dengan keadaan ini kerana ia bukan saja menjejaskan alam sekitar dan keselesaan hidup penduduk tempatan tetapi juga boleh mengancam kesihatan orang ramai jika dibiarkan berlarutan.

CAP difahamkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu bahawa kejadian ini disebabkan oleh kegagalan pihak kontraktor menjalankan kutipan sisa pepejal mengikut jadual yang telah ditetapkan. Faktor lain yang menyumbang kepada masalah tersebut ialah kacau ganggu oleh hidupan liar seperti babi, anjing dan lain-lain termasuk sikap penduduk tempatan yang kurang cakna berkenaan isu kebersihan.

Justeru itu, MBKT telah mengambil tindakan segera dengan membuat pengalihan lokasi  tapak tong sampah yang sesuai dan baharu serta berpagar dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Terengganu untuk meletak perangkap haiwan liar yang sering mengganggu longgokan bahan buangan di tempat berkenaan.

MBKT juga dalam perancangan jangka masa panjang untuk menyediakan perkhidmatan kutipan sampah dari rumah ke rumah di kawasan perumahan ini.